Monday, March 21, 2011

DUN Sarawak rasmi dibubarkan hari ini - Speaker

KUCHING, 21 Mac (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di sini hari ini.

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok,” katanya lagi. — Bernama

Cukup banyak isu untuk singkirkan Taib

Pada tanggapan umum, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya mudah disekat oleh "simpanan tetap" BN di Sarawak. Dalam pilihan raya umum 2008, tsunami politik tidak berjaya melanda Laut China Selatan sehingga Sarawak (dan Sarawak) terselamat daripada badai yang mengejutkan itu. Kini, sebelum PRU13 menjelma, keutuhan BN akan diuji lebih awal dalam pilihan raya negeri ke-10, yang mesti diadakan sebelum 24 Julai depan.

Meskipun isu-isu politik di Sarawak semakin panas dan heboh diperkatakan bukan setakat di sekitar Kuching, malah sudah diangkat menjadi agenda nasional -- dan turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa -- namun di atas kertas seolah-olah kekuatan BN di bawah teraju Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang genap memerintah 30 tahun, sukar digugat.

Sekali pandang, cabaran paling getir yang dialami Taib mungkin dalam pilihan raya negeri 1987 apabila Dun Sarawak terpaksa dibubarkan pada 13 Mac berikutan tuntutan 27 Adun (jumlah Adun ketika itu 48 orang) mendesak Taib meletakkan jawatan atau menghadapi undi tidak percaya. Bekas ketua menteri, Abdul Rahman Yaakub, yang juga bapa saudara Taib mengetuai Kumpulan Maju (terdiri dari Permas dan PBDS), yang popular dengan peristiwa Hotel Ming Court. 

Kumpulan Maju berjaya merebut 20 kerusi, tetapi kebanyakannya (15 kerusi) di kawasan majoriti kaum Dayak. Rahman sendiri kalah. Belum pun berakhir tahun 1987, sembilan Adun Kumpulan Maju telah melompat parti, dan dengan itu saingan sengit buat Taib boleh dikira berakhir.

Selepas 25 tahun, Taib masih kekal berkuasa, tetapi dicemari dengan rekod buruk penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang dahsyat. Tempoh tiga dekad Taib berkuasa mengingatkan rakyat Malaysia tentang pemerintahan diktator Mesir, Hosni Mubarak, yang akhirnya berjaya ditumbangkan melalui revolusi rakyat. 

Maka ramai mula membayangkan, jika Mubarak yang disokong hampir 100 peratus dalam setiap kali pilihan raya boleh diusir dengan begitu hina, apakah Taib yang nampak gagah langsung tidak terusik dalam siri pilihan raya negeri sebelum ini akan terus bertakhta, sambil menimbun kekayaan dan "merampas tanah" untuk diri, anak-anak, saudara-mara, suku-sakat dan kroninya?

Namun, timbul persoalan besar, apakah rakyat Sarawak, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman, yang terhimpit dengan kemiskinan, kedaifan dan penindasan, mampu serta bersedia untuk berubah? Apakah mereka akses dengan maklumat dan pendedahan tentang penyelewengan Taib yang banyak disebarkan melalui media baru? Apa lagi dalam politik Sarawak, khabarnya budaya samseng ugut-mengugut masih bermaharajela dan ini agak membimbangkan golongan prihatin yang mahu menyedarkan komuniti mereka terhadap kezaliman yang berlaku.

Perhimpunan politik terutama membabitkan penjelasan terhadap isu-isu rakyat bawahan selalu dihalang. Taib dikatakan memperalatkan pihak polis bagi kepentingan diri dan survival BN. Beberapa tokoh politik Semenanjung juga dihalang daripada memasuki negeri itu.

Sarawak menyaksikan jurang pendapatan dan kehidupan yang cukup ketara di antara golongan kaya dengan kelompok miskin. Ahli-ahli politik dan kroni Taib mengumpulkemewahan yang melampau-lampau. Negeri makmur terutama dengan hasil mahsul buminya tetapi majoriti rakyat papa kedana. Apa pun, rakyat yang dikepung kemelaratan dan sentiasa terikat dengan bantuan kerajaan, seringkali sukar melakukan reformasi. 

