Saturday, August 2, 2008

Saiful dedah kunjungan ke luar negara -MALAYSIA KINI

Soon Li Tsin | Aug 2, 08 6:28pm

Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa dia telah menemani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tiga kunjungan ke luar negeri tahun ini.

Menurut blognya semalam, bekas pembantu mantan timbalan perdana menteri itu berkata, dia menemani Anwar ke Hong Kong awal bulan Mei lalu, Bangkok pada hujung bulan yang sama, dan ke Singapura pada 16 hingga 18 Jun.

Ini adalah kali pertama Saiful mendedahkan butiran terperinci tentang kunjungannya ke luar negara selepas membuat aduan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Saiful membuat laporan polis itu pada 28 Jun lalu, mendakwa Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara.

Anwar kemudiannya ditahan, disoalsiasat semalaman sebelum dibebaskan keesokannya, 17 Julai dengan ikatjamin.

Dalam blognya Saiful menyenaraikan tugasnya, termasuk membantu ketua kakitangan PKR, Ibrahim Yaacob mengatur jadual Anwar.

Saiful juga berkata, beliau telah ditugaskan untuk mengatur perjumpaan sulit, contohnya dengan ahli-ahli Parlimen yang mahu melompat menyertai PKR dan ia diadakan di kondominium Desa Damansara.

Saya mungkin tiada peluang - Mukhriz - UTUSAN

02/08/2008 4:26pm

JITRA 2 Ogos - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, gejala politik wang dan penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan Pemuda mampu menutup peluangnya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan itu pada pemilihan Disember ini.

Malah beliau yang sebelum ini optimis mengenai peluangnya bertanding jawatan tersebut, tidak lagi yakin untuk mendapat jumlah pencalonan mencukupi ekoran amalan tidak sihat tersebut yang didakwanya berlaku di seluruh negara.

Berdasarkan keadaan itu, jelasnya, hanya `keajaiban’ yang membolehkan beliau mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk bertanding memandangkan kubu-kubu kuatnya turut goyang akibat gejala berkenaan.

''Dalam keadaan gejala rasuah politik yang sedang berleluasa dalam negara kita sekarang ini, keyakinan saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda terhakis.

''Kalau amalan ini dibiarkan berlaku pada masa ini, saya tidak yakin akan mendapat cukup pencalonan,'' katanya selepas bermesyuarat dengan ahli-ahli UMNO Cawangan Jitra di sini hari ini.

Semalam, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mendakwa terdapat penyelewengan dalam pemilihan di peringkat cawangan Pemuda UMNO di seluruh negara.

-Utusan

Rafidah akui wujud rasuah politik pemilihan cawangan, bahagian - mStar Online

02-08-2008 11:46:58 AM
Oleh SAODAH E'LIAS

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mengakui kewujudan rasuah politik dalam pemilihan pergerakan itu di peringkat cawangan dan bahagian.

Kata Rafidah, beliau telah mendapat laporan mengenai penularan fenomena itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat dan bukti lengkap mengenainya agar membuat laporan terus kepada Lembaga Disiplin parti.

"Saya ingin nasihatkan kalau hendak bertanding pun jangan sampai pecah-belahkan Umno kerana kekuatan kita ialah di peringkat akar umbi.

"Jangan gunakan rasuah politik, jangan berseteru semata-mata kerana jawatan, jangan tabur fitnah agar nanti kita tidak menang sorak kampung tergadai, menang jadi arang, kalah jadi abu," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu di sini.

Menurutnya, beliau telah diberitahu bahawa banyak juga ketua Wanita Umno bahagian akan menghadapi pertandingan tahun ini, sama ada sesama ahli jawatankuasa bahagian, orang luar atau dalam beberapa kes dicabar oleh bekas ketua Puteri Umno.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai perkara-perkara yang melanggar etika berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, termasuk aduan mengenai anggota yang tidak dikenali hadir sebagai perwakilan dan janji-janji mengenai pemberian imbuhan ditaburkan.

Mukhriz berkata, Umno ketika ini memerlukan pembaharuan dalam parti dan beliau menyeru supaya peluang diberikan kepada anggota-anggota untuk menentukan sendiri kepimpinan parti.

Malah, kata beliau, suara akar umbi dalam pemilihan Umno Disember ini harus dihormati dan seharusnya tiada sekatan dikenakan ke atas mana-mana anggota yang berhasrat menyuarakan kehendak masing-masing.

Beliau berkata, anggota parti berhak menyuarakan pendapat mereka selagi mereka tidak melanggar perlembagaan parti, dan menurutnya jika terdapat sebarang peraturan baru yang kelihatan seolaholah memberi kelebihan kepada penyandang jawatan, pemilihan itu adalah tidak wajar.

