Saturday, July 12, 2008

Pelan serah kuasa 2010 gagalkan pakatan Najib-Muhyiddin?

Petikan: mStar Online
12-07-2008 06:40:25 PM

PORT DICKSON: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentuk satu pakatan untuk merebut dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan Disember ini.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dengan pengumuman pelan peralihan kuasa 2010 membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib yang diumumkan kelmarin.

Kata Dr. Mahathir, beliau difahamkan bahawa Najib, Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya mencabar Abdullah yang telah memutuskan untuk mempertahankan kerusi Presiden manakala Muhyiddin, Naib Presiden pula merebut jawatan Timbalan Presiden.

"Saya diberitahu kerjasama ini telah dipersetujui secara lisan oleh kedua-dua mereka. Malah, penyokong-penyokong mereka juga sudah mula berkempen untuk menjayakan kerjasama Najib-Muhyiddin," kata beliau.

"Bagaimanapun Najib telah memungkiri ini (pakatan) apabila terperangkap dengan langkah Abdullah dalam soal peralihan kuasa," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Port Dickson Golf and Country Club di sini.

Majlis itu dianjurkan oleh Kelab Alumni Sek Bukit Saujana, Persatuan Anak Keturunan Jawa Port Dickson dan Perwaris Perkembar Port Dickson.

Kelmarin Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa dalam UMNO dengan beliau akan bersara pada Jun 2010 dan menyerahkan kedudukannya kepada Najib.

Ahli-ahli Umno menerima perkembangan itu dengan pendirian bercampur aduk.

Abdullah dan Najib masing-masing dipilih ke jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tanpa cabaran pada 2004.

Dalam reaksinya, Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam Umno yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menyifatkan langkah Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Ketika ditanya sama Najib atau Muhyiddin ada memberitahu beliau mengenai perkara itu, Dr. Mahathir berkata, mereka tidak memaklumkan kepadanya.

"Saya ada orang saya sendiri yang memberitahu saya perkara ini dan saya pasti perkara ini benar," katanya.

Dr. Mahathir menambah, keputusan Najib untuk tidak meneruskan hasrat beliau merebut jawatan Presiden juga telah menjejaskan imej dan kredibiliti beliau.

Ramai yang menganggap ini merupakan cara terbaik untuk memulihkan Umno tetapi Najib telah menggagalkan langkah Muhyiddin, kata bekas Presiden Umno itu.

Kata Dr. Mahathir, Najib mempunyai kelebihan jika beliau memutuskan untuk mencabar Abdullah.

Sehubungan itu katanya, kini ada kemungkinan Muhyiddin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Malah Muhyiddin, katanya, mempunyai peluang untuk menang jika menentang Najib.

"Jika Muhyiddin menang dan menjadi Timbalan Presiden, adakah Abdullah masih memberi laluan kepada Najib menjelang Jun 2010," katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, Umno kini dilanda budaya "saya sokong anda, anda sokong saya."

Katanya, Abdullah mesti menyerahkan kuasa sekarang memandangkan Najib memerlukan masa untuk memimpin negara mengikut pendekatannya.

"Tempoh dua setengah tahun sebelum pilihan raya umum akan datang tidak cukup. Ia hanya akan menyebabkan kekalahan lebih buruk kepada Barisan Nasional dan Umno," katanya.

NAJIB YAKIN KEPADA SISTEM V

Petikan: Laman Marhaen


Najib dilaporkan sudah bersumpah nafi mengenali altantuya. Kini tinggal dia dengan Tuhan.

Alangkah eloknya kalau Najib juga bersumpah nafikan setiap satu apa yang ditulis dalam akuan bersumpah RPK yang melibatkan namanya itu.

Dilaporkan juga pemimpin-pemimpin kanan UMNO tepuk tangan sebagai tanda yakin kepada sumpah Najib. Tetapi adakah Najib dan pemimpin UMNO yakin kepada sistem bahawa sumpah yang dibuat dalam mesyuarat UMNO itu valid atau tidak samada dalam kontek agama atau undang-undang Negara yang diamalkan?.