Dun Sarawak menawarkan 71 kerusi, BN menawan 63; pesaing terdekat adalah DAP yang menguasai 6 kerusi, manakala KeADILan dan Parti Cinta Malaysia, masing-masing satu. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dikemudi Taib menang semua 35 kerusi yang ditandinginya. Hanya SUPP (Sarawak United Peoples' Party) yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina menerima tamparan hebat daripada DAP apabila ramai calon-calonnya kalah pada 2006, dan yang terakhir calonnya juga tewas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu. 

Gelombang peralihan undi masyarakat Tionghoa  yang melanda Semenanjung pada 2008 -- dan momentumnya berkekalan di Sibu pada Mei 2010 -- dijangka banyak memberi kelebihan kepada DAP dalam pilihan raya umum negeri tidak lama lagi. Ramai pemerhati politik meramalkan DAP boleh menambah jumlah Adunnya menjadi 12. Sarawak mempunyai 15 kerusi yang majoritinya pengundinya Cina.

Justeru, Taib dilihat cuba memberi lebih tumpuan untuk menarik hati pengundi Cina dan memperkukuhkan kekuatan SUPP. Bagaimanapun, trend pengundian masyarakat Cina dijangka tidak berubah bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung. Beberapa "pembaharuan" yang cuba diperkenal Perdana Menteri, Najib Razak seperti slogan 1Malaysia seperti tidak berbekas di kalangan orang Cina. Namun, sekiranya SUPP tewas semua kerusi pun, majoriti dua pertiga BN masih gagal dinafikan.

Difahamkan, pengundi Melayu-Melanau agak payah untuk menolak BN. Kesedaran untuk berubah dirasakan lebih mudah di kalangan pengundi Iban. Kebetulan isu diskriminasi dan rampasan tanah adat NCR banyak membabitkan mereka (tetapi juga tidak terkecuali masyarakat Melanau, asal-usul Taib sendiri). Seperti kata Pengerusi KeADILan negeri, Baru Bian, tanah bagi majoriti penduduk Sarawak ibarat nyawa kerana kerana kehidupan mereka sejak nenek moyang sangat berkait rapat dengan tanah adat itu. Isu rampasan tanah dijangka menjadi polemik besar dalam kempen pilihan raya nanti.


Adun Padungan, Dominique Ng semasa mengulas isu rampasan tanah penempatan kaum Iban, menegaskan: "Ketamakan keluarga Taib tiada hadnya, dan telah melampaui batasan rasa malu. Mereka tetap akan mencuri, dan mencuri lagi, sepanjang masa mereka dapat lakukannya, sehinggalah mereka dilucutkan dari kekuasaan atau mati." 

Terbaru, kes tuntutan harta sepencarian sebanyak RM400 juta isteri anak Taib, Shahnaz Majid terhadap suaminya, Mahmud Abu Bekir Taib cukup mengejutkan. Kekayaan Abu Bekir dijangka melebihi RM1.3 bilion. "Itu baru seorang anak, bagaimana dengan tiga lagi anaknya yang lain? Bagaimana dengan adik beradiknya pula, lelaki dan wanita, juga tidak terkecuali  dengan aset ipar-duainya. Hampir semua suku-sakatnya terbabit dengan kontrak kerajaan negeri tanpa melalui tender terbuka," kata seorang penganalisis politik yang tidak mahu dikenali. 

"Harta mereka banyak tersimpan di luar negara, tetapi Taib dan suku-sakatnya tidak segan silu memperagakan kemewahan yang diperolehi daripada khazanah negeri. Cuba anda rujuk laman web sarawakreport.org, banyak aksi-aksi menjengkelkan dirakam. Tuduhan keluarga Taib memonopoli projek kerajaan negeri, tanah dan balak disertakan dengan dokumen sahih," ujarnya.

Sunday, March 20, 2011

Akhirnya Taib lakar perubahan kepimpinan di S'wak

Buat pertama kalinya selepas sekian lama, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya melakarkan jadual dan perancangan awal sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada kepimpinan baru.

Tampaknya beliau mungkin akan berbuat demikian dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang selepas mengumumkan semalam yang beliau akan mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian buat kali
terakhir.

