Sunday, July 13, 2008

PERALIHAN KEPIMPINAN

Petikan: Blog Che Det

Saya percaya ramai daripada ahli UMNO dan orang ramai juga berasa lega apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan yang dianya akan letak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada Jun 2010. Pengisytiharannya di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO dari seluruh Negara disambut dengan tepukan gemuruh.

Dia juga memilih Dato Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Saya tidak hendak pertikai samada ini menurut tradisi UMNO atau tidak. Tetapi saya ingin tarik perhatian kepada keadaan dalam parti UMNO, parti Barisan Nasional dan Negara menjelang pilihanraya ke-13 hanya empat setengah tahun lagi.

Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat lagi setelah lima tahun Dato Seri Abdullah menerajui Parti dan Kerajaan. Buktinya ialah kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya Umum ke-12, 2008. Belum pernah BN kalah sebegini dalam sebelas Pilihanraya Umum yang terdahulu, termasuk pada tahun 1969.

Kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 memerlukan masa yang panjang. Masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu.

Kenyataan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah bermakna dalam masa yang singkat ini, walaupun Dato Seri Najib mengambilalih pada Jun 2010; UMNO, BN dan Kerajaan akan dipimpin oleh dua pemimpin, masing-masing dengan masalah masing-masing dalam hanya dua setengah tahun bagi tiap satu.

Masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulih semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Sesungguhnya selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

Keadaan politik dan peristiwa selepas Pilihanraya Umum ke-12 bergolak dan tidak menentu. Sebenarnya kurang kepercayaan keapada BN menambah kerana mesej rakyat kepada pemimpin tertinggi Kerajaan tidak dipedulikan olehnya. Pemimpin ini ternampak khayal dan berada dalam keadaan menidakkan kenyataan.

Dengan Dato Seri Abdullah menerus kepimpinannya hingga Jun 2010, pemulihan tidak dapat dimulakan kerana beliau tidak faham kehendak rakyat - iaitu beliau berhenti daripada mengepalai parti dan Kerajaan.

Jika Dato Seri Najib ambil alih pada Jun 2010 dia hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan UMNO, pulihkan BN dan menolong memulih parti-parti komponen dalam BN.

Kerja ini bukan mudah. Ia berkehendakkan Dato Seri Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN turun padang untuk menjelaskan tindakan yang akan diambil oleh mereka untuk memperbaiki kerosakan dalam parti-parti mereka dan pemerintahan yang dilakukan oleh Dato Seri Abdullah.

Dimasa yang sama mereka perlu bertindak untuk memulih ekonomi Negara. Dalam tiga empat tahun yang menyusul ekonomi dunia akan alami huru-hara kerana kenaikan harga minyak, bahan mentah dan makanan. Amerika Syarikat akan terus menghadapi krisis kewangan disebabkan hutang Amerika Syarikat yang tidak dapat dibayar dan kemelesetan ekonominya.

Dalam Negara inflasi luar biasa akan berlaku disertai oleh pengangguran yang tinggi. Perniagaan runcit dan industri perkhidmatan akan tergugat. Kenaikan harga barang dan makanan akan diikuti dengan lebih ramai kes muflis dan penutupan perniagaan.

Semua ini perlu ditangani oleh Dato Seri Najib dan anggota Kabinet daripada BN dalam dua setengah tahun. Ini tidak boleh jadi kerja sambilan. Ia berkehendak tumpuan sepenuh masa.

Apakah Dato Seri Najib mampu menangani semua masalah-masalah ini disamping memulihkan parti-parti? Sebenarnya kredibiliti Dato Seri Najib telah banyak merosot sejak dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah.

Dahulu Dato Seri Najib merupakan bintang yang gemilang di antara Menteri-Menteri Kabinet. Tetapi oleh kerana dia tunduk rendah kepada Dato Seri Abdullah, dengan selalunya mengia apa sahaja yang dikata dan dibuat oleh Dato Seri Abdullah, pandangan tinggi rakyat kepadanya sudah jatuh merudum. Dia perlu masa untuk memperbaiki semula imejnya. Jika daripada sekarang hingga Jun 2010 dia masih dilihat sebagai "Mr Yes" yang utama, mustahil dia akan dapat pulih imejnya.

Kenyataannya yang dia berasa terharu kerana kepercayaan Dato Seri Abdullah kepadanya tidak meyakinkan sesiapa yang dia boleh ubah sikapnya. Dia akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah yang mudah dikongkong oleh Dato Seri Abdullah. Apakah ada jaminan yang dia akan dapat bebaskan dirinya daripada Dato Seri Abdullah setelah mengambil alih? Sukar bagi kita mempercayai yang dia mampu.

Di masa yang sama banyak tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Dalam keadaan ini pemulihan UMNO, BN, MCA , MIC, Gerakan dan PPP tidak mungkin dijayakan sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Dato Seri Abdullah harus tahu bahawa akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa menang dan siapa kalah.

Hari ini Dato Seri Abdullah boleh paksa, ugut, sogok ahli dan pemimpin UMNO untuk ikut kehendaknya, untuk sokong apa sahaja yang dikatakan olehnya, atau yang dibuat olehnya.

Tetapi seperti pada Pilihanraya Umum ke-12, ahli UMNO dan BN, penyokong biasa UMNO dan BN dan mereka yang secara terbuka pandang jijik kepada kepimpinannya akan tolak UMNO dan BN.

Percayalah jika UMNO dan BN hendak dipulih supaya tidak kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13 berbanding Pilihanraya Umum ke-12 Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan sekarang juga.

Biarlah ada pertandingan untuk jawatan-jawatan presiden, timbalan presiden dan lain-lain dalam Mesyuarat Agong Disember ini.

Siapa juga yang dipilih hendaklah diasingkan daripada Dato Seri Abdullah supaya pengaruhnya dan ketamakan konco-konconya tidak lagi dapat merosakkan Negara.

Apabila ini berlaku maka kepemimpinan baru dan seluruh jentera parti boleh digerak dengan semangat yang baru untuk berusaha menarik balik ahli dan penyokong yang telah undi parti lawan atau merosakkan undi pada Pilihanraya Umum ke-12.

Kerajaan perlu disusun semula supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah ketidakstabilan politik, masalah ekonomi yang telah rosak dan tekanan politik dan ekonomi dari luar negeri.

Ahli UMNO yang sudah di sedapkan oleh kenyataan Dato Seri Abdullah perlu fikir dengan mendalam.

Jika kerana diri sendiri hendak senang Parti UMNO biar dihancurkan, generasi sekarang dan akan datang akan kutuk kamu. Janganlah kerana duit RM100, kain pulikat dan sejadah, bangsa sendiri dijual.

Janganlah utamakan kepentingan diri, keinginan untuk jadi menteri, untuk mendapat kontrak bagi diri sendiri, maka bangsa dan maruah dijual.

Ingatlah beberapa Menteri Besar yang begitu yakin mereka akan terus jadi MB, akan terus mengagih peluang jadi Exco, peluang untuk kekayaan dan dengan itu menyatakan dengan kuat sokongan mereka kepada Dato Seri Abdullah, Presiden UMNO, hari ini jadi ketua pembangkang, terpaksa tinggal mahligai mereka dan tidak boleh beri gula-gula kepada yang mencium tangan mereka.

Dan Dato Seri Abdullah sendiri harus ingat parti lawan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk menang pilihanraya. Sokongan oleh ahli yang setia secara buta tuli tidak mencukupi untuk menang. Sokongan penyokong yang bukan ahli diperlukan.

Di masa yang sama jikalau calon-calon parti komponen tidak menang kerana orang Cina dan India tidak suka pada Dato Seri, justeru itu menolak MCA, MIC, Gerakan dan PPP, BN tidak akan menang Pilihanraya Umum ke-13, Dato Seri tidak akan dapat memberi gula-gula lagi.

Ingatlah kalau UMNO kalah Pilihanraya Umum ke-13, ia tidak akan kembali berkuasa walau siapa pun yang memimpinnya.

Sedarlah akan hakikat ini semua. Jika Dato Seri kalah, UMNO dan BN kalah, generasi ini dan akan datang akan kutuk Dato Seri, pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Deal dengan Umno : Ezam Minta Jadi Menteri ? Bah.3 & 4

sila baca bahagian 1 & 2 terlebih dahulu.

petikan blog kisah ezam

Hyatt Saujana



Jawapan Anwar ini telah disampaikan oleh YB Azmin Ali dan Khalid Jaafar kepada Ezam. Inilah yang menyebabkan Ezam membatalkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Keadilan. Pada ketika inilah, Ezam mula mendedahkan tentang pertemuan beliau dengan Mat Taib dan Khir Toyo kepada Anwar Ibrahim dan pimpinan parti lain. Ezam juga telah meminta Anwar menamakan wakil yang Anwar pilih bagi menghadiri pertemuan dengan Tan Sri Khalil Yakob di kediaman Khir Toyo.

