Beliau yang terkejut dengan laporan itu berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan kepadanya bahawa tidak ada alasan diberikan Misbun.
Goh bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata beliau juga akan mendapatkan penjelasan daripada Misbun bagi mengenal pasti punca sebenar bekas jaguh badminton negara itu bertindak demikian.
"Apakah keadaan sebenar yang berlaku, apakah peletakan jawatan itu biasa atau ada perkara yang tidak kena dalam pengurusan terutama dalam program latihan yang ditentukan.
"Ini kerana saya sangat percaya apapun tindakan yang dilakukan oleh Misbun adalah berasaskan kepada kepentingan negara kerana kepentingan negara mesti diletakkan di atas segala-galanya," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan meminta Misbun menangguhkan peletakan jawatan itu, Ahmad Shabery berkata beliau perlu mendengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum mengambil sebarang tindakan.
Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan memastikan prestasi badminton negara tidak terjejas sekiranya Misbun tetap dengan keputusannya.
Beliau juga memberi jaminan persiapan "Road To London" juga akan diteruskan seperti biasa.
Mengenai kebimbangan beberapa pemain akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.
Menerusi bimbingan Misbun, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan All England tahun lalu serta meraih pingat emas pada Temasya Olimpik Beijing 2008.
Misbun juga membimbing Mohd Hafiz Hashim ketika menjuarai All England pada 2003. - BERNAMA