Taib pertama kali melahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 2006 tetapi ia tidak direalisasikan dan beliau terpaksa menangguhkannya.

Beliau tidak menjelaskan secara panjang lebar akan sebabnya ketika itu tetapi pemerhati politik mendapati Taib secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran mengenai perkara itu dalam ucapannya pada program "Senada Sejiwa" di Serian semalam.

Taib berkata beliau akan terus menerajui negeri bagi memastikan "pemimpin baru" boleh dikenal pasti dan beliau akan berundur apabila beliau berpuas hati yang pemimpin baru boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana penganti yang berpotensi.

"Saya fikr beliau mahu memastikan penggantinya dan orang di sekeliling pemimpin terpilih itu tidak bercakaran antara satu sama lain; bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan menjaga kedudukan BN di negeri ini," menurut seorang pemerhati politik.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya Taib akan melepaskan jawatannya dalam satu atau dua tahun akan datang.

"Jika beliau berundur sekarang, ia mungkin mencetuskan perebutan kuasa dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunggak gabungan parti pemerintah negeri.

"Beliau perlu membimbing seseorang untuk mengambil alih. Beliau mungkin telahpun membimbing orang berkenaan tetapi atas sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendir, beliau telah menangguhkan (peralihan)," katanya.

Daripada perspektif strategi politik, Dr Sivamurugan berkata adalah tidak bijak untuk Taib berundur sebelum pilihan raya atau sejurus selepasnya kerana persoalan siapa bakal menjadi ketua menteri akan menjadi tumpuan berbanding usaha memenangi dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya.

"Isu ini lebih rumit. Ia bukan mengenai siapa yang patut jadi ketua menteri. Di Sarawak, ia lebih kepada siapa yang akan menggantikan beliau sebagai
presiden PBB dan sebab itu kenapa ia tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," katanya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya proses peralihan itu akan mengambil masa lebih lama, kemungkinan sehingga pertengahan penggal akan datang bagi membolehkan pengganti berpotensi dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.

Taib, 75, yang berkata beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Taib telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac, 1981.

Sebelum ini, Taib menamakan tiga pengganti berpotensi - Tan Sri Adenan Satem, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Datuk Seri Effendi Norwawi. 

Namun keadaan berubah mengikut peredaran masa.

Tumpuan sekarang ialah kepada barisan pemimpin kanan masa kini - Timbalan Presiden I Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden II Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. 

Orang dalam parti menyatakan oleh kerana Taib sering menyatakan yang beliau dan Jabu sudah "tua", fokus kini terarah kepada Abang Johari dan Awang Tengah. 

Mereka berkata pada mesyuarat parti enam bulan lepas, Taib melahirkan harapannya untuk melihat Abang Johari dan Awang Tengah saling bekerjasama.

"Saya fikir Taib perlukan lebih banyak masa kerana beliau mahu kedua-dua pemimpin ini membuktikan yang mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan sebelum seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti, memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar," menurut seorang lagi orang dalam parti.

Dalam sejarah PBB, tiada siapa pernah mencabar presiden parti.

Pada 1998, Adenan dan Abang Johari saling bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan untuk kaumMelayu/Melanau.

Abang Johari menang berikutan mendapat sokongan padu daripada anggota Dayak disebalik hakikat Adenan mendapat sokongan Taib pada waktu itu.

Adenan, yang tewas, kemudiannya dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti.

Tujuh tahun kemudian, Adenan sekali lagi mencabar Abang Johari, tetapi persidangan perwakilan ditangguhkan apabila dilaporkan ada penyokong Adenan didakwa dikesan mempunyai dua cawangan di kira-kira 40 kawasan.

Orang dalam parti itu berkata Taib, sebagai ahli politik veteran, diketahui tidak suka kepada sesiapa yang cuba mendesak beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan peralihan kepimpinan negeri.

Beliau akhirnya pasti akan berundur tetapi beliau mahu melakukannya mengikut rentaknya sendiri, katanya. "Anda tidak boleh paksa beliau kerana beliau tahu bagaimana untuk membalas balik, sepertimana yang beliau telah lakukan di masa lalu. Beberapa pemimpin politik yang bercita-cita tinggi cuba memaksanya berundur tetapi akhirnya mereka sendiri yang dipinggirkan dalam politik."


Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya negeri itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan.

Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak telah mengadakan sembilan pilihan raya negeri -- pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001 dan 2006.

Pilihan raya pertama Sarawak ialah selepas pembentukan Malaysia, yang diadakan secara berperingkat dari 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan serentak dengan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain kecuali Kelantan, pada 20 Mac 1969 dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 April, 1969.

Bagaimanapun, akibat rusuhan kaum yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei tahun itu yang diikuti dengan pengisytiharan darurat, pilihan raya itu ditangguhkan sehingga 1970.

Apabila penangguhan itu dikuatkuasakan, pilihan raya di sembilan daripada 48 kawasan di Sarawak telah bermula tetapi semuanya masih belum selesai.

Pilihan raya negeri dan Parlimen disambung semula pada 6 Jun, 1970 dan selesai pada 4 Julai, 1970.

Sepanjang pilihan raya itu, satu tragedi berlaku di Sarikei pada 29 Jun, 1970 apabila pengganas komunis membunuh tiga pegawai pengurus pilihan raya yang dalam perjalanan pulang selepas pengundian selesai di sebuah pusat pengundian.

Di luar sebuah lagi pusat pengundian di Bahagian yang sama, sebutir bom ranjau meletup tetapi tiada yang cedera.

Disebalik semua kejadian itu, 80 peratus daripada 332,373 pemilih berdaftar di Sarawak telah keluar mengundi, jumlah yang tinggi berbanding dengan peratusan pengundian di negeri-negeri lain.

Sejumlah 221 calon bertanding di 48 kerusi negeri di Sarawak, dengan Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) bertanding di 33 kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding di 40 kerusi, Parti Pesaka Sarawak (Pesaka) 35, dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 47, dengan 66 calon Bebas turut bersaing.

SUPP kemudiannya menyertai Perikatan Sarawak, membolehkan gabungan itu menguasai 27 daripada 48 kerusi dalam Majlis Negeri dan membentuk kerajaan.

Pilihan raya negeri yang kedua diadakan dari 24 April hingga 14 September 1974, serentak dengan pilihan raya Parlimen selepas Dewan Undangan Negeri dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain dan Parlimen dibubarkan pada 31 Julai, 1974.

Bagaimanapun, pilihan raya negeri yang ketiga hanya diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978, buat pertama kalinya 
pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.

Pilihan raya negeri yang keempat diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Dis dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987 bagi diadakan pilihan raya negeri yang kelima selepas sekumpulan wakil rakyat yang diketuai bapa saudara Taib dan ketua menteri terdahulu Tun Rahman Yaakub memberontak terhadap Ketua Menteri yang peristiwa itu dikenali sebagai "Ming Court Affair".

Mereka termasuk beberapa anggota PBB yang kemudiannya membentuk kumpulan "Maju Group" manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) 

mengumumkan keluar daripada BN negeri tetapi kekal sebagai komponen BN di peringkat pusat.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 16 April, Taib mengetuai BN negeri dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kemudiannya lapan wakil rakyat PBDS menyertai BN, memberikannya majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya negeri yang keenam pada 1991 juga berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 September, manakala pilihan raya negeri yang ketujuh diadakan pada 7 dan 8 September 1996.

Bagaimanapun pilihan raya negeri yang kelapan berlangsung dalam satu hari sahaja pada 27 September 2001 berikutan pembangunan pesat infrastruktur dan komunikasi. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 3 September manakala penamaan calon diadakan pada 18 September 2001.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006 selepas dewan dibubarkan pada 24 April dan penamaan calon pada 9 Mei.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dianggap sebagai badan pengubal undang-undang tertua di Malaysia kerana ia diwujudkan selepas mesyuarat julung kali yang pertama di Bintulu pada 8 September 1867.

Majlis Am Sarawak yang pertama dengan 21 anggota diketuai Raja Charles Brooke yang dianggotai enam pegawainya dan 16 pemimpin 
masyarakat tempatan. Pada 1903, Majlis Aam dinamakan sebagai Majlis Negeri. 