Adakah Najib yakin sumpahnya itu sebahagian dari sistem rasmi yang diamalkan dalam Negara?

Laporan bersumpah RPK dilapor dan dibuat mengikut sistem yang diamalkan sekarang. Kalau sumpah Najib itu tidak dilakukan mengikut sistem bagaimana ia boleh nafikan laporan bersumpah RPK?.

Apa yang dikhuatirkan ialah amat malang jika setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat UMNO dikira sebagai sebahagian dari sistem negara. Atau inikah yang dimaksudkan oleh Najib apabila dia menyebut bahawa dia yakin pada sistem?

Dalam kes yang lebih besar lagi dan hangat kini ialah peralihan kuasa dari Abdullah ke Najib yang diumum oleh Abdullah akan berlaku pada pertengahan 2010. Nampaknya trend ini sudah dijadikan sebahagian dari sistem. Sistem yang diwarisi oleh Mahathir.

Nampaknya Mahathir bukan saja memunah ranahkan sistem kehakiman dan kepolisian Negara, tetapi hal-hal perlantikan Perdana Menteri pun turut terheret sama.

Sekali lagi adakah Najib yakin dengan sistem peralihan kuasa yang diperkenal oleh Mahathir kepada Abdullah itu kini terpakai kepadanya pula?.

Berdasarkan sejarah dan pemerhatian yang dapat dilihat, Mahathir tidak menyerah kuasanya selagi keselamatannya tidak terjamin selepas kuasa diserahkan.

Sebaliknya kini apabila Mahathir dapat mengesan keselamatannya kurang terjamin lalu dia bertindak di luar dugaan seolah mengharamkan sistem yang diciptanya itu hingga memecat dirinya sendiri keluar UMNO.

Berdasarkan trend ini Abdullah juga tentulah akan menyerahkan kuasanya selepas merasa dirinya terjamin untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian masa diperlukan oleh Abdullah untuk memastikan dirinya selamat sebelum menyerahkan kepada Najib.

Soalnya adakah proses ini berlaku di atas landasan yang dikatakan sebagai sistem yang rasmi sifatnya?

Bagi UMNO, mereka nampaknya menerima kedua-duanya – sumpah penafian najib dan peralihan kuasa itu sebahagian dari sistem. Soalnya adakah ia ditulis dimana-mana dalam bentuk dokumen sistem yang rasmi?

Ia disoal begini bukan kerana apa melainkan dibimbangi nasibnya jadi seperti kontrak sosial yang sehingga kini tidak ada apa-apa yang berbentuk rasmi dalam mana-mana sistem yang ada dalam Negara.

Sesuatu yang tidak bersifat sistem dan rasmi adalah dikhuatiri akan merugikan masa depan melayu dalam jangkamasa panjang dalam ‘tanah air’ mereka sendiri.

Muramatsu
Grenoble Cedex, France

Mangsa binatang

Petikan: Harian Metro

Oleh Efindi Badarudin, Sarah Zulkifli, Intan Mas Ayu Shahini dan Omar Osman


SUNGAI PETANI: “Hampir setiap inci tubuhnya, termasuk bahagian mata dan pipi terdapat kesan lebam serta bengkak, manakala kepala cedera teruk.

“Saya dan suami serta ahli keluarga sangat terkejut serta tak percaya melihat keadaan fizikal mayat arwah. Bagi saya, kecederaan dialami arwah bukannya dilakukan manusia, sebaliknya binatang,” kata Tengku Rohani Tengku Ayob, 52, ibu kepada Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 22, yang mati dipercayai didera di sebuah pusat pemulihan di Kajang pada 26 Jun lalu

Tengku Rohani berkata, hatinya hancur dan sayu sebaik menatap tubuh anak lelaki daripada dua beradik itu di rumah mayat Hospital Ampang, Selangor.