Malangnya, tiga wakil yang Anwar namakan untuk menyertai Ezam dalam pertemuan tersebut tidak dapat bertemu dengan Khalil kerana kebetulan Khalil tersangkut dalam kesesakan lalulintas. Pertemuan dengan Khalil yang sepatutnya berlangsung seminggu selepas itu juga akhirnya tidak berlaku hingga kini. Pada 9 Disember 2003, Ezam mengarahkan saya menempah sebuah bilik mesyuarat untuk 10 orang di Hyatt Saujana Subang.




Pada hari inilah saya telah menyaksikan bagaimana perundingan untuk memasuki Umno berlaku di depan mata saya sendiri. Umno diwakili oleh Datuk Aziz Samsuddin yang diiringi oleh seorang temannya, Hashim Lim, manakala Ezam merupakan jurucakap kepada lima orang lain yang akan menyertai Umno bersama beliau, iaitu Ruslan Kassim, Hamdan Taha, Zahid Mat Arip, Dr Wahid Suhaimi dan saya sendiri.
Di dalam pertemuan ini, Ezam telah menyuarakan kesediaan kami untuk menyertai Umno dan harapan kami untuk melihat Datuk Seri Anwar dibebaskan. Datuk Aziz menyatakan kesediaan beliau untuk menyatakan hasrat kami kepada Pak Lah dan memaklumkan bahawa kami akan bertemu semula dalam masa dua minggu dari tarikh tersebut.
Pertemuan dengan Aziz ini hanya kami berenam yang tahu kerana Ezam tidak mahu pimpinan lain termasuk Anwar tahu. Apa sebabnya sayapun tidak tahu. Dalam pertemuan ini, Hashim Lim telah merakam gambar kami bersama Aziz untuk disimpan sebagai kenang-kenangan kerana ianya mungkin akan menjadi detik bersejarah katanya.
Bila pertemuan di bilik Mutiara 1, Hyatt Saujana Subang ini telah dijelaskan sendiri oleh Ezam dengan menggunakan Master Card miliknya. Setelah dua minggu berlalu, tiada sebarang berita kami terima dari Aziz (Samsuddin). Kegagalan pertemuan ketiga ini, menurut Ezam, merupakan mesej yang jelas bahawa Pak Lah masih belum bersedia untuk membebaskan Anwar.
Ubah pendirian
Di saat inilah pendirian Ezam mula berubah. Beliau telah menghantar satu mesej kepada Aziz (Samsuddin) yang berbunyi: "Sekiranya kami bersedia menyertai Umno dengan tidak meletakkan pembebasan Anwar sebagai syarat, boleh tak Pak Aziz bantu kami dalam dua perkara. Pertama, agar kami diberikan jawatan politik dan kedua bantuan ekonomi".
Saya telah bertanya dengan Ezam: "Kenapa secara tiba-tiba you ubah syarat kemasukan kita ke dalam Umno?" Jawab Ezam: "Man, kau kena faham yang ramai orang nak jatuhkan Pak Lah. Kalau Pak Lah bebaskan Anwar sekarang, orang akan gunakan isu pembebasan Anwar itu untuk memastikan prestasi Pak Lah dalam pilihan raya akan datang ini teruk. We got to be fair to Pak Lah (Kita mesti adil kepada Pak Lah). Itu sebabnya kita kena join (masuk) Umno dulu and make sure (pastikan) Umno menang besar dalam pilihan raya akan datang, Pak Lah mesti bentuk kabinetnya sendiri dan dia mesti ditabalkan sebagai presiden Umno dulu. Bila dia dah menang election (pemilihan) Umno barulah kita push (gesa) dia untuk bebaskan Anwar. Masa tu, bila Pak Lah dah yakin yang kita betul-betul dengan dia, diapun tak takut nak bebaskan Anwar. Sebab masa tu nanti, semua orang kuat Anwar dengan dia. Kita akan convince (yakinkan) Pak Lah, jika Anwar lawan dia, kita sendiri akan lawan Anwar".
Mendengar hujah Ezam ini, sayapun bertanya sekali lagi kepada Ezam: "Kau tak takut ke orang maki kita kerana masuk Umno sedangkan Anwar terpenjara". Jawab beliau: "Biarlah orang maki kita sekarang, lepas Anwar bebas enam bulan atau setahun dari sekarang, mereka akan faham".
Bagi diri saya yang berjuang dalam Keadilan kerana Anwar, jika Anwar boleh keluar enam bulan atau setahun dari sekarang, itu sudah cukup bagus daripada merengkok enam tahun lagi.

Mesej terakhir Ezam kepada Aziz (Shamsuddin) ini juga tidak mendapat jawapan yang Ezam mahukan. Jawapan yang Ezam terima ialah Umno hanya akan menerima kami tanpa syarat dan sebagai balasan, kami juga akan diterima tanpa syarat dan tanpa sebarang sekatan untuk memegang jawatan atau bertanding dalam pilihan raya. Ini telah membawa kepada pertemuan terakhir Ezam dengan junior beliau di UIA tadi.

Sebelum dia bertemu dengan orang kuat Pak Lah itu, dia telah memberitahu saya bahawa dia terpaksa berterus-terang dengan juniornya itu bahawa dia perlukan ”role” (peranan) dalam Umno. Namun, Ezam segan untuk menyatakan perkara tersebut secara terus terang kepadanya. Maka dia memberitahu saya jika dia menyebut tentang ”role” yang dia perlukan, maka saya perlu memberitahu orang itu yang dia perlukan political role (peranan politik), jawatan menteri atau setidak-tidaknya timbalan menteri.
Bersambung ke siri 4..........


Bahgn 4 (Akhir)

Oleh Lokman Nor Adam

Jawatan politik

Semasa pertemuan di Coffee House Hotel Sunway Resort, Ezam telah jelas berbohong kepada juniornya itu. Dia tidak berterus-terang menyatakan yang dia perlukan ˜political role”, tetapi sebaliknya menggunakan nama Anwar untuk meminta jawatan tersebut. Kata Ezam: "I dah beritahu Anwar tentang ˜my intention to leave the party,” (niat saya untuk keluar parti) dan akan tumpukan kepada NGO, tapi Anwar said no, no (kata, jangan, jangan). Apa mengarut NGO, NGO ni. I want u to leave the party, join Umno, support Pak Lah and tell Pak Lah that I am willing to accept him as Prime Minister. But, you must make sure you ada role" (saya mahu awak keluar parti, masuk Umno, sokong Pak Lah dan beritahu Pak Lah saya bersedia menerimanya sebagai Perdana Menteri. Tetapi awak mesti pastikan awak ada peranan).

Bila saya mendengar Ezam cakap macam itu, rasa macam nak tergelakpun ada. Macamana dia boleh suka-suka cakap macam ni? Bila mendengar apa yang Ezam ungkapkan tadi, maka orang kuat Pak Lah itupun bertanya kepada Ezam:"What kind of role (apa bentuk peranan) yang you mahu. Mungkin I could talk to Pak Lah (saya boleh beritahu Pak Lah) untuk letak you jadi pengarah satu institut macam IKD ke".

Ketika itu Ezam mula menjeling saya dan saya mula menyampuk dengan berkata: "Ezam ni politician (ahli politik), bukan academician (ahli akademik) yang you boleh letak jadi pengarah institut. Maksud Ezam dia perlukan political role (peranan politik)". Tanya orang kuat Pak Lah itu lagi: "Yalah, what kind of political role (apa bentuk peranan politik) yang you mahu?".

Maka sayapun menjawab: "Political role (peranan politik) ni macam minister (menteri) ke or at least Deputy Minister (atau sekurang-kurangnya timbalan menteri)". Junior Ezam tadi terus melenting,

"Oh no! Not only Pak Lah wont consider such thing (Oh tidak, bukan saja Pak Lah tidak mempertimbangkan perkara seperti itu), I sendiripun tak berani nak bring this matter to Pak Lah (kemukakannya kepada Pak Lah). Kalau you cakap awal-awal lagi yang you nak Deputy Minister (timbalan menteri) lain cerita. Ini you dah tulis surat menyatakan hasrat you untuk bersama Pak Lah secara ikhlas and in fact (malah) you dah suruh I beritahu Pak Lah yang you akan resign as (letak jawatan sebagai) ketua Pemuda Keadilan sebagai tanda keikhlasan you, sebelum jumpa Pak Lah, takkan I nak beritahu dia you letak syarat macam ni sekarang? I dah convince (yakinkan) Pak Lah yang you benar-benar ikhlas nak bersama dia, he was very happy (beliau amat gembira). Now (sekarang), kalau I bawa benda ni pada Pak Lah, orang keliling dia akan kata, you see (Lihatlah),.he wants something (dia mahu sesuatu). Kredibiliti I akan rosak".

Itulah pertemuan terakhir Ezam dengan orang Umno sepanjang pengetahuan saya. Semasa dalam perjalanan balik, Ezam (dengan nada marah) berkata kepada saya:"Kita kena all out (habis-habisan) belasah Pak Lah. Tapi kalau kau nak ikut yang lain-lain masuk Umno buta macam tu, aku tak kisah".