Pada 1941, anak lelaki Brooke, Vyner, mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai "Constitution Order in Council" sempena 
sambutan ulang tahun ke-100 pemerintahan Brooke di Sarawak.

Berikutan itu, keanggotaan Majlis Negri ditambah kepada 24. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Negri dan bukannya Vyner Brookes (dalam peranannya sebagai Raja), pada 1963, keanggotaan Majlis Negri ditingkatkan kepada 42. Sejak itu, keanggotaannya telah meningkat secara berperingkat kepada 48 pada 1968, 56 pada 1989, 62 pada 1996 dan 71 pada 2006. Pada 1976, Majlis Negri diberi nama baru iaitu Dewan Undangan Negeri.

Saturday, March 19, 2011

DUN Sarawak bubar Isnin ini

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan Isnin ini, dan notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.


Sehubungan pembubaran itu, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam masa 60 hari.

Khabar angin juga bertiup kencang bahawa hari pengundian akan jatuh pada 16 April. Bagaimanapun masih belum jelas bilakah tarikh penamaan calon dijalankan kerana ia bergantung kepada tempoh berkempen.

Menurut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh untuk hari penamaan dan penamaan calon.

Bagaimanapun, dijangkakan tempoh berkempem selama lapan hari berdasarkan amalan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Dalam pilihan raya pada Mei 2006m BN hilang lapan kerusi kepada pembangkang. Enam dimenangi DAP dan masing-masing satu untuk PKR dan bebas.

Kit Siang: S'wak bakal pelengkap tsunami 2008

Pilihan raya negeri yang bakal diadakan akan menjadi "kemuncak" yang melengkapkan tsunami politik yang melanda pilihan raya umum 2008 di semenanjung Malaysia, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, DAP yang mempunyai enam kerusi DUN di Sarawak telah membuat persiapan rapi bersama rakan komponen dalam Pakatan Rakyat untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya tidak mahu meramal berapa kerusi kita boleh menang, Namun, pilihan raya Sarawak 2006 menandakan satu permulaan untuk perubahan yang diikuti oleh tsunami politik di Semenanjung pada tahun 2008. 

"Kali ini kami berharap ia akan menjadi kemuncak tsunami politik untuk perubahan Malaysia khususnya di Sarawak," kata Lim.

Lim juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tempoh berkempen yang "lebih daripada seminggu' dengan mengambil kira saiz negeri yang terbesar di Malaysia itu dan masalah logistik untuk menyampaikan mesej di kawasan luar bandar.

"Kita harap tempoh yang cukup diberikan untuk berkempen, bukannya hanya satu minggu kerana ini tidak munasabah dan tidak adil. Namun ini yang kita khuathir kerana (kita tahu) SPR bukannya satu badan yang bebas seperti yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menyifatkan pilihan raya negeri Sarawak sebagai detik yang paling penting untuk masa depan anak negeri itu.

Dominique: Kali ini berlainan
"Inilah masa untuk membuat perubahan. Perubahan ini bukan untuk kami, tetapi untuk anda sekalian," kata Khalid kepada wakil-wakil penduduk Penan dari Baram, Sarawak.

Manakala ADUN Padungan Dominique Ng - satu-satunya wakil PKR dalam DUN Sarawak - yakin Pakatan mampu mengubah landskap politik Sarawak bersandarkan sentimen politik .

Beliau berkata Pakatan Rakyat tidak lagi menampilkan diri sebagai pembangkang semata-mata tetapi sebagai sebuah gagasan yang mampu mengubah nasib penduduk Sarawak, jika diberi mandat.

"Kali ini agak berlainan kerana kita akan bertanding di semua 71 kerusi DUN Sarawak dan kita harap kali ini kita boleh bawa perubahan yang terbesar sekali di Bumi Kenyalang iaitu untuk membebaskan Sarawak daripada BN," kata beliau.

BN kini menguasai 63 kerusi di DUN Sarawak , dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu pimpinan Taib menang 35 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) 12 kerusi.

Dua parti komponen lain dalam BN Sarawak, iaitu Parti Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.