Menurutnya, mereka yang melakukan perbuatan itu memang kejam dan tidak berhati perut.


“Apa yang dilihat pada seluruh tubuh arwah adalah penderaan amat zalim dan kami tidak boleh menerima perbuatan itu.

“Saya tidak menyangka keadaan bertukar sebaliknya kerana ketika Megat dihantar lebih sebulan lalu, fizikalnya sihat serta tidak menghidap sebarang penyakit.

“Saya akan tuntut pembelaan sewajarnya atas setiap titik darah, peluh dan jeritan azab kesakitan yang ditanggung arwah,” katanya.

Tengku Rohani tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan nasib malang menimpa arwah anaknya kepada wartawan Harian Metro di rumahnya di Taman Sejati Indah, dekat sini, semalam.

Megat Mohd Amirul Adha meninggal dunia dipercayai didera di pusat pemulihan yang dikendalikan pihak swasta itu.

Doktor yang melakukan bedah siasat mengesyaki mangsa mati akibat didera kerana terdapat kesan lebam dan kecederaan di seluruh tubuhnya lalu membuat laporan polis.

Tengku Rohani berkata, sebagai ibu yang melahirkannya, dia reda dengan kematian arwah, tetapi terkilan serta sukar menerima cara kematiannya akibat diperlakukan begitu ganas dan kejam.

“Saya juga sedih apabila seorang daripada pelatih pusat pemulihan itu yang diselamatkan pada 6 Jun lalu memberitahu, arwah merayu-rayu meminta nyawa daripada ustaznya ketika dipukul kerana sedang berpuasa.

“Malah, pelatih itu juga memberitahu, sepanjang di pusat itu, arwah sering menjadi imam dan mengajar pelatih membaca al-Quran serta mengadakan tazkirah waktu malam.

“Saya berharap dengan pendedahan mengenai arwah, kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.

Dia juga menyerah sepenuhnya kepada polis bagi mengambil tindakan terhadap individu terbabit selain mahu pihak berkuasa membongkar segala yang berlaku di rumah pemulihan berkenaan.

“Bagi memastikan kes arwah mendapat pembelaan sewajarnya, saya melantik peguam bagi mengawasi kes itu serta mengambil tindakan undang-undang ke atas pentadbir rumah pemulihan itu,” katanya.


Massa terpantas, Fisichella terbabas

Petikan: Utusan Online


LONDON - Pemandu Ferrari, Felipe Massa telah mencatat masa terpantas kelmarin dalam sesi latihan terakhir Formula Satu (F1) bagi persiapan Grand Prix Jerman minggu depan di Hockenheim, sementara Giancarlo Fisichella yang memandu untuk Force India terlibat dalam kemalangan.

Ketika ini, pemandu dari Brazil itu, mengumpul 48 mata bersama juara dunia yang juga rakan sepasukannya Kimi Raikkonen dan pemandu McLaren, Lewis Hamilton dalam separuh perlumbaan musim ini dan merupakan satu-satunya pemandu yang mencatatkan masa 1 minit 15 saat, manakala masa terbaik ialah 1 minit 14.989 saat.

''Ia merupakan hari yang paling baik. Kami telah melakukan banyak percubaan dan saya perlu mengatakan bahawa kereta berada dalam keadaan terbaik. Ini bermakna kami juga mampu untuk memberi saingan di dalam litar ini, yang juga menjadi sasaran utama bagi pesaing kami,'' kata Massa.

Massa yang memenangi tiga perlumbaan musim ini, telah mendahului senarai pemandu keseluruhan sebelum perlumbaan minggu lepas di Gran Prix Britain di Litar Silverstone di mana dia terbabas sebanyak lima kali di atas permukaan litar basah dan menamatkan perlumbaan di tempat yang ke-13.

