KUALA LUMPUR: Tiga orang pengawal syarikat kawalan keselamatan yang ditahan reman berhubung kehilangan wang tunai RM500,000 Isnin lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata mereka dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.
Beliau memberitahu, ketiga-tiga pengawal itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan bila diperlukan.
Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, satu beg berisi wang tunai RM500,000 hilang ketika tiga orang pengawal itu sedang membuat kutipan di Wisma Perkeso, Jalan Ampang di sini, manakala pemandu van itu pula menghilangkan diri.
Pada Selasa lepas, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Sungai Way bagi membantu siasatan dan direman sehingga esok. BERNAMA