Pakatan Rakyat pula mempunyai tujuh kerusi, enam daripadanya dimiliki DAP enam dan satu lagi oleh PKR. Parti Cinta Malaysia (PCM) memiliki satu kerusi.

DUN Sarawak bubar Isnin ini, umum Taib

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, demikian diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Katanya, beliau sudah menyampaikan notis mengenai pembubaran itu kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng baru-baruini.



"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan
pengundian," katanya pada persidangan akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di
Lapangan Antarabangsa Kuching di sini.

Pengumuman Taib itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri.
DUN Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini,
turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau 
bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana
tidak dapat dilaksanakan.

Ditanya sama ada penyerahan pentadbiran negeri kepada kepimpinan baru dijangkakan pada pertengahan penggal, beliau berkata, perkara itu mungkin.

"Ia mungkin. Saya harap semua orang akan bersetuju," kata Taib.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping sudah diminta oleh pucuk pimpinan BN supaya mengetuai jentera pilihan raya negeri.

Ketika mengulas isu yang sama, Najib berkata, Taib memerlukan sedikit masa untuk
memastikan siapa penggantinya yang boleh menjamin kestabilan dan kekuatan BN dan
kerajaan akan berterusan.

"Saya cakap secara (terus) terang bahawa Taib dan saya dah ada persefahaman
bahawa apa yang penting ialah peralihan secara tersusun dan teratur," katanya.

Dalam menentukan tidak berlaku sebarang pengolakan, beliau berkata Taib,
yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta supaya
mengetuai pilhan raya pada kali ini.

"Bila sampai pada masa yang sesuai Taib akan memaklumkan kepada saya," kata
Pengerusi BN itu.

Semalam, Taib memberitahu pemberita supaya tunggu sehari lagi untuk beliau
membuat pengumuman berkaitan pilihan raya negeri selepas spekulasi mengenai
pembubaran dewan undangan negeri semakin memuncak berikutan pertemuan beliau
dengan Yang Dipertua Negeri. 

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri
selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong
Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak 
(SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang
pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, menghadiri
pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini. - BERNAMA

Adeno: seorang lagi pelatih Pulapol dimasukkan ke ICU HKL

KUALA LUMPUR 19 Mac — Seorang lagi pelatih Inspektor lelaki Pusat Latihan Polis (Pulapol) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan virus ”Adeno”.

Pelatih itu dimasukkan ke ICU kira-kira 8.30 pagi tadi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebook memaklumkan sebelum ini, seorang pelatih Konstabel lelaki dan dua pelatih Inspektor wanita masih dirawat di unit itu, menjadikan jumlah yang dimasukkan ke ICU empat orang berbanding tiga semalam.

Menurut laman itu, jumlah pelatih yang dirawat di HKL ialah 24 orang iaitu sembilan pelatih Inspektor lelaki, 11 pelatih Inspektor wanita dan empat pelatih Konstabel lelaki, manakala jumlah mereka yang dikuarantin ialah 347 orang.
Untuk maklumat lanjut, anggota keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas Pulapol. — Bernama

Rakyat M'sia selamat diri atas bukit di Sendai

Seorang rakyat Malaysia di Sendai, Jepun terpaksa menyelamatkan diri dan keluarganya di atas sebuah bukit yang berhampiran selama lima hari dan berkongsi makanan dengan ratusan keluarga Jepun
yang lain.

"Nasib baik saya ada bawa sedikit makanan semasa melarikan diri ke atas bukit. Bila makanan sudah habis, orang-orang di situ memberikan makanan mereka kepada kami.

"Kami berkongsi apa yang ada, sebab kami tidak boleh keluar dari bukit itu. Kemudiannya apabila keadaan dirasakan selamat, baruah kami pergi ke Tokyo untuk pulang ke Malaysia," kata Yeoh Lian Chun, 29, seorang jurubahasa di sebuah kilang mesin di Sendai.

Beliau bersama keluarganya adalah antara rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini dari Tokyo.

Yeoh dan isterinya warga China, Chang Miao, 29, anak-anak mereka Yeoh Yun Ci, 3, dan Yeoh Hao Han, 11 bulan, tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH 89 pada pukul 5 petang tadi.