Pemandu Britain, Jenson Button yang memandu jentera Honda telah mencatatkan masa kedua terpantas 1 minit 15.081 saat dalam cuaca yang cerah dan panas, sementara pemandu McLaren, Heikki Kovalainen mencatat masa ketiga terpantas, 1 minit 15.289 saat.

Sesi tersebut terpaksa dihentikan selepas pemandu Itali, Fisichella, yang terlibat dalam pelanggaran pada sesi ujian di Silverstone bulan lepas, melanggar dinding.

''Bahagian belakang kereta mengalami masalah dan saya hilang kawalan terus melanggar dinding litar.

''Kereta saya telah melintasi litar dan tiada ruang untuk saya mengelak dari terus melanggar dinding. Saya tidak mendapat sebarang kecederaan tetapi kereta mengalami kerosakan yang teruk,'' katanya.

Pasukan Toyota yang berada ditempat keempat untuk kategori pengeluar selepas perlumbaan di Silverstone, telah menguji enjin 'sirip jerung' terbaru sebelum menukarkannya kepada enjin standard.

- Reuters

Bekas penuntut saman UiTM

Petikan: Utusan Online


SHAH ALAM 11 Julai - Seorang pegawai pemasaran dan jualan sebuah syarikat perakaunan yang mendakwa terjatuh dari aras ketinggian enam meter di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dua tahun lalu, hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk menuntut ganti rugi daripada UiTM atas dakwaan cuai.

Nur Fairuzah Amat @ Saini, 26, yang menamakan UiTM sebagai defendan memfailkan writ saman melalui peguam Keppy Wong di pejabat pendaftar mahkamah itu di sini pada pukul 10 pagi ini.

Plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pada 21 Mei 2006, beliau telah hadir ke Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di UiTM untuk mengambil jubah bagi tujuan menyertai upacara raptai konvokesyen sempena tamat pengajian sepenuh masa program ijazah dalam bidang perakaunan.

Ketika berada di tingkat dua di persekitaran lobi lif, plaintif mendakwa telah terlanggar sesuatu yang menyebabkannya terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah.

Plaintif mendakwa pentadbir bangunan UiTM yang ketika itu dalam proses pengubahsuaian telah gagal meletakkan sebarang notis amaran, papan tanda mahupun sebarang bentuk halangan bagi mengelakkan kawasan tersebut dihampiri.

Nur Faizurah mendakwa, pagar besi yang mengelilingi balkoni tersebut telah dialih untuk kerja-kerja pembinaan.

Ekoran kejadian itu, plaintif mendakwa telah menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang di sebuah pusat perubatan swasta dengan kos RM32,256.94.

Beliau mendakwa dirinya perlu menjalani pembedahan kedua pada Mac lalu dengan anggaran kos RM60,000.

Menurut plaintif, beliau telah menuntut supaya UiTM membiayai semua kos perubatannya namun defendan telah mengarahkan kontraktor pembinaan berbuat demikian.

Kontraktor terbabit didakwa hanya membayar RM20,000 dan enggan membiayai perbelanjaan berikutnya. Sehingga ke hari ini, plaintif mendakwa masih berhutang dengan pusat perubatan itu.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi khas RM13,256.99 dan ganti rugi am yang akan ditaksirkan, faedah dan kos serta relif lain yang difikirkan perlu dan wajar oleh mahkamah.

Cabul atlet:Ramanathan jalani penjara 4 tahun

Petikan: Utusan Online


PUTRAJAYA 11 Julai – Bekas jurulatih olahraga kebangsaan, C. Ramanathan, 72, hari ini mula menjalani hukuman penjara empat tahun yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan yang melepaskannya daripada tuduhan mencabul kehormatan dua atlet remaja wanita berusia 15 dan 16 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali memutuskan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ramanathan daripada kedua-dua tuduhan itu pada 24 Februari 2005 selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan itu.