"Mana-mana pihak juga berhak untuk berhubung terus dengan kepimpinan di peringkat cawangan, saya sendiri menulis surat kepada ketua-ketua cawangan seluruh negara memohon supaya cawangan mengusulkan pencalonan," katanya selepas majlis perasmian Francais Antarabangsa Malaysia yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata, ruang perlu diberikan kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan ini supaya mereka dapat memperkenalkan diri kepada perwakilan.

Mesyuarat Dewan Tertinggi, Jawatan Kuasa Pengurusan BN Rabu Depan - BERNAMA

02 Ogos, 2008 16:39 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Rabu depan, yang antara lain akan membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh nanti.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BN pula akan diadakan pada sebelah pagi hari yang sama.

"Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO pula akan menyusul pada 14 Ogos nanti bagi membincangkan perkara yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Bunga Raya di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata ketiga-tiga mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai calon BN yang layak untuk bertanding menentang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim namun keputusan terakhir akan diserahkan kepada Abdullah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai nama-nama yang mungkin dicalonkan serta kriteria bagi calon yang layak.

"Ini semua rahsia. Kita mempunyai strategi sendiri. Tetapi sudah pasti kita akan berlawan dan memberikan tentangan yang hebat," katanya.

Dua hari lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan untuk bermesyuarat Rabu depan bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu.

-- BERNAMA

Mohamad Ezam Ulangi Kesediaannya Berdepan Dengan Anwar Dalam Pilihan Raya Kecil - BERNAMA

02 Ogos, 2008 10:51 AM

KLANG, 2 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk berdepan dengan bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil UMNO Permatang Pauh nanti sekiranya dicalonkan.

"Kalau tanya saya sama ada saya bersedia untuk lawan Anwar Ibrahim saya kata sudah tentu saya bersedia dan saya tak akan tolak. Menang atau kalah itu bukan perkara utama tetapi yang penting kita tentang Anwar sebagai satu pasukan untuk menegakkan kebenaran.

"Sebab itu saya kata jangan nak sebut dengan saya tentang kalah menang, dan jangan nak takutkan saya tentang kawasan Permatang Pauh. Jangan nak cabar saya kerana saya antara pejuang dan saya akan lawan," katanya dalam ceramah perdana anjuran UMNO Bahagian Shah Alam di sini malam tadi.

Mohamad Ezam menyifatkan penasihat PKR itu bukan seorang "pendekar" kerana memilih untuk bertanding di kawasan paling selamat iaitu di Parlimen Permatang Pauh.

"Selama ini orang ingat Anwar seorang pendekar tulen tetapi semalam dia dah tunjukkan sikap sebenarnya. Kalau betul dia pendekar kenapa dia perlu menyorok di kawasan selamat dan ajak orang bertarung," katanya.

Khamis lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ pada pilihan raya kecil, yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu depan.

-- BERNAMA

Anak Tempatan Permatang Pauh Sesuai Jadi Calon - BERNAMA

02 Ogos, 2008 00:24 AM

BUKIT MERTAJAM, 1 Ogos (Bernama) -- "Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon," kata Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mengenai orang yang bakal dipilih oleh Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak lama lagi.

Beliau berkata pemilihan yang paling tepat perlu dibuat oleh pucuk pimpinan parti mengenai calon yang bakal bertanding di kawasan itu nanti.

Katanya yang penting ialah calon itu perlu dari kalangan orang yang boleh berkerja dan berkhidmat kepada masyarakat, dan mengambil berat mengenai kesusahan mereka.

Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding di situ dalam pilihan raya kecil, yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu depan.

"Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk memperkenalkan calon baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal atau tahu," kata Abdul Jalil kepada pemberita di sini.

Beliau berkata calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.

Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata bahawa sebaik saja selesai pilihan raya umum 8 Mac lepas, Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.

"Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi," katanya.

Abdul Jalil berkata Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi menghadapi kemungkinan ini.

"Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insyaallah, persediaan kita sudah teratur," katanya.

Beliau berkata dengan bantuan dan kerjasama parti komponen Barisan Nasional yang lain, "pertembungan" yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.

Abdul Jalil berkata bahawa sejak kawasan itu diwakili Wan Azizah, penduduk Permatang Pauh "letih" menghadapi karenah pemimpin parti itu yang hanya memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan di kawasan berkenaan.

"Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah. Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi," katanya.

Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.

-- BERNAMA

Karpal Sambut Baik Kenyataan Hadi Awang -BERNAMA

01 Ogos, 2008 23:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi DAP Karpal Singh menyambut baik kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional berhubung penubuhan kerajaan, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata kenyataan Hadi itu amat menggalakkan dan menampakkan perkembangan yang baik buat masa depan Pakatan Rakyat.

Karpal bagaimanapun berkata demi kebaikan komponen parti dalam Pakatan Rakyat, adalah lebih baik bagi PAS menyuarakan pandangannya berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat menerusi Hadi, dan bukannya menerusi lain-lain personaliti dalam parti itu, yang adakalanya bercanggah dengan kenyataan Presiden.

