Saturday, May 24, 2008

Pulau Batu Putih Akhirnya Milik Singapura

Pulau Batu Putih milik Singapura

23/05/2008 6:01pm

THE HAGUE 23 Mei – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Bagaimanapun, dalam penghakiman itu yang dibacakan oleh Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, ICJ memutuskan Middle Rocks dimiliki oleh Malaysia.

Pulau Batu Putih, yang berukuran lebih kurang separuh daripada keluasan sebuah padang bola sepak, terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusoh di Johor.

Singapura memanggil pulau kecil itu dengan nama Pedra Branca (perkataan Portugis yang bermaksud Batu Putih).

Pertikaian antara Singapura dan Malaysia mengenai Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980, apabila republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan sebuah peta pada 1979, yang dengan jelas menunjukkan pulau itu terletak dalam wilayahnya.

Pada Februari 1993, Singapura meluaskan tuntutannya ke atas Middle Rocks dan South Ledge, yang terletak berhampiran pulau itu.

Pada 6 Februari 2003, kedua-dua negara menandatangani satu perjanjian khas bagi merujuk perkara itu kepada ICJ. - Utusan


Majoriti 12 - 4, Pulau Batu Putih milik Singapura.

23/05/2008 6:28pm

THE HAGUE, Belanda 23 Mei - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.

Namun ICJ memutuskan Pulau Middle Rocks diberi kedaulatan dan menjadi milik Malaysia sementara South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia terletak.

Dalam keputusan majoriti 12-4, penghakiman bertulis yang dibacakan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh, pada pendapat para hakim keputusan itu dicapai berdasarkan fakta sejarah, perundangan antarabangsa serta kesan-kesan pertindihan berkaitan tuntutan tersebut.

Awn Shawkat mula membacakan penghakiman tersebut tepat pukul 4 petang waktu Malaysia dan berakhir dua jam kemudian.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih.

Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, ‘’Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura’’.

Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim; Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Agen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin. - Utusan

Terima keputusan ICJ walau berat – Muhyiddin

23/05/2008 8:14pm

KUALA LUMPUR 23 Mei – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas Pulau Batu Putih yang memihak kepada Singapura walaupun ia agak mengecewakan.

“Sebagai rakyat Johor, saya juga sedih kerana walau apa juga asas undang-undang antarabangsa yang digunakan ICJ, dari segi nilai sejarah, kedaulatan dan moralnya kita sudah kehilangan sebahagian wilayah kita,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas keputusan ICJ di The Hague, Belanda hari ini yang memutuskan kedaulatan Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

Kedaulatan Middle Rocks pula diputuskan menjadi milik Malaysia sementara South Ledge menjadi milik negara di mana terletaknya kawasan perairan pulau tersebut.

“Keputusan ICJ mengenai Middle Rocks itu bagaimanapun, menghilangkan sedikit kekecewaan kita.

“Apa pun kita harus terima keputusan itu dengan hati yang berat,” katanya. – Utusan.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...