Tuesday, March 1, 2011

17.3 juta saman tidak dijelas akan disenaraihitamkan

KUALA LUMPUR 1 Mac – Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pesalah lalu lintas akan disenaraihitamkan bermula hari ini.

Langkah menyenaraihitamkan kesemua jumlah saman itu dibuat berikutan kegagalan pesalah trafik menyelesaikan saman mereka selepas tempoh yang ditetapkan sejak Ogos tahun lalu berakhir semalam.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bagaimanapun berkata, daripada 49.4 juta jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 31.9 juta saman telah dibayar oleh para pengguna.

“Bagi pengguna lalu lintas yang masih belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

“Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Rabu lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Solah berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Selain itu, Abdul Aziz menambah, sepanjang tempoh pembayaran saman sebelum disenarai hitamkan yang diumumkan kerajaan Ogos lalu, sebanyak 5.5 juta saman telah dijelaskan oleh pengguna lalu lintas.

Katanya, daripada jumlah itu, 1.5 juta saman diselesaikan pada minggu terakhir tempoh tersebut iaitu minggu lalu. - Utusan

Pekida nafi pasang kain rentang hentam PERKASA




Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Jasin hari ini membuat satu laporan polis menafikan pihaknya terbabit dalam pemasangan kain rentang yang menghentam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Kain rentang itu tertera lambang Pekida dengan tulisan 'PERKASA baru setahun jagung, jangan nak jadi hero Melayu, sini Melaka bukan Kelantan'.

NONELaporan itu dibuat oleh Pengerusi Pekida Daerah Jasin, Datuk Abdul Rahim Abu di balai polis Merlimau kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Abdul Rahim menyifatkan perbuatan itu sebagai satu fitnah untuk membangkitkan perasaan benci dan permusuhan terhadap PERKASA dan untuk melaga-lagakan ahli kedua-dua pertubuhan orangMelayu itu.

Katanya, kain rentang itu dipasang di hadapan Maybank Merlimau, hadapan stesyen minyak BHP Jalan Muar, Merlimau, Taman Debunga, di sebelah bilik gerakan pilihanraya Merlimau Timur dan di hadapan Merlimau Point.

"Pada 27 Februari lalu, lebih kurang jam 8 malam di Merlimau, saya telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua PERKASA Melaka, Abd Rahim Osman mengenai kain rentang yang dipasang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pekida dan PERKASA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai orang Melayu dan Pribumi dan menjadikan matlamat kami 
untuk menyatupadukan orang Melayu keseluruhannya. Kami bukan pendakyah. Ramai juga ahli kami dalam PERKASA.

"Kami membuat laporan untuk menyatakan fakta sebenar dan mahu pihak polis bertindak serta melakukan siasatan bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab menyebar dan memasang kain rentang tersebut," katanya.

NONEAbdul Rahim menyatakan demikian ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Merlimau hari ini. Hadir sama ialah Abd Rahim Osman serta puluhan pengikut Pekida dan PERKASA.

Sementara itu, PERKASA Melaka juga turut membuat satu laporan polis di balai yang sama.

Ketika ditemui Abd Rahim berkata, PERKASA tidak ada sebarang masalah dengan mana-mana pertubuhan dan dalam konteks hubungan PERKASA-Pekida, kedua-dua pertubuhan itu adalah saudara se-Islam.

"Matlamat kami sama iaitu untuk agama, bangsa, negara dan tanahair dan kita tidak bertentangan, kita seiringan serta sehaluan.

"Ini adalah satu usaha tangan ghaib dan satu tindakan bacul yang dianggap bagaikan baling batu sembunyi tangan. 

"Ini adalah satu perbuatan yang tidak baik dan bertujuan untuk melaga-lagakan antara ahli Pekida dan Perkasa," katanya.

Laporan polis itu adalah yang kedua dibuat PERKASA Melaka sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau. Laporan pertama dibuat pada 24 Februari lalu apabila ada pihak mengedarkan risalah yang mendakwa pertubuhan itu bertindak rasis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...