Zainun bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie. Rayuan pula dikemukakan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Eddie Yeo dan Jamhirah Ali.

Dengan keputusan itu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Ramanathan atas tuduhan mencabul 12 tahun lalu.

Bagi setiap tuduhan, jurulatih itu diperintah menjalani hukum penjara empat tahun secara serentak.

Ramanathan kelihatan gelisah ketika mahkamah membacakan keputusan itu. Selepas mahkamah bersidang, dia membuat beberapa panggilan telefon sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 1996 atas tuduhan mencabul kehormatan kedua-dua mangsa, ketika itu berusia 15 dan 16 tahun.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 1994, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 9 dan 10 malam 23 dan 27 Oktober 1992 di Bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), Jalan Hang Tuah di ibu negara.

Sehingga hari ini, Ramanathan tidak pernah dipenjarakan setelah Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM10,000.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Ramanathan dan mengetepikan sabitan dan hukumannya atas dua alasan iaitu kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakiman serta perilaku saksi-saksi ketika memberi keterangan.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Ramanathan memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi menyemak keputusan Mahkamah Rayuan tersebut Isnin ini.

“Kami juga akan memfailkan notis perakuan segera pada Isnin ini supaya permohonan ikat jamin terhadap Ramanathan didengar secepat mungkin,” ujarnya.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman tersebut berkata, kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakimannya selepas lima tahun keputusan disampaikan bukan satu penafian keadilan terhadap Ramanathan.

Menurut beliau, kelewatan itu tidak menyebabkan prejudis kepada Ramanathan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya pada 8 November 1996 manakala penghakiman bertulis dikeluarkan pada 26 Oktober 2001.

“Keadilan terhadap perayu tidak dinafikan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya kurang daripada tempoh sebulan selepas Ramanathan dipanggil membela diri,'' ujarnya.

Hakim Zainun turut menyatakan mahkamah membenarkan rayuan pendakwa raya selepas meneliti keseluruhan prosiding perbicaraan dan rayuan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Saravanan tinggalkan majlis Jamuan Presiden MIC

Petikan: Utusan Online


KUALA LUMPUR 11 Julai - Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan meninggalkan majlis makan malam Presiden MIC yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung MIC Ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Ketika dihubungi Saravanan berkata, beliau meninggalkan majlis yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu atas sebab-sebab peribadi.

"Saya memang meninggalkan majlis itu malam ini tetapi saya tidak akan memberi komen tentang perkara ini kepada media.

"Apa yang saya lakukan adalah kerana sebab-sebab tertentu yang tidak akan saya dedahkan,'' katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan meninggalkan dewan jamuan pada pukul 8.40 malam ekoran masalah protokol majlis.

Keadaan menjadi tegang apabila ramai penyokongnya turut mengikutnya meninggalkan majlis tersebut.

Sementara itu Bernama melaporkan tindakan Saravanan dan pengikutnya itu menimbulkan kemarahan Samy Vellu yang kemudian turut meninggalkan majlis.

Perhimpunan Agung MIC ke-62 akan diadakan esok di PWTC.

Memorial Datuk Onn Jaafar musnah terbakar

BATU PAHAT 11 Julai – Memorial Datuk Onn Jaafar yang terletak di kawasan Kelab Golf Batu Pahat di sini musnah dalam satu kebakaran petang ini.

Lebih 70 peratus bangunan yang pernah menjadi kediaman Allahyarham Datuk Onn itu hangus dijilat api.

Beberapa barang berharga yang disimpan di dua buah bilik pameran turut musnah dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Penjaga memorial itu, Mohd. Azhar Saad, 25, berkata, dia dan rakannya, Noor Suriya Mohd. Rahim, 29, tiada di tempat kejadian kerana menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari.

“Antara barangan lama yang terdapat dalam bilik pameran itu ialah tiga buah tepak sirih lama, sebuah radio, telefon lama dan perabot serta beberapa barang antik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Memorial itu disenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) sejak tahun lalu dan masih belum dibuka kepada orang ramai.

