Thursday, June 19, 2008

Bekas Menteri Penerangan Kini Dirawat Di HKL Selepas Diserang Angin Ahmar Ringan

19 Jun, 2008 17:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat, 70, kini dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) setelah diserang angin ahmar ringan petang semalam. Menurut isterinya Puan Sri Salbiah A. Hamid, suaminya dikejarkan ke HKL oleh anaknya, Nur Jasni kira-kira pukul tujuh petang semalam dari rumah mereka di Damansara.

"Alhamdulillah, beliau kini berada dalam keadaan stabil dan mungkin dibenarkan keluar esok" katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.

Beliau berkata suaminya tidak pernah diserang angin ahmar sebelum ini dan menjalani rawatan dialisis setiap hari serta pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan.

"Ini kali pertama dia diserang strok (angin ahmar), setiap hari dia akan menjalani dialisis dan mengikuti pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan di rumah kami sendiri," katanya

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menziarahi beliau dan meluangkan masa kira-kira 20 minit di wad Nefologi.

Mohamed dilantik sebagai Menteri Penerangan mulai 1 Jan 1978 hingga 28 April 1982 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 20 Mei 1987 sebelum meletakkan jawatan itu pada 20 Mei 1999.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...