-- BERNAMA

Penjual baju T Bersih dipanggil polis - Malaysia Kini

Abdul Rahim Sabri | Aug 1, 08 9:16pm

Dua penjual baju T kuning - simbol bantahan terbesar dalam sejarah Malaysia - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung demonstrasi besar 10 November tahun lepas.

Abdul Halim Mohd Sharif dan seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Azif dipanggil ke ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan jam 10 pagi Selasa depan.

bersih rally 271207 02Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Halim berkata, beliau akan pergi bersama dengan peguamnya Khairudin Othman.

Menurut Azif pula, beliau akan diiringi oleh kakitangan seketariat Bersih.

Kedua-dua pemuda tersebut berkata mereka akan memberi kerjasama dengan polis.

Mereka berkata penjualan baju T itu sekadar "membantu kawan-kawan."

Pirdaus Ramal Anwar Tidak Mudah Menang - BERNAMA

01 Ogos, 2008 21:19 PM

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Datuk Pirdaus Ismail, calon Barisan Nasional (BN) yang dua kali bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang mudah jika bertanding pada pilihan raya kecil di situ kelak.

Pirdaus yang juga Exco Pemuda Umno berkata peluang bagi mana-mana calon untuk memenangi kerusi itu yang dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam sukar diramal berikutan perubahan senario politik di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Kenapa saya katakan tidak mudah bagi Anwar, dan juga sukar kepada BN adalah kerana dahulu kita (BN) memerintah negeri ini. Mereka menilai kita dan jadi pembangkang. Sekarang ini mereka jadi kerajaan dan kita pula menilai mereka dan jadi pembangkang.

"Saya yakin rakyat tahu apa yang terbaik untuk mereka dan Umno telah bersiap sedia. Pilihan raya kali ini bukan satu perkara mudah. Rakyat menilai mereka dan rakyat juga menilai kita," katanya kepada Bernama.

Pirdaus berpendapat tindakan Presiden PKR Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh secara tergesa-gesa memperlihatkan tindakan itu seperti mengkhianati kepercayaan rakyat.

"Perkara itu menyusahkan rakyat. Pada pilihan raya lalu, saya dah beritahu rakyat jangan memberi undi. Ini dah buktikan dia (Wan Azizah) bukan bertanding untuk rakyat tetapi untuk diri sendiri.

"Ini juga membuktikan peluang Anwar untuk menang tidak mudah kerana telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Namun itu juga sukar bagi kita kerana ia boleh dikatakan kubu kuat mereka," katanya.

Semalam, Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Ditanya kemungkinan beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya ini, Pirdaus berkata perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Sekiranya diarah berbuat demikian, saya patuh. Sebagai pejuang saya merasakan itu adalah tanggungjawab. Lagipun saya bersedia dan tidak gentar untuk berhadapan dengan dia (Anwar) kerana ini bukan kali pertama saya bertanding," katanya.

Sementara itu, Pirdaus mencadangkan agar mesyuarat cawangan di negeri itu segera diselesaikan bagi membolehkan Umno Bahagian Permatang Pauh membuat persediaan secukupnya bagi pilihan raya kecil itu.

Pirdaus tewas dua kali kepada Dr Wan Azizah -- dengan majoriti 590 undi pada 2004 dan majoriti 13,388 undi pada pilihan umum yang lalu.

-- BERNAMA

Muhyiddin Akan Umum Sama Ada Pertahan Jawatan Dalam Jangka Masa Terdekat

01 Ogos, 2008 21:11 PM

MUAR, 1 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat sama ada mempertahankan jawatan atau bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan parti Disember ini.

"Tunggulah, saya akan mengumumkan keputusan ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO cawangan Permatang Pasir, Bukit Pasir di sini, Jumaat.

Beberapa cawangan UMNO di seluruh negara yang mula bermesyuarat sejak dua minggu lepas telah mengusulkan agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala cawangan Kampung Desa Jaya, Umno Bahagian Johor Baharu meluluskan usul yang mahukan Muhyiddin bertanding merebut jawatan Presiden Umno.

Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata beliau sedang mendapatkan maklum balas daripada bahagian-bahagian UMNO sebelum membuat keputusan muktamad jawatan yang beliau bakal tandingi.

Terdahulu semasa berucap, beliau berkata anggota parti atau perwakilan seharusnya menjadikan pemimpin yang boleh memberi sumbangan kepada kerajaan dan parti sebagai kriteria utama pemilihan pemimpin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, turut meminta semua anggota parti memberi tumpuan kepada usaha memulihkan parti.

Katanya usaha mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang disegani dan dihormati serta membantu memulihkan kekuatan parti-parti komponen Barisan (BN) amat penting.

"Saya bimbang jika ini tidak dilakukan, kita bukan sahaja tewas pada pilihan raya umum ke-13, malahan orang Melayu akan kehilangan kuasa politik buat selama-lamanya," tegas beliau.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...