Tuesday, September 2, 2008

Anwar janji 'bajet baru' lebih baik - MALAYSIAKINI

Beh Lih Yi | Sep 2, 08 12:26pm

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membentangkan bajet baru jika Pakatan Rakyat pimpinannya menubuhkan kerajaan baru.

Katanya, tema utama bajetnya ialah untuk mengurangkan defisit, mengurangkan cukai dan harga minyak, merangsang pelaburan serta mengamalkan sistem tender terbuka.

Anwar menegaskan demikian ketika ditanya sama ada beliau akan membentangkan bajet baru jika berjaya menubuhkan kerajaan baru, yang diuar-uarkannya pada 16 September ini.

Anwar menjawab dengan yakin: "Persoalannya ialah bukan 'jika', tetapi 'bila'."

Beliau mengkritik bajet 2009 sebagai satu lagi petanda kegagalan kerajaan untuk menyediakan halatuju ekonomi yang kukuh untuk menghadapi cabaran di peringkat domestik dan global.

"Jika kita boleh menubuhkan kerajaan, bajet ini (oleh kerajaan BN) akan disemak semula dan bajet baru akan dibentangkan, insya-Allah," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya hari ini.

anwar pc on budget 2009 020908 02Hadir sama ialah isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; timbalannya, Dr Syed Husin Ali dan ketua penerangan, Tian Chua serta beberapa ahli parlimen PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga menteri kewangan, membentangkan bajet 2008 Jumaat lalu dan mendapatkan reaksi yang berbeza.

Parti-parti pembangkang bagaimanapun menyuarakan kekecewaan mereka kerana Abdullah gagal menyediakan insentif baru untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta bimbang dengan peningkatan defisit bajet.

Anwar mendakwa, kerajaan telah memberi perangkaan yang tidak tepat kerana mahu memberi gambaran yang baik mengenai pencapaiannya dan kemajuan ekonomi.

Mengulas lebih lanjut mengenai bajetnya, Anwar berikrar untuk mengurangkan defisit - yang dijangka 3.6 peratus KDNK (Keluaran dalam Negeri Kasar) bagi 2009 dan 4.8 peratus tahun ini.

Anwar yakin kadar defisit akan turun di bawah kadar 4.8 peratus sekarang jika dilaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan dayasaing serta menghapuskan amalan memberi projek-projek kerajaan tanpa tender.

"Ini akan dengan sendirinya dapat mengurangkan perbelanjaan (kerajaan) dan saya percaya jika kita boleh melakukan secara cekap, kita boleh menyelamatkan RM4 bilion hingga RM5 bilion sekaligus, dan mengurangkan defisit yang dicatatkan," katanya.

Beliau mengkritik kerajaan BN yang didakwanya berbelanja secara tidak bertanggungjawab dan tidak menghiraukan beban yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Anwar juga berkata, beliau komited untuk mengurangkan harga minyak - yang merupakan ikrar pilihanrayanya - dan mengurangkan cukai peribadi dan korporat untuk mengurangkan beban rakyat.

'Falsafah ekonomi saya sentiasa "tiada cukai, tingkatkan produktiviti', saya tidak pernah mengubah pendirian itu. Kurangkan cukai, produktiviti yang lebih baik dan lebih tinggi," katanya.

Umno mohon maaf kepada kaum bukan Melayu - MSTAR ONLINE

02-09-2008 06:08:04 PM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

KUALA LUMPUR: Umno hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua kaum bukan Melayu yang tersinggung dengan kenyataan berunsur perkauman yang dikeluarkan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kenyataan Ahmad itu tidak mewakili Umno dan kerajaan secara keseluruhan sebaliknya adalah kenyataan peribadi.

"Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai 'menumpang'.

"Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita tetap akan menjaga kepentingan dan maruah mereka," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Chery Eastar MPV di sini hari ini.

Sambil menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai sesuatu yang amat dikesali, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berharap kaum bukan Melayu di negara ini tidak tersinggung dengan kenyataan itu kerana ia tidak menggambarkan sikap dan kepimpinan Umno secara keseluruhan.

"Umno meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kita tapi ia dibuat oleh salah seorang Ketua Bahagian kita dan kita amat kesal," katanya.

Najib berkata, Umno akan membincangkan tindakan yang wajar dikenakan ke atas Ahmad berhubung kenyataannya itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang. Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kaum Cina hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Keluarga Sharlinie Cari Kedamaian Di Kampung - BERNAMA

02 September, 2008 15:31 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bukan kerana putus asa, keluarga adik Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang sejak Januari lepas, kini berpindah ke kampung bapanya di Dungun, Terengganu.

Kunjungan Bernama ke rumah keluarga kanak-kanak malang itu di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini hampa apabila diberitahu jiran bahawa keluarga Sharlinie telah berpindah ke Terengganu Ahad lepas.

Apabila dihubungi, bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussain, 29, berkata keputusan untuk berpindah bukan kerana ingin melupakan kisah pahit yang berlaku, sebaliknya untuk mencari kedamaian bagi memulakan kehidupan baru bagi keluarganya.

"Ketibaan Ramadan tahun ini terasa begitu sunyi tanpa kehadiran Sharlinie. Justeru kami mengambil keputusan untuk berpindah dan menyambut Ramadan dalam suasana kampung yang aman dan tenteram," katanya.

Tekanan hidup serta kos sara diri yang tinggi di ibu kota juga merupakan punca beliau sekeluarga berpindah, katanya yang sedang mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya di sana.

Beliau berkata gelagat Sharlinie ketika bersama ke bazar ramadan setiap petang untuk mencari juadah berbuka puasa masih terbayang dalam ingatan.

"Ibunya juga masih bersedih dan kedua orang kakaknya kerap bertanya 'bila Nini nak balik...boleh raya bersama', dan ini benar-benar menambahkan kepedihan di hati saya," katanya.

Mohd Nashar berkata mereka sekeluarga kini menetap di rumah bapanya dan kedua-dua kakak Sharlinie, Nurul Amirah, 11 dan Sharliena, 8, akan mula bersekolah di sekolah baru di Dungun, esok.

"Perpindahan ini mungkin hanya sementara. Kami belum putuskan sama ada mahu menetap terus di sini atau kembali ke Kuala Lumpur," tambahnya.

Ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, berkata sejak hari pertama anaknya hilang dan hingga ke saat ini, keyakinan beliau untuk menemui anak bongsunya itu tidak pernah luntur.

"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami sekeluarga amat mengharapkan kepulangan Sharlinie. Saya amat berharap agar orang yang mengambil anak saya itu dapat memulangkannya kembali kerana kami benar-benar berharap untuk menyambut lebaran bersama Nini," katanya.

Sharlinie dilaporkan hilang sekitar 11.30 pagi pada 9 Jan lalu ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan di sini.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...