Ketika itu saya memberitahu Ezam:"Kalau nak ikut hati, aku 10 kali lagi tak nak masuk Umno, lebih-lebih lagi kalau Boss tak boleh bebas. Macamana kita nak tepis maki-hamun orang yang mengharap pada kita. Dahlah kita ni baru keluar penjara".

Kenyataan bersumpah

Maka, pada malam tersebut kami telah sama-sama berikrar untuk meneruskan perjuangan dalam Keadilan. Malam itu jugalah lahir idea untuk buat program ˜Gerakan Anwar Bebas dan meneruskan program Jelajah Pemuda BA yang terhenti di peringkat awal gara-gara perundingan untuk membebaskan Anwar. Apa yang menyedihkan saya, apabila soal perundingan ini mula dihidu oleh ahli-ahli Keadilan yang lain dan kebetulan saya sedang hebat mengkritik beliau, semua beban kesalahan telah diletakkan ke atas diri saya.

Padahal, tidak pernahpun walau sekali saya mengajak sesiapa menyertai Umno, apatah lagi menawarkan ganjaran kewangan kepada mereka. Saya merasa terpanggil untuk menulis tentang perkara sebenar yang berlaku ini kerana saya merasa jijik mendengar kenyataan Ezam di Warta KL bahawa beliau ditawarkan jutaan ringgit untuk menyertai Umno. Malah di atas pentas ceramah, beliau pernah menyatakan bahawa beliau ditawarkan jutaan ringgit dan jawatan menteri kanan jika sanggup menyertai Umno.

Ini semua adalah pembohongan belaka, termasuklah cerita yang direka oleh Ezam untuk dijadikan kenyataan bersumpah oleh Zoolhelmi Yahya, ketua Pemuda Keadilan Perak.

Sejak Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar menggunakan kenyataan bersumpah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar, Ezam tidak pernah percaya kepada kenyataan bersumpah. Macamana sekarang ini dia boleh menggunakan taktik keji Dr Mahathir ini untuk menjatuhkan maruah lawan politiknya.

Nasihat saya kepada Ezam, jika nak libatkan nama saya dalam cerekarama saudara di lain masa, tolong pastikan di mana saya berada ketika cerekarama beliau kononnya berlaku. Jadi, tidaklah malu macam cerita Zoolhelmi ni. Siapa yang akan percaya kepada saudara sekarang apabila Zoolhelmi mengatakan bahawa beliau, saya, Zahid, Ruslan, Hamdan, Hanafiah Man dan lain-lain, menerima wang pendahuluan RM 25,000 seorang dari seorang "Datuk yang tidak dikenali" di rumah Datuk Najib (Razak), sedangkan pada malam 10 Februari itu, saya berada di rumah Sdr Rahman Othman, timbalan presiden Keadilan untuk menunjukkan bukti-bukti penyelewengan dana parti yang saudara lakukan.

Kalau betullah saudara ditawar RM1 juta untuk menyertai Umno, sudah tentu saudaralah yang akan mengepalai kumpulan 12 itu kerana inilah peluang saudara untuk memiliki RM1 juta dengan titik peluh saudara sendiri, tanpa perlu mengelapkan dana untuk perjuangan parti.

Lokman Adam adalah bekas setiausaha Pemuda Keadilan dan ahli Majlis Tertinggi yang digantung keahliannya.

*Begitulah catatan kisah ezam sebanyak 4 siri, kita semua dengan pendedahan ini ezam mengangap ianya sebagai fitnah buat dirinya, Ezam dan lokman kini sama-sama didalam Umno, apa nak jadi.....Tepuk dada tanya iman.

Polis beri amaran kepada Anwar, penyokong

Petikan: Utsan Online

13/07/2008 7:10pm

KUALA LUMPUR 13 Julai - Polis mengulangi amaran kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya supaya tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang di pekarangan bangunan Parlimen esok.

Ia berikutan perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi melarang Anwar dan mana-mana individu berkenaan hadir di lokasi terbabit, berkumpul mahupun mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Permohonan perintah mahkamah itu dikemukakan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Yassin hari ini.

Perintah larangan daripada mahkamah perlu dikeluarkan segera atas kesuntukan masa memandangkan ia dijadual diadakan esok. - Utusan

Najib: "Saya bukan ahli politik play-safe, sedia dicabar Disember ini'

Petikan: mStar Online
13-07-2008 06:29:38 PM

Oleh G.MANIMARAN

SUASANA pada sidang media Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd. Najib Tun Razak untuk mengumumkan tarikh peralihan kuasa kepimpinan parti dan negara Jun 2010 di PWTC, Khamis lalu.

PETALING JAYA: Dengan menafikan tanggapan beliau sebagai ahli politik play-safe, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang menjadi pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menggantikan beliau mulai Jun 2010, bersedia untuk menghadapi sebarang tentangan jika dicabar pada pemilihan parti Disember ini.

Bagaimanapun beliau berharap keadaan itu tidak berlaku demi kestabilan parti yang pernah berhadapan dengan krisis 1988 dan 1998.

"Saya sudah membuat keputusan dan akan tetap dengan keputusan saya mengikut pelan peralihan kuasa itu. Jika saya dicabar, saya akan menghadapinya. Bagaimanapun saya berharap ia tidak berlaku," kata beliau Timbalan Presiden Umno itu dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika berlaku pertandingan pucuk pimpinan tertinggi, ia akan menyebabkan kewujudan dua kumpulan dalam parti.

"Dulu kita sebut team A dan team B yang menyebabkan Kabinet berpecah, Majlis Tertinggi berpecah dan perpecahan ini akan merebak sehingga ke peringkat akar umbi. Selepas selesai pemilihan, usaha untuk menyatupadukan semula barisan pimpinan dan ahli-ahli amat sukar," katanya.

Meskipun Abdullah-Najib mencapai kata sepakat mengenai pelan peralihan kuasa Jun 2010, masih ada pandangan bercampur aduk bahawa pucuk kepimpinan parti harus ditentukan oleh ahli-ahli parti menerusi pemilihan.

Mesyuarat cawangan akan berlangsung mulai 17 Julai ini dan disusuli dengan persidangan bahagian Oktober manakala pemilihan pusat akan diadakan pada Oktober ini.

"Akibat berlakunya pertandingan pada pemilihan UMNO tahun 1987, kita pernah menyaksikan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 dan ekoran popularitinya, BN kalah teruk di Kelantan.

"Sehingga sekarang negeri itu masih di tangan pembangkang dan kita belum dapat menebusnya kembali.

"Selepas itu, pada tahun 1998 berlakunya krisis politik membabitkan Anwar Ibrahim dan menyebabkan BN hilang pegangan di Terengganu selain kehilangan banyak kerusi di beberapa negeri," tambah beliau yang juga Menteri Pertahanan.

Abdullah dan Najib masing-masing dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden tanpa cabaran empat tahun lalu selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara Oktober 2003.


  • Pelan peralihan penuhi kehendak Umno Johor - Khaled
  • Abdullah serah kepada Najib pilih timbalannya
  • Pemilihan: Umno Terengganu calonkan Abdullah, Najib

    Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan hasrat untuk mencabar Abdullah bahawa jawatan Presiden manakala Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin disebut-sebut akan menyaingi jawatan Timbalan Presiden.

    Najib menambah, dengan mengambil kira kekalahan di lima negeri pada pilihan raya umum yang lalu dan UMNO terus berpecah-belah, "saya bimbang dan khuatir mengenai keputusan pilihan raya umum akan datang."

    "Saya sedar dan akui, ramai orang suka pada pertandingan atas berbagai-bagai sebab, termasuk ahli yang menjadi penyokong sehingga berlaku keadaan seperti satu pesta tetapi apa yang saya fikirkan ialah kesan yang berlaku kerana pertandingan itu sendiri.

    "Sebab itu saya pernah mengeluarkan kenyataan semasa di London iaitu arwah ayahanda saya (Allahyarham Tun Abdul Razak Husein) ialah pengasas UMNO, dan saya tidak mahu menjadi anak yang merosakkan perjuangan beliau," tambah beliau.

    Berhubung soalan beliau seorang ahli politik yang menggunakan pendekatan play-safe sejak lebih tiga dekad menceburi politik, Najib berkata:

    "Itu bukan play-safe, kalau saya mengamalkan play-safe, maka saya tidak akan menjadi ahli politik. Setiap ahli politik kena hadapi bermacam-macam persaingan dan dugaan serta cabaran kerana pilihan raya bukan sesuatu yang mudah."

    Kata beliau, pemilihan dalam parti juga boleh menyebabkan kekalahan jawatan yang ditandingi.

    "Cuma sepanjang saya berpolitik, tidak ada pertandingan satu lawan satu sahaja seperti jawatan untuk Exco Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan saya pernah lalui semua itu. Jadi bukanlah bermakna saya takut pada pertandingan tetapi saya ada perkiraan dan pertimbangan tersendiri," jelas beliau.


    TRANSKRIP PENUH TEMU BUAL DATUK SERI MOHD. NAJIB DENGAN TUN RAZAK

    MINGGUAN: Apakah reaksi Datuk Seri apabila tempoh peralihan kuasa diumumkan oleh Perdana Menteri?