Mohd. Azhar berkata, memorial itu mempunyai dua buah bilik pameran, sebuah bilik tayangan dan beberapa barang berharga peninggalan Datuk Onn.

Datuk Onn yang merupakan pengasas UMNO dilahirkan pada 1895. Beliau meninggal dunia pada 1962 ketika berusia 67 tahun.

Anaknya, Allahyarham Tun Hussein Onn ialah Perdana Menteri yang ketiga manakala cucunya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini Menteri Pelajaran.

Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Timah Sari, Bakri Mohamad memberitahu pemberita, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran memorial itu pada pukul 2.36 petang.

“Dua jentera bomba dari balai itu dan Jalan Md. Khalid dengan 22 anggota tiba ke tempat kejadian pukul 2.41 petang dan api berjaya dikawal empat minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Batu Pahat, Datuk Ariss Samsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil melawat tempat kejadian petang ini.

Ahmad Zahri melahirkan rasa sedih kerana muzium tersebut adalah antara kesan sejarah yang penting di daerah ini.

Beliau berharap kerja-kerja membaik pulih bangunan berkenaan dapat dilakukan dengan segera.

“Kita akan buat taksiran kerugian dan berapa kos yang diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih berkenaan. Kerosakan perlu dibaiki segera,” katanya.

Ariss pula menambah, kebakaran itu menyedihkan masyarakat di daerah ini kerana kerja-kerja mengumpul pelbagai artifak sejarah berkaitan Datuk Onn baru selesai dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor.

Menurutnya, memorial itu sepatutnya dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Samy sedia undur, cabar perwakilan kemuka usul tidak percaya

Petikan: mStar Online
12-07-2008 12:24:42 PM

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Selepas tersinggung dengan kerenah perwakilan ketika majlis makan malam semalam sempena Perrhimpunan Agung MIC Ke-62, pagi ini Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengejutkan ramai dengan berkata, beliau sanggup meletakkan jawatan jika itu yang ahli-ahli parti tersebut inginkan.

Justeru, Samy Vellu juga meminta para perwakilan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Kata beliau, usul itu boleh dibawa petang ini.

Selepas Samy Vellu mengeluarkan kenyataan itu, wakil media telah diminta keluar dewan perhimpunan agung berlangsung.

Perhimpunan Agung MIC dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pukul 10 pagi tadi.

Perhimpunan agung kali ini hanya berlangsung sehari berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Samy Vellu merupakan Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu.

Beliau tewas dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu dengan gagal mempertahankan kerusinya Sungai Siput.

BERITA TERDAHULU:

Majlis makan malam MIC tukar detik singgung Samy Vellu

Menjelang Perhimpunan Agung MIC Ke-62 yang berlangsung hari ini, majlis makan malam yang diadakan untuk meraikan para perwakilan semalam bertukar menjadi detik menyinggung perasaan dan mengecewakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meninggalkan program itu lebih awal daripada sepatutnya

Ini kali pertama majlis makan malam berakhir satu setengam jam lebih awal daripada dijadualkan.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini.

Samy Vellu yang turut tersinggung dengan tindak-tanduk sesetengah perwakilan yang tidak menghormati majlis persembahan kebudayaan yang berlangsung keluar dewan majlis makan malam kira-kira lima minit sebelum pukul 10 malam.

Samy Vellu hanya berucap kira-kira lima minit - sesuatu yang berlainan sejak beliau memimpin MIC hampir 30 tahun.

Samy Vellu, Presiden paling lama memegang jawatan itu, ketika berucap mengatakan bahawa beliau tidak akan berucap lama dan akan meninggalkan majlis dalam lima minit.

Sebelum meninggalkan majlis, Samy Vellu sempat berucap kepada hadirin dengan berkata beliau tidak akan lagi menganjurkan majlis seumpama itu sekiranya para perwakilan tidak berminat.