Yeoh dari Sungai Petani, Kedah menyifatkan pengalamannya menghadapi gempa bumi dan tsunami yang berlaku di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu sebagai menakutkan dan sukar dilupai.

"Bila amaran tsunami dikeluarkan, semua pekerja keluar dari kilang. Saya terus memandu ke rumah saya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Saya memang takut tentang keselamatan keluarga saya. Dari rumah saya terus membawa anak isteri saya ke tempat yang agak tinggi.

"Saya tidak berani bawa kereta lagi, jadi saya dan isteri membawa kedua-dua anak kami dengan berlari sekuat yang boleh ke tempat bukit yang saya anggap selamat.

"Saya hanya fikir untuk selamatkan anak dan isteri saya sahaja sebab mereka adalah segala-galanya bagi saya," katanya.

Yeoh yang bekerja sebagai jurubahasa selepas menamatkan pengajian selama lima tahun di Jepun berkata selepas keadaan dirasakan selamat barulah beliau dan keluarganya keluar dari kawasan bukit itu untuk ke Tokyo dengan menaiki bas sebelum pulang ke Malaysia.

Beliau juga tidak tahu dengan keadaan kilang tempatnya bekerja serta nasib rakan-rakannya kerana tidak dapat menghubungi mereka.

"Saya juga tidak tahu apa terjadi pada rumah saya," katanya.

Yeoh dan kelurganya juga disahkan bebas daripada kesan radiasi akibat kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi.

Yang turut pulang ialah Nabilah Ibrahim, 26, yang mengikuti pengajian peringkat Phd di Universiti Tohoku dalam jurusan Medical Ultrasonic Electronic.

Ketika kejadian beliau bersama rakan-rakannya sedang berada di dalam makmal perubatan dan meluru keluar dari bangunan makmal itu sebaik menyedari gegaran berlaku.

Bank Negara catu kad kredit

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan beberapa peraturan drastik bagi pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun untuk mengawal perbelanjaan boros selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Peraturan baru itu dijangka memberi kesan kepada lebih 480,000 pemilik kad kredit di negara ini yang berada dalam segmen pendapatan itu.
Antara syarat yang dikuatkuasakan serta-merta itu ialah kadar kelayakan gaji minimum bagi setiap permohonan baru kad kredit dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan.
Pada masa yang sama, mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun hanya dibenarkan memiliki kad kredit daripada dua buah bank sahaja.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jika seseorang itu mempunyai kad kredit daripada banyak bank, individu itu perlu memilih dua bank sahaja dan membatalkan kad kredit yang lain menjelang akhir tahun ini.
"Kepada mereka yang terpaksa membatalkan kad masing-masing di bawah syarat ini, mereka diberi masa dua tahun untuk melangsaikan baki kredit tanpa sebarang syarat daripada bank," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, syarat umur sekurang-kurangnya 21 tahun untuk memohon kad kredit dikekalkan.

BNM menyemak semula syarat permohonan dan pemilikan kad kredit bagi mengelak orang ramai terjerumus dalam kancah hutang. - Gambar hiasan

Friday, March 18, 2011

Tunggu esok, kata Taib

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akan membuat satu pengumuman esok dipercayai berhubung pilihan raya negeri akan datang.

"Tunggu sehari lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perhimpunan Belia 2011 hari ini ketika ditanya sama ada beliau mahu membuat "pengumuman khas".

sarawak BN convention taib and wifeTaib juga tidak menyatakan sama ada pengumuman itu akan dibuat di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan berada di Kuching esok sempena siri lawatan kedua-dua pemimpin itu ke seluruh negara.

Taib menafikan ura-ura kononnya beliau akan berlepas pada Ahad untuk melakukan umrah.

azlanSemalam, beliau mengunjungi Yang Dipertua Negri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pilihan raya kecil akan diadakan pada 16 April.

Penggal bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak sekarang yang mempunyai 71 kerusi berakhir pada 23 Julai.

Dalam pilihan raya negeri yang lalu, BN memenangi 62 kerusi, DAP (6), PKR (1), Parti Kebangsaan Sarawak (1), dan Bebas (1).

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...