    NAJIB: Walaupun saya sudah berunding perkara ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini dan tarikh itu dimaklumkan kepada saya lebih awal, namun apabila ia diisytiharkan, wujud perasaan terharu dan sangat insaf bahawa dengan keizinan Allah dalam jangka waktu yang disebutkan, saya terpaksa menggalas amanah dan tanggungjawab yang sangat berat.

    Ini membawa satu perasaan keinsafan bahawa saya perlu melakukan bersungguh-sungguh dalam masa ini sebagai persediaan, terutamanya `menggali’ pengalaman dan menimba pengetahuan sebanyak mungkin dan memperkukuhkan lagi jaringan saya di dalam dan luar negara.

    Ia membolehkan apabila tiba masanya nanti saya tidak berasa kekok atau berasa sesuatu yang agak janggal atau memiliki kekurangan yang ketara bagi menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

    Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini.

    Bagaimana pula dengan reaksi di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO sendiri?

    NAJIB: Reaksi itu berbeza-beza. Ada yang menyatakan bahawa tempoh itu terlalu panjang, ada yang kata sesuai dan mungkin ada pula yang menyatakan Perdana Menteri tidak perlu melakukan perkara itu.

    Walau apa pun perbezaannya, tetapi pada kesudahannya saya yakin ahli-ahli UMNO akan menerimanya kerana itulah yang dirundingkan antara saya dengan Presiden parti. Kita sudah fikir apa yang terbaik untuk parti dan dengan adanya permuafakatan ini, bererti ia akan mengelak daripada pertembungan di peringkat tertinggi dalam parti yang biasanya membawa kepada akibat yang amat buruk kepada kepentingan parti.


    Bilakah permuafakatan berhubung peralihan kuasa ini dicapai dan kenapa hanya diumumkan Khamis lalu?

    NAJIB: Ia sudah dicapai sebelum ini dalam beberapa pertemuan yang diadakan. Antara tempoh bulan Mei dan Jun kita sudah mendapat gambaran (bila peralihan akan berlaku) tetapi dalam perbincangan itu ada perubahan dari segi apa yang kita putuskan. Sudah tentu ada pendapat yang Perdana Menteri ketengahkan dan saya utarakan, akhirnya ia berkesudahan dengan apa yang diumumkan semalam (Khamis).

    Saya tidak menetap apa-apa syarat selain meminta diberi masa secukupnya untuk membuat persediaan sebelum pilihan raya akan datang. Apa yang amat penting bukannya jawatan tetapi apa yang kita hendak lakukan apabila mendapat sesuatu jawatan. Sesetengah daripada kita hanya memikirkan macam mana hendak pergi ke sesuatu tempat tetapi dalam fikiran, saya tidak melihat kepada proses (peralihan jawatan) tertentu sahaja.

    Saya melihat apa yang boleh dilakukan atau mampu saya lakukan sekiranya saya dapat sampai ke tempat itu kerana ini bukanlah sebarangan jawatan. Kalau sebarangan jawatan itu, ia hanya menyentuh soal masa depan kita sebagai seorang insan atau paling banyak keluarga kita sendiri, tetapi kita bercakap soal 26 juta rakyat Malaysia yang tentu bergantung harap kepada kepimpinan kita atau pun kepimpinan sesiapa yang menjawat jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.


    Ada yang menyatakan tindakan peralihan ini dilakukan bagi mengelakkan Datuk Seri mencabar kedudukan Presiden dalam pemilihan parti Disember ini?

    NAJIB: Macam-macam pandangan dilontarkan sebab pemerhati politik ini terlalu ramai. Macam-macam orang yang minat sangat politik UMNO dan politik dalam UMNO. Sudah tentulah mereka tidak sependapat. Namun apa yang penting sekali bagaimana perasaan dan fikiran saya. Apakah saya yakin dan serasi dengan pelan itu. Ini kerana ia melibatkan tubuh badan saya sebagai pemimpin, jadi itulah yang paling utama sekali. Mereka patut berasa yakin bahawa apa yang saya lakukan ialah yang terbaik.

    Ada yang kata, kononnya ini suatu perangkap buat Datuk Seri dan Pak Lah cuba mengambil kesempatan. Bagaimana untuk menghadapi persepsi dan andaian seperti ini?

    NAJIB: Saya telah menerangkan banyak sebab dalam ucapan saya semasa perhimpunan semalam (Khamis). Apa yang penting sekali dalam fikiran saya ialah apa yang saya mahu lakukan apabila menjawat kerusi itu nanti, lebih-lebih lagi persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Jika kita memberi tumpuan dalam perkara tersebut, kita semua boleh memahami mengapa saya menerima pelan peralihan kuasa itu.

    Ini kerana tindakan berkenaan akan memelihara kekuatan parti selain saya sendiri percaya kepada peralihan kuasa secara bersopan dan teratur dan mengekalkan tradisi baik dalam UMNO.

    Jadi, ia adalah satu amalan yang boleh menjadi jalan keluar dalam menentukan kepimpinan parti pada masa akan datang. Maknanya, apabila wujud keperluan untuk melakukan peralihan kuasa, maka kita kembali kepada konvensyen atau tradisi dalam parti. Bagi saya, adalah sangat penting untuk mengekalkan tradisi yang amat baik ini.

    Pada masa yang sama, saya cukup sedar bahawa suatu hari nanti saya juga terpaksa turun dari tampuk pemerintahan dan bila saya turun nanti, saya juga ingin turun dalam keadaan yang baik, tidak mahu menerima asakan atau desakan mana-mana pihak untuk berundur, sebaliknya turun pada masa yang saya fikir sesuai untuk berbuat demikian.

    Sejarah Datuk Seri sendiri agak unik kerana tidak pernah mencabar?

    NAJIB: Saya memang mengamalkan politik tidak mencabar, sejak saya mula menceburi politik negara pada tahun 1976 dan hingga hari ini iaitu sepanjang tempoh 32 tahun saya berpolitik, saya tidak pernah mencabar sesiapa melainkan jawatan itu kosong atau dikosongkan atas apa-apa sebab tertentu, saya bertindak mengisi kekosongan jawatan tersebut.

    Bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian Pekan, Pahang apabila Allahyarham Cikgu Mat Ghani menyuruh saya mengambil tempat beliau dan begitu juga apabila Datuk Mokhtar Hashim habis tempoh sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya ambil alih jawatan itu.

    Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, saya ambil alih jawatan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO pada masa itu. Bila jawatan Naib Presiden UMNO dikosongkan, saya mengisi kekosongan jawatan itu. Bila Pak Lah menjadi Presiden UMNO, saya ganti beliau untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Jadi, mungkin ini qada dan qadar Allah yang menunjukkan jalan yang saya tidak perlu bertanding dan saya juga tidak tahu cara untuk mencabar seseorang kerana tidak ada pengalaman dalam perkara itu. (ketawa)

    Itu tafsiran peribadi Datuk Seri tetapi ramai yang mendakwa Datuk Seri sebenarnya cuba play-safe atau mencari jalan selamat bagi meraih jawatan.

    NAJIB: Itu bukan play-safe, kalau saya mengamalkan play-safe, maka saya tidak akan menjadi ahli politik. Setiap ahli politik kena hadapi bermacam-macam persaingan dan dugaan serta cabaran kerana pilihan raya bukan sesuatu yang mudah. Pemilihan dalam parti juga boleh menyebabkan kekalahan jawatan yang ditandingi, cuma sepanjang saya berpolitik, tidak ada pertandingan satu lawan satu sahaja seperti jawatan untuk Exco Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan saya pernah lalui semua itu. Jadi bukanlah bermakna saya takut pada pertandingan tetapi saya ada perkiraan dan pertimbangan tersendiri.

    Adakah peralihan kuasa yang dilakukan ini bertepatan dengan kehendak akar umbi?

    NAJIB: Saya percaya di peringkat akar umbi akan ada pelbagai pendapat. Mungkin ramai juga yang hendak masa peralihan yang lebih pendek tetapi setelah diumumkan dan saya berucap dalam perhimpunan dengan ketua-ketua bahagian mengapa saya bersetuju dengan pelan peralihan tersebut, saya percaya majoriti akan terima. Malah ramai sudah jumpa saya dan menyatakan, apa pun pendapat peribadi mereka, mereka terimalah apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri kerana itulah juga yang saya terima sebagai keputusan tetap.

    Tetapi ahli-ahli UMNO mendesak mempercepatkan pelan peralihan agar dapat menyelesaikan masalah?

    NAJIB: Kita telah membuat keputusan mengenai peralihan kuasa ini dan ia disambut baik di peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan penerangan telah disampaikan kepada semua ketua di peringkat bahagian dan cawangan serta tiga sayap pergerakan (Pemuda, Wanita, Puteri) dalam UMNO.

    Harapan saya ialah, ia dapat diterima dan disokong secara sebulat suara agar selepas ini, kita tidak terlalu memikirkan mengenai pertandingan, sebaliknya, menumpukan minda serta mengerah tenaga membangunkan negara untuk menentukan kesejahteraan rakyat.