Laporan Bernama menyebut beliau juga meminta maaf kepada para perwakilan.


Bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam berkata, Samy Vellu "agak tersinggung apabila perwakilan mula bersembang sesama sendiri tanpa memberi tumpuan kepada persembahan yang diadakan."

Para perwakilan mula bercakap di kalangan mereka sebaik sahaja menu selesai dihidangkan dengan cepat dan tidak mahu mengikuti persembahan, katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun difahamkan perasaan kecewa Samy Vellu bermula dengan tindakan Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan meninggalkan dewan majlis itu berlangsing iaitu dewan konvensyen Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Saravanan yang memasuki dewan itu kira-kira pukul 8.30 malam keluar tidak sampai 15 minit kemudian.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu mengesahkan keluar awal dewan tetapi enggan menyebut mengapa berbuat demikian.

Difahamkan Saravanan, Ahli Parlimen Tapah bertindak keluar apabila beliau tidak ditempatkan di meja utama, yang turut menempatkan mereka yang tidak memegang jawatan kanan dalam parti.

Tindakan Saravanan menyebabkan hampir 30 peratus perwakilan turut mula meninggalkan dewan.

Perhimpunan agung MIC ke-62 hari ini merupakan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Perhimpunan kali ini hanya akan berlangsung sehari berbanding dua hari masa-masa lalu.

Samy Vellu sebelum ini pernah memberitahu bahawa persidangan sehari itu akan memberi tumpuan kepada penjenamaan semula parti bagi membolehkan lebih semua ketua cawangan parti yang hadir memahami konsep itu.

BN Perlu Sisih Amalan Parti Perkauman, Kata Samy Vellu

12 Julai, 2008 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu membebaskan dirinya daripada amalan politik perkauman dan menjadi parti pelbagai kaum dalam erti kata sebenar, jika ingin mendapatkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat, kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata BN juga perlu bersuara dalam satu nada, di samping memastikan keperluan dan sensitiviti semua kaum di negara ini dihormati dan dipenuhi.

"Saya rasa masanya sudah tiba bagi BN memainkan peranan dengan lebih bersungguh-sungguh sebagai pelindung bagi Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Ini akan membantu kita mengetepikan politik perkauman," katanya pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Perhimpunan itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perhimpunan sehari yang dihadiri 3,300 anggota perwakilan itu dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Samy Vellu berkata orang ramai perlu melihat BN sebagai parti gabungan yang sentiasa menghormati dan mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik.

"Tempoh 12 bulan lepas merupakan masa yang amat mencabar bagi kita, daripada segi politik dan ekonomi. Sebagai pemimpin, kita perlu menghadapi keadaan ini dengan semangat serta keazaman yang lebih tinggi," katanya.

Samy Vellu berkata masyarakat India hari ini melihat dan menerima MIC sebagai sebahagian daripada kerajaan dan oleh itu, setiap tindakan kerajaan dianggap sebagai tindakan parti juga.

Katanya sejak 50 tahun lepas, kerajaan BN telah mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada masyarakat India.

Beliau berkata sokongan masyarakat India terhadap BN menurun pada pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana ada di kalangan mereka merasakan bahawa kebanyakan isu yang dekat di hati mereka, tidak ditangani dengan sewajarnya oleh kerajaan.

"Tetapi, yang berlalu itu, biarlah berlalu," kata beliau sambil menggesa BN supaya terus melangkah ke depan bagi memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Najib bagi menangani masalah yang dihadapi kaum India merupakan langkah tepat ke arah itu.

"Saya harap kita gunakanlah peluang ini untuk melahirkan perubahan dasar yang akan memberi kesan positif terhadap usaha meningkatkan taraf hidup kaum India di negara ini.

"Kita dalam MIC yakin bahawa masyarakat India Malaysia akan kembali memberi sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kerajaan BN," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...