    Saya melahirkan penghargaan kepada Pak Lah kerana saya sedar adalah sesuatu yang sukar bagi seseorang untuk melepaskan jawatan, apa tah lagi jawatan Perdana Menteri. Ketika perhimpunan di PWTC itu, saya bertanya kepada semua yang hadir, tuan-tuan hendak lepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian yang dipegang senang atau tidak? Mereka berteriak macam-macam. Ada yang tersenyum. Saya katakan jangankan jawatan ketua bahagian dan ketua cawangan, melepaskan jawatan ketua kampung sekalipun adalah susah, inikan pula jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

    Melalui keputusan peralihan ini, adakah ia akan menghalang peringkat akar umbi untuk membuat pencalonan lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden?

    NAJIB: Kita tidak boleh paksa sebab UMNO adalah parti demokratik, suara ahli parti ialah suara keramat, kita harus terima hakikat itu. Atas sebab itulah dalam ucapan saya semasa perhimpunan tersebut, saya merayu kepada ahli-ahli parti supaya menerima pelan peralihan kuasa ini. Ini kerana itulah yang pada pendapat Presiden dan saya, jalan terbaik untuk kita pastikan kekuatan dan memulihkan UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    Maksudnya, bahagian-bahagian masih ada kuasa untuk mencalonkan orang lain bagi kedua-dua jawatan berkenaan?

    NAJIB: Bahagian masih ada kuasa berbuat demikian mengikut perlembagaan tetapi kita berharap mereka menerima pelan peralihan kuasa dan membuat pencalonan bersesuaian dengan pelan tersebut.

    Adakah para perwakilan akan menerangkan sehingga ke peringkat akar umbi mengenai keputusan Datuk Seri ini dan cuba menerima rasional pelan peralihan itu?

    NAJIB: Saya harap Ahli Majlis Tertinggi, badan perhubungan UMNO dan juga barisan exco Pemuda UMNO, Wanita UMNO dan Puteri UMNO akan menyampaikan asas pertimbangan saya itu kepada peringkat akar umbi.

    Bagaimana jika Datuk Seri dicabar bagi jawatan Timbalan Presiden?

    NAJIB: Saya sudah membuat keputusan dan akan tetap dengan keputusan saya mengikut pelan peralihan kuasa itu. Jika saya dicabar, saya akan menghadapinya. Bagaimanapun saya berharap ia tidak berlaku.

    Apa kesannya jika berlaku pertandingan di peringkat pucuk pimpinan UMNO?

    NAJIB: Jika berlaku pertandingan pucuk pimpinan tertinggi ia akan menyebabkan kewujudan dua kumpulan dalam parti. Dulu kita sebut team A dan team B yang menyebabkan Kabinet berpecah, Majlis Tertinggi berpecah dan perpecahan ini akan merebak sehingga ke peringkat akar umbi. Selepas selesai pemilihan, usaha untuk menyatupadukan semula barisan pimpinan dan ahli-ahli amat sukar.

    Akibat berlakunya pertandingan pada pemilihan UMNO tahun 1987, kita pernah menyaksikan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 dan ekoran popularitinya, BN kalah teruk di Kelantan. Sehingga sekarang negeri itu masih di tangan pembangkang dan kita belum dapat menebusnya kembali. Selepas itu, pada tahun 1998 berlakunya krisis politik membabitkan Anwar Ibrahim dan menyebabkan BN hilang pegangan di Terengganu selain kehilangan banyak kerusi di beberapa negeri.

    Jadi, kalau pada masa ini, selepas kekalahan di lima negeri pada pilihan raya umum yang lalu dan UMNO terus berpecah-belah, saya bimbang dan khuatir mengenai keputusan pilihan raya umum akan datang.

    Saya sedar dan akui, ramai orang suka pada pertandingan atas berbagai-bagai sebab, termasuk ahli yang menjadi penyokong sehingga berlaku keadaan seperti satu pesta tetapi apa yang saya fikirkan ialah kesan yang berlaku kerana pertandingan itu sendiri. Sebab itu saya pernah mengeluarkan kenyataan semasa di London iaitu arwah ayahanda saya (Allahyarham Tun Abdul Razak Husein) ialah pengasas UMNO, dan saya tidak mahu menjadi anak yang merosakkan perjuangan beliau.

    Tidakkah pengumuman peralihan kuasa ini akan menyebabkan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Perdana Menteri selepas ini tidak akan diyakini memandangkan beliau akan melepaskan jawatan itu pada 2010?

    NAJIB: Saya tidak menganggap sedemikian malah saya telah menyatakan bahawa kita tidak boleh menganggap Pak Lah berada dalam keadaan lemah sekarang ini, biarpun beliau telah mengumumkan pelan peralihan. Ini kerana sebagai Perdana Menteri, beliau masih berkuasa dan kuasa itu tidak boleh dihakis atau dikurangkan walaupun ia telah umumkan pelan peralihan. Dr. Mahathir dulupun umum tempoh peralihan dan beliau masih boleh membuat keputusan.

    Mungkin ada perbezaan kedudukan Datuk Seri sekarang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri?

    NAJIB: Saya tidak melihat perbezaan, tetapi apa yang pasti spekulasi tentang masa depan kepimpinan negara dapat dileraikan. Jadi maknanya, ada satu kepastian mengenai kepimpinan negara kecuali sesuatu luar biasa berlaku yang kita tidak duga sama sekali.

    Kalau ikut kepada perancangan kita dan dengan keizinan Allah itulah yang akan jadi kenyataan. Kepastian itu amat disukai oleh ahli-ahli parti dan pasaran sebenarnya. Ini kerana bagi pasaran, sesuatu yang tidak menentu boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan andaian serta amat sukar bagi orang untuk membuat sesuatu perancangan masa depan.

    Memandangkan Datuk Seri menetapkan pilihan raya umum akan datang sebagai sasaran sebenar, bagaimana untuk memastikan Barisan Nasional (BN) turut diterima rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi yang melanda?

    NAJIB: Kerajaan faham kegawatan ekonomi adalah satu kitaran yang berlaku dan apabila merudum, ia akan memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun untuk pulih semula. Dalam keadaan ekonomi dunia yang meleset hari ini, kita tidak boleh mengelak dan turut merasai kesannya mulai tahun ini atau tahun hadapan.

    Pada masa ini, dengan keupayaan kerajaan menguruskan pentadbiran negara termasuk ekonomi, kita mesti membuat perancangan dan keputusan yang sesuai dari aspek makro-ekonomi Malaysia.

    Parti pembangkang cuma tahu menggunakan pendekatan popular, tidak mengira apa yang bakal berlaku dalam berpuluh-puluh tahun akan datang atau jangka masa panjang dan sederhana. Asalkan dapat menjadi popular, itu sudah dianggap mencapai matlamat. Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu melihat dari perspektif yang lebih panjang, maknanya jika kita ingin melakukan sesuatu, kita perlu tahu dan pastikan tindakan berkenan akan membawa kepada kemampanan dan kestabilan.

    Dalam hal harga minyak sebagai contoh, kerajaan terpaksa membenarkan Petronas membelanjakan sebahagian daripada keuntungan untuk membuat pelaburan dalam aktiviti membangunkan kawasan telaga minyak baru sama ada di dalam dan luar negara.

    Apabila kita berbuat demikian, pendapatan akan menjadi lebih besar pada masa hadapan berbanding tindakan sebaliknya dalam hal ini. Tetapi, mengikut parti pembangkang, mereka mahu menggunakan kesemua keuntungan Petronas untuk mengurangkan harga minyak. Kerajaan juga boleh berbuat demikian mengurangkan harga minyak tetapi tindakan itu hanya penyelesaian jangka pendek dan masa depan negara dan rakyat terjejas dalam jangka masa panjang.

    Tetapi melalui pendekatan popular itulah, ia membolehkan pembangkang mencapai kejayaan dalam pilihan raya baru-baru ini?

    NAJIB: Kerajaan harus membuat dua tindakan iaitu pertama, memperkenalkan dasar bertanggungjawab tetapi pada masa yang sama, tidak lari daripada asas memenangi hati nurani rakyat. Kedua, kita mesti menjadi kerajaan yang tahu kaedah terbaik dalam memberi penerangan dan mampu berhujah mengenai apa jua tindakan kerajaan demi kebaikan agar rakyat dapat memahami tindakan itu.

  • APA YANG BOLEH DIPELAJARI DARIPADA KJ ?

    Petikan: Blog Anti Khairy


    Elok kalau dapat dirujuk petikan dari artikel di bawah dulu………….

    Tidak bermaksud untuk menghuraikannya dengan panjang lebar. Semua dah muak dengan senario politik hari ini. Bercelaru . Haru biru. Porak peranda.

    Cuma, sedikit ulasan sahaja

    Bukan juga bermaksud untuk menyanjung KJ. Sebenarnya, oleh kerana promosi terlalu hebat, sejak 3,4 tahun kebelakangan ini, terhadapnya, maka nampak seolah-olah lulusan Oxford ini, begitu gah di persada politik negara. Ini adalah ekoran penempatan orang-orang Pak Lah di hampir semua media utama negara. Maka sudah tentulah nampak sangat hebat budak ni.

    Betul ke beliau sangat hebat? Pendapat pro dan kontra, tak dapat lah nak dielakkan, demokrasi katakan.

    AHLI STRATEGIS?

    Sebelum dan semasa PRU-12 lalu, boleh dikatakan hampir semua orang-orang UMNO setuju, iaitu beliau adalah penentu, samada dicalon atau tidak, pendek kata, kata pemutus.

    Hasilnya, nyaris-nyaris UMNO/BN bungkus, kerana salah nasihatnya dan akalnya pendek .Tetapi kerana kecekapan dalam menipu, yang diwarisi dari kepimpinan terdahulu, dan menipu bukan satu kesalahan dalam parti UMNO, malah ia merupakan satu kewajaran, terselamatlah sekejap.

    Hampir tidak ada pemimpin UMNO yang tidak mengutuk, memaki hamun, mencela dan menyalahkannya, kerana kekalahan UMNO/BN di 4 negeri, termasuk Kelantan. Begitu juga kegagalan mengekalkan majoriti dua per tiga di Parlimen,adalah gara-gara campur tangan menantu PM ini.

    Rumusannya, KJ. bukanlah seorang yang cekap dalam mentadbir sesuatu ke arah kebaikan, atau mencipta sesuatu yang ke arah bermanfaat. Untuk menghancurkanya mungkin boleh diserahkan kepada beliau.

    Seperti, kes ECM Libra, Telekom, Pantai Medical dan lain-lain, kerjanya menghabiskan apa yang dah ada, serah kat dia saja. Tetapi, untuk menambah yang sikit supaya jadi banyak, tolong jangan bagi kat dia, ATAU untuk membaiki apa yang rosak tak usah sekali-kali serah kepadanya.

    Ini kerja budak nakal, yang duduk di tingkat 4 tu.

    NATIJAHNYA

    Beliau mungkin boleh dikatogerikan sebagai PEROSAK. Iaitu untuk menimbulkan kerosakan kepada sesorang, sesuatu organisasi, parti politik, syarikat dan lain-lain.

    Ini pernah diungkapkannya sedikit waktu dahulu, ketika demam PRU-12, beliau mendakwa tugasnya adalah untuk merosakkan pembangkang. Walaubagaimanapun, seperti yang selalu disebut, perancangan beliau tidaklah sehebat perancangan Allah. UMNO/BN terlungkup juga, sebahagiannya hasil kerja tangannya.

    Itulah kemahirannya, seperti yang dibangga-banggakannya.

    DS NAJIB, DAN NASIB BUAH T ANGAN LIWATNYA

    Beberapa hipotesis mungkin boleh dikeluarkan di sini, betul atau tidak tak tau lah ;

    i. Ramai mempercayai, projek ini dikendalikan oleh DS Najib

    ii. DS Najib, telah diberikan nasihat yang salah oleh orang-orangnya, atau think tanknya, mengenai strategi liwat 2 DSAI

    iii. KJ, telah berjaya menyelinap masuk ke dalam team DS Najib, yang kononnya bagi membantu memudah dan mempercepatkan perlaksanaan projek ini

    iv. Tujuan sebenarnya ialah, untuk melumpuhkan DS Najib, yang tidak ada pilihan kedua lagi, maka terpaksa bertanding dalam perhimpunan agng UMNO disember nanti, menentang bapa mertuanya, walaupun kononnya ada pelan peralihan kuasa.

    v. Maknanya, untuk menyelamatkan bapa mertuanya pada kedudukan yang selamat, bermaksud dirinya juga akan selamat sebagai Ketua Pemuda. Tidak mungkin dan sudah agak sukar untuk Khir atau Mukhriz meneruskan hajatnya, kalaulah difikirkan apa yang berlaku pada najib, sungguh ngilu dan memalukan.

    vi. Khir dan Mukhriz terpaksa memikirkan banyak kali, tak tau lah berapa kali, kena tanya dia orang lah

    Dr M Ada usaha bersepadu jatuhkan Najib
    Um 08072008 selasaKUALA LUMPUR 7 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelbagai tuduhan liar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menunjukkan terdapat usaha bersepadu untuk menjatuhkannya dalam dunia politik.

    Menurutnya, beliau tidak mengetahui punca di sebalik komplot terhadap Timbalan Perdana Menteri itu tetapi percaya terdapat beberapa pihak terlibat.

    ”Bukan sahaja Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat seorang lagi dan lain- lain.
    ”Tentu ada dalang di sebalik keadaan sebegini yang bertujuan untuk menjatuhkan Najib. Terdapat usaha bersepadu menentang Najib. Saya tidak tahu kenapa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kumpulan Tokoh-Tokoh Terkemuka (EPG) Malaysia dan Indonesia di sini hari ini.
    Ditanya mengapa Anwar membuat ’serangan’ terhadap Najib, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau tidak mengetahui puncanya.
    ”Saya tidak tahu kenapa beliau (Anwar) menentang Najib. Setahu saya, Najib tidak melaporkan tingkah lakunya (Anwar), tetapi beliau telah menyerang Najib.
    ”Mungkin dia berasa Najib menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri,” kata Dr. Mahathir.
    Mengenai kemungkinan Anwar menyertai UMNO, Dr. Mahathir menolaknya sambil menyatakan Anwar tidak mungkin berbuat demikian.
    Ditanya sama ada Najib patut membersihkan namanya yang dicemari pelbagai persepsi negatif, Dr. Mahathir berkata: ”Tuduhan terhadap beliau adalah desas-desus semata-mata. Tiada bukti. Dia hanya bercakap dia membuat ini dan itu. Orang lain kata ini dan itu. Tetapi anda perlu memberikan bukti. Bukan hanya kata saya dengar orang lain cerita dan anggapnya sebagai bukti. Itu bukan bukti,” katanya.

    - Ulit Mayang (Ulit_mayang@yahoo.com)

    Jika ditangkap - Anwar mahu PAS, KeADILan dan DAP teruskan perjuangan

    Izwan Abdul Halim
    Sun | Jul 13, 08 | 2:40:23 pm MYT

    KOTA SARANG SEMUT, 13 Julai (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim mahu PAS, KeADILan dan DAP untuk meneruskan agenda perjuangan Pakatan Rakyat sekiranya apa-apa terjadi kepada beliau.

    ImageBeliau juga mahu agar rakyat turut sama meneruskan agenda perjuangan bersama pemimpin Pakatan Rakyat seandainya kemungkinan beliau dipenjara semula.

    Perkara itu ditegaskannya semasa menyampaikan ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah' bersama-sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah di sini semalam.

    Menjawab pertanyaan media bahawa wujud khabar angin yang mengatakan pihak keselamatan akan melakukan sesuatu ke atasnya, Anwar tidak menolak kemungkinan itu.

    Image"Kita tidak tolak kemungkinan itu sebab kita pernah lalui dan watak yang sama juga masih main peranan, saya tidak tahu. Tetapi saya tidak tolak kemungkinan.

    "Dulu kita tolak kemungkinan perkara itu berlaku, jadi kemungkinan itu ada. Saya cuma harap harap kali ini mereka hormat proses undang-undang,"ujarnya pada sidang media selepas ceramah tersebut.

    Ditanya media mengenai jaminan keselamatan ke atasnya, beliau menegaskan tidak melihat adanya perubahan dari segi kawalan keselamatan sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Balasubramaniam dan juga Saiful.

    Pada ceramah tersebut, Anwar turut menyentuh mengenai debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang disambut hadirin dengan laungan 'lawan, lawan'.

    "Saya nak lawan Menteri Penerangan buat apa? Saya nak lawan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

    "Jadi saya hendak ulang, saya tunggu 15 haribulan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau kedua-duanya sekali! Tetapi setakat ini dia tidak mahu, dia tidak mahu tidak mengapa,"ujarnya.

    Bagaimanapun menurutnya, selepas beliau berbincang dengan pimpinan PAS dan DAP, beliau setuju meneruskan debat itu dengan tujuan mengambil peluang untuk jelaskan mengenai kesediaan Pakatan Rakyat untuk memerintah. - mks. _

    Peralihan kuasa, Ku Li temui laluan sukar

    Petikan: Harakah Daily

    Ibrahim Othman

    Sun | Jul 13, 08 | 11:32:34 am MYT

    ORANG yang paling risau dengan perkhabaran pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak, ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

    Komen awal Ku Li, PM silap kerana jawatan Presiden Umno bukan milik peribadinya sebaliknya Pak Lah hanya Presiden 'care taker' kerana edah pemilihan Umno didakwanya sudah berlalu, dan ditangguhkan kerana menghadapi PRU 12, Mac lalu.

    Kerisauan Ku Li disebabkan, klimaks pertandingan dalam Umno seperti sudah sampai apabila Pak Lah mengumumkan tarikh berundur. Walaupun Ku Li menyatakan hasratnya untuk terus menawarkan diri, banyak pihak berpendapat, sukar bagi bekas Menteri Kewangan dan Presiden Parti Melayu Semangat 46 ini mencukupi quota pertandingan.

    Hujah yang diberikan, Ku Li selama ini seperti sudah terputus hubungan dengan ketua-ketua bahagian, lebih-lebih lagi dia tidak duduk dalam kabinet. Pergerakannya agak terbatas dan Ku Li dilihat rancak �berkempen� apabila selesai PRU 12, sambil menyatakan hasratnya mahu menawarkan diri bertanding jawatan Presiden.

    Dalam tahun 2000, Ku Li pernah menawarkan diri bertanding salah satu kerusi naib Presiden, tetapi gagal mendapat cukup percalonan yang menyebabkan dia tidak layak bertanding.

    Empat tahun kemudian, iaitu tahun 2004, Ku Li menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden tetapi tidak mendapat sokongan malahan, hanya Umno bahagian Gua Musang sahaja yang mencalonkannya yang sekaligus menyebabkan dia tidak layak bertanding.

    Kali ini, ketika semua orang minat bercakap soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, tiba-tiba Ku Li dilihat cukup rajin ke sana ke mari, bertemu dengan ahli-ahli Umno di peringkat cawangan, sehingga menimbulkan kekecohan di sesetengah bahagian hingga menyebabkan Ku Li mengeluarkan kenyataan; "ada ketua bahagian menghalang ahli-ahli cawangan bertemu dengannya."

    Apa yang menarik, ketika mengadakan pertemuan dengan Umno di Muar, yang melibatkan ahli-ahli dari bahagian Ledang, Bakri, Pagoh dan Muar, terdapat berita yang dilaporkan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris, 25 cawangan dari Umno bahagian Pagoh mencadangkan Ku Li sebagai Presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai timbalan Presiden.

    Justeru, jika dilihat perkembangan mutakhir, apabila Najib menadah tangan kegembiraan menyambut cadangan Pak Lah mahu pelan peralihan kuasa berjalan 23 bulan dari sekarang, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh lebih sesuai beregu dengan Ku Li untuk berhadapan dengan Pak Lah dan Najib.

    Cuma, ada sumber yang mengaku rapat dengan Najib dan Muhyiddin memberitahu, Muhyiddin lebih rela berdepan dengan Pak Lah dari berdepan dengan Najib. Maknanya, Muhyiddin tidak bersedia bertanding jawatan Timbalan Presiden jika Najib masih di situ.

    Pada peringkat awal, Ku Li dikatakan berminat dengan Muhyiddin sebagai regunya untuk pertandingan ini.

    Namun, atas nasihat seorang dua rakan-rakan Ku Li, akhirnya Ku Li berubah pendirian dengan menyebut Najib akan menjadi regunya dan bukan Muhyiddin.

    Namun, Najib dilihat lebih selesa bersama Pak Lah daripada berganding dengan Ku Li. Muhyiddin pula, lebih selesa berketuakan Najib daripada Pak Lah atau Ku Li, apabila Ku Li juga tidak 'berminat' dengannya.

    Jika Ku Li cukup percalonan, ramai yang meramalkan dia akan menang mudah mengalahkan penyandang jawatan. Tetapi banyak pihak pula menduga, Ku Li tidak mungkin cukup percalonan jika dia tidak mempunyai 'regu' yang kuat sebagai Timbalan Presiden!

    Beberapa orang 'kaki sembang politik' berpandangan, Ku Li cukup sukar untuk mendapat sokongan 100 peratus dari seluruh 15 bahagian di Kelantan. Rata-rata, kepimpinan bahagian-bahagian di Kelantan masih setia dengan Pak Lah. Jika ada pun yang kurang 'mesra' dengan Pak Lah mereka dari kem Najib, bukan kem Ku Li.

    Dulu, Ku Li ada seorang penyokong setia dalam Umno. Dato' Ibrahim Ali yang mengetuai Umno bahagian Pasir Mas. Namun, sekarang Ibrahim sudah berada di luar Umno dan Pasir Mas diketuai Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman, orang kuat Najib.

    Kalau bertanya orang yang di luar Umno, mereka lebih mahukan Ku Li menggantikan Pak Lah tetapi di kalangan ketua-ketua bahagian, mereka lebih mahukan Najib untuk dapat berpayung apabila Najib menjadi PM kelak. Ini bacaan mereka dan tiada siapa yang sanggup memperjudikan nasib menyokong secara terbuka Ku Li, yang memungkin mereka mengulangi nasib malang seperti tahun 1987, ketika Ku Li menentang Tun Dr. Mahathir.

    Ada juga yang meramalkan, jika Najib bertindak menentang Pak Lah dengan regunya Muhyiddin, Pak Lah mungkin mengambil Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad sebagai regu. Ada juga yang meramalkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mungkin sedia menjadi regu Pak Lah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Namun, banyak pihak berpendapat, antara Isa dengan Muhammad, Isa lebih popular. Cerita politik akan menjadi lebih menarik jika semua ini berlaku.

    Siapa regu Ku Li jika jadi Najib melawan Pak Lah? Ada yang menyebut, Ku Li akan kembali ke pangkuan Dato' Seri Dr. Rais Yatim sudah sudah sekian lama meninggalkannya sejak Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan. Rais adalah Timbalan Presiden ketika Ku Li menjadi Presiden S 46 dahulu.

    Semua perkiraan ini, dibuat kerana situasi politik Umno masih belum begitu stabil. Ketika Pak Lah mengumumkan pelan peralihan kuasa, Najib dikatakan tidak dibawa berbincang sebaliknya hanya didedahkan ketika Mesyuarat MT berjalan. Najib mungkin serba salah untuk 'mempertahankan dirinya' kerana kebetulan Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana berada di Osaka, Jepan.

    Banyak pihak mendakwa, mereka sudah mendapat 'signal' mengarahkan mereka mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan. Semua ini dilakukan oleh kumpulan Najib-Muhyiddin yang dikatakan sudah 'sepakat' mahu mengambil alih kepimpinan Umno, menjelang Disember.

    Signal ini dikatakan dibuat kerana tiada langsung perbincangan antara Pak Lah-Najib mengenai pelan peralihan kuasa walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan Pak Lah mahu terus menerajui Umno dan negara sehingga mencapai usia 70 tahun.

    Strategi dan pelbagai tekanan yang dibuat ke atas Pak Lah akhirnya membuatkan Pak Lah terpaksa mengumumkan tarikh pengundurannya tetapi disambut dingin oleh Muhyiddin walaupun Najib kelihatan 'dapat menerima' pelan tersebut.

    Paling malang, Ku Li kerana banyak pihak mengatakan, hasratnya menentang Pak Lah sudah tidak relevan lagi, malahan usaha-usaha Umno untuk berdamping rapat dengan beberapa parti pembangkang katanya akan tersekat jika Ku Li menjadi Presiden Umno.

    Mereka menyebut, sejarah hitam S 46 dengan Pas mungkin menjadi titik hitam kepada usaha-usaha lain kerana semua sejarah ini memungkinkan parti-parti pembangkang tidak mungkin dapat 'membuat perbincangan' dengan Ku Li jika ada isu-isu kepentingan bersama.

    Semua faktor ini diambil kira, walaupun Ku Li mungkin mendapat sokongan dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana pengaruh Dr. Mahathir di dalam Umno sekarang terlalu kecil, jika dibandingkan dengan nama-nama lain seperti Najib dan Muhyiddin.

    Ketika Pak Lah menyediakan pelan menurunkan kuasa dan tugas-tugas kepada Najib, Ku Li pula perlulah terus berhempas pulas untuk menagih sokongan. Disebabkan hubungannya selama ini sudah semakin menjarak, bukanlah satu tugas mudah untuk dia menarik balik sokongan itu.

    Malahan, ada di antara ketua-ketua bahagian, tidak pernah mengenali Ku Li walaupun mereka pernah mendengar Ku Li adalah bekas Menteri Kewangan dan bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

    Berbeza dengan Najib dan Muhyiddin, kedua-duanya tidak pernah terputus berada di dalam hirerki Umno, walaupun pada suatu ketika Muhyiddin tewas di kerusi Naib Presiden. Namun, kedudukannya sebagai menteri, tidak pernah tercabut.

    Laluan Ku Li sebenarnya semakin sukar tetapi dalam politik, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. - mks. _

    Media diingatkan jangan sebar fitnah

    Petikan: Harakah Daily

    Izwan Abdul Halim

    Sun | Jul 13, 08 | 2:51:28 pm MYT

    KOTA SARANG SEMUT, 13 Julai (Hrkh) - Lebih 30,000 hadirin membanjiri Ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah',semalam walaupun sekatan jalan raya diadakan oleh pihak polis ke jalan-jalan utama menuju ke Kompleks PAS Kedah.

    Majlis ceramah yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti itu terpaksa diubah ke Kompleks PAS Kedah setelah difahamkan wujud arahan daripada pihak atasan pasukan keselamatan.

    ImageCeramah telah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

    Ustaz Azizan dan Abdul Hadi pada ceramah tersebut sama-sama menyentuh mengenai gejala fitnah.

    Memulakan ceramahnya, Ustaz Azizan membacakan maksud daripada ayat Quran yang menjelaskan bahawa orang yang memfitnah lelaki atau perempuan mukmin akan dibakar oleh api neraka.

    "Orang-orang ini kerjanya memfitnah, kerana dia senang mencari makan dengan kerjanya membuat fitnah. Saya kata kepada mereka jangan membuat fitnah kerana orang yang buat fitnah ini dia mencari makan dengan cara fitnah.

    "Dapat rezeki sama ada dia wartawan atau pemberita, bawa balik bagi anak isteri makan. Jadi dia beri anak isteri makan harta haram dan hidupnya pasti tidak diberkati," tegasnya menghuraikan gejala fitnah yang menjadi-jadi sekarang ini.

    Sementara itu, Abdul Hadi pula menyentuh peranan media agar tidak menggunakan kebebasan yang diberikan dengan menyiarkan fitnah.

    Jelasnya, akhlak-akhlak kepimpinan Islam yang ditulis oleh para ulama di dalam kitab feqah diambil oleh orang barat dan diamalkan dalam demokrasi barat.

    "Dalam dunia barat terdapat kebebasan akhbar, kebebasan media. Bukan bermakna kebebasan media ini Islam membenarkan gambar-gambar lucah, itu mengarut.

    "Makna kebebasan media ialah media boleh menegur dan mengkritik kerajaan, media boleh memberitahu kesilapan dan kesalahan kerajaan. Bukan memfitnah pemimpin-pemimpin, tetapi menasihatkan pemimpin-pemimpin," ujarnya menerangkan.

    Katanya, ada negara Barat di mana medianya mendedahkan penyelewengan kerajaan.

    "Kerajaan boleh dijatuhkan oleh media dan akhbar. Ada negara kita lihat rakyatnya boleh berfikir kerana diajar oleh media dan wartawannya menyatakan yang berani lagi hak.

    "Inilah yang diajaran oleh Islam tetapi ianya ditinggalkan. Maka berlakulah kecelaruan, pemerintahan yang tidak betul, berlakunya politik tidak sihat dan berlakunya kerajaan yang berlagak menjadi Tuhan. Seolah-olah dia boleh memerintah hingga kiamat, tiada salah dan silap yang dibuat. Jika (kerajaan) silap ditutup, tetapi jika orang awam silap ditangkap hatta tidak boleh bela diri,"ujarnya mengingatkan. - mks. _

    Protes ahli Umno menjadi-jadi

    Petikan: Harakah Daily

    Suhaimi Taib

    Sun | Jul 13, 08 | 7:35:24 am MYT

    Bernama melaporkan Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini semalam sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).

    Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

    Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

    Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.

    Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

    Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.

    Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

    Dengan ini jelas bahawa arus akar umbi Umno, melihat pucuk pimpinan parti itu kini tidak relevan lagi bagi memimpin parti dan menerajui pemerintahan negara kerana jika masih demikian sudah pasti fasal 9.5 perlembagaan parti itu tidak akan dipinda bahkan kuota berkenaan tidak berbangkit untuk dipinda.

    Selama ini pun tidak berbangkit soal pindaan berkenaan kerana ahli Umno yakin dengan kepimpinan yang sedia ada.

    Bagaimanapun dengan prestasi buruk pilihan raya umum ke 12, kepimpinan sedia ada khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak berupaya menjadikan Umno sebagai parti orang Melayu yang disegani lawan dan kawan.

    Bahkan tidak mampu meraih sokongan majoriti rakyat berbilang kaum terhadap Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.

    Dengan kekalahan teruk BN sehingga hilangnya majoriti dua pertiga penguasaan di Dewan Rakyat, ahli Umno akar umbi sudah membuat penilaian serius terhadap pucuk pimpinan parti tersebut dengan mencadangkan suatu perubahan berlaku agar satu jalan bagi membolehkan pucuk pimpinan sedia ada disingkirkan dibuka dengan seluas-luasnya.

    Jalan itu ialah memansuhkan kuota pertandingan jawatan tertinggi parti itu kepada had yang dicadangkan itu bagi membolehkan angin demokrasi ditiupkan semula ke dalam parti berkenaan.

    Keputusan pertemuan kepimpinan tertinggi sebelum ini, sudah tidak diendahkan lagi oleh ahli Umno Muar supaya memberi sokongan penuh kepada pucuk kepimpinan parti itu agar jawatan tertinggi khususnya Presiden dan Timbalan Presiden, tidak dipertandingkan.

    Suara protes ahli sebelum ini sudah begitu lantang kedengaran dari seluruh pelusuk negara dan dipercayai ia akan menjadi-jadi sehingga tiba Perhimpunan Agung Umno Disember ini.

    Prestasi kedua-dua pucuk kepimpinan parti itu, Abdulah dan Najib mendapat penilaian buruk ahli parti itu, apabila kedua-duanya tidak berupaya meletakkan negara dan parti itu dalam kedudukan selesa.

    Kehilangan banyak negeri yang kini dikuasai pakatan rakyat termasuk Wilayah Persekutuan cukup merungsingkan ahli parti itu. Sudah pasti mereka meletakkan kesilapan besar kepada pucuk kepimpinan parti bagaimana Abdullah dan Najib tidak berkemampuan mengenalpasti kehendak rakyat dan cepat mengatasi segala kepincangan berlaku dalam pentadbiran negara khususnya isu berkaitan dengan skendal berkait dengan kepimpinan negara, konspirasi politik,rasuah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, sebelum tibanya pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.

    Sogokan pilihan raya tidak lagi mengikat pengundi untuk terus mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu di kebanyakan negeri di pantai Barat dan Utara Semenanjung apa lagi pengundi-pengundi di bandar di kebanyakan negeri.

    Parti itu hanya mencurahkan wang untuk menempah kuburnya sendiri. Yang pentingnya ialah dasar parti dan sikap kepimpinannya perlu berubah.

    Hasrat rakyat untuk melihat bebanan kehidupan mereka akibat kepincangan politik dan kejatuhan ekonomi berpunca dari salah urus pucuk pimpinan negara dikurangkan atau dihapuskan terus, perlu diberi perhatian serius oleh Umno.

    Sepatutnya bukan sekarang tetapi sejak Umno itu wujud, 50 tahun lalu. Rakyat sekarang majoritinya bukan jenis mereka yang mudah dicucuk hidung seperti dulu, ketika mereka berada di ambang merdeka atau selepas beberapa tahun mengecapi kemerdekaan negara dari penjajah.

    Sekarang mereka sudah pandai mengkaji sejarah politik negara dan peka merasai kepincangan politik dan ekonomi kerana rakyat yang buta huruf zaman pasca kemerdekaan sudah lama pergi.

    Tinggal hari ini, rakyat yang celik sejarah, bermaklumat, sensitif terhadap kelemahan yang berlaku dan suka memprotes untuk melihat perubahan segera berlaku bagi membebaskan diri mereka dari belenggu kehancuran politik dan budaya dan ekonomi negara.

    Mereka percaya Malaysia bukan negara miskin, hasil bumi masih banyak khususnya hasil petroleum dan gas mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

    Mereka mempertikaikan kemana perginya wang begitu banyak sedangkan kehidupan mereka masih dicengkam kemelut ekonomi dan politik berpanjangan. Kenapa wang negara yang begitu banyak tidak dimanfaatkan untuk mengatasi semua masalah itu?

    Apa lagi mereka menerima maklumat kepimpinan negara terbabit dengan skendal rasuah dan skendal membocorkan wang khazanah negara itu untuk kepentingan kroni dan keluarga sendiri.

    Ia menjadi cetusan kemarahan mereka dan akibatnya Umno dan pemimpinnya menerima desakan supaya hentikan kegiatan buruk itu atau mereka sendiri perlu disingkirkan dari menerajui negara. - mks._

    Jawi Akan Siasat Kes Liwat Anwar Jika Siasatan Bukitkan Ada Kes, Kata Ahmad Zahid

    13 Julai, 2008 17:52 PM

    KOTA KINABALU, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hanya akan menjalankan siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut peruntukan qazaf sekiranya siasatan polis dan laporan Jabatan Kimia membuktikan ada kes, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Katanya beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Datuk Ibrahim Lembut dan penasihat undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengenai hukum dan peruntukan qazaf dalam enakmen undang-undang syariah.

    Beliau berkata dalam kes yang mungkin tidak mempunyai saksi, beliau diberitahu bermubahalah atau pengakuan bersumpah merupakan langkah terbaik bagi membuktikan pihak yang benar atau salah.

    "Siapa yang menuduh dan juga yang dituduh hendaklah bersumpah jika tidak ada empat orang saksi, kedua-dua pihak perlu bersumpah laknat bagi membuktikan siapa benar atau salah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana dan Pengurusan Islam Kepada Pemimpin Wanita di sini, Ahad.

    Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang dibuat oleh Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat kepada Jawi pada 9 Julai lalu yang menuntut supaya tindakan undang-undang syariah diambil di bawah peruntukan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa Anwar meliwatnya.

    -- BERNAMA

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...