KUALA LUMPUR - Persiapan skuad badminton negara menerima tamparan dua bulan menjelang Sukan Olimpik apabila beregu emas, Koo Kien Keat mengalami kecederaan sehingga terpaksa menerima 20 jahitan di tangan kanan.
Bekas juara Seluruh England itu ditimpa malang, Khamis lalu apabila tangan dan kakinya terkena kaca yang pecah ketika sedang berbual dengan rakannya di Bukit Jalil.
Akibat kecederaan itu, Kien Keat bukan saja menerima 20 jahitan, malah disahkan terpaksa melupakan dua kejohanan Siri Super - Terbuka Singapura (10-15 Jun) dan Terbuka Indonesia pada 17-22 Jun ini.
Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, Kien Keat tidak boleh beraksi sekurang-kurangnya tiga minggu, namun dia yakin kecederaan pemain itu tidak serius untuk terkeluar daripada Sukan Olimpik, 8-24 Ogos ini.
"Koo Kien Keat terpaksa melupakan Terbuka Singapura dan Indonesia kerana kecederaan itu dialami di tangan kanan, tangan yang digunakan untuk memegang raket.
"Mengikut doktor, dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu sebelum boleh membuka jahitan dalam minggu kedua mungkin dia sudah boleh kembali ke latihan, bergantung kepada keadaan.
"Kalau melihat tahap kecederaannya, saya tidak fikir ia akan memberi masalah besar di Sukan Olimpik, kerana temasya masih ada lebih dua bulan lagi,'' kata Rexy.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Indonesia itu mengakui apa yang membimbangkannya ketika ini adalah kemungkinan Kien Keat terdedah kepada jangkitan kuman.
Seandainya itu berlaku, tempoh yang lebih panjang mungkin diperlukan oleh pemain berusia 23 tahun itu untuk sembuh sepenuhnya, sekali gus menyulitkan peluangnya untuk beraksi di Beijing.
Menurut Rexy, nasib sebenar Kien Keat hanya akan diketahui Isnin ini apabila dia menjalani satu lagi pemeriksaan di Insitut Sukan Negara (ISN).
"Saya harap tiada apa-apa yang serius berlaku ke atas Kien Keat. Ketika ini, kami perlu memberikan semangat kepadanya untuk segera sembuh dan kembali ke latihan.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai pelan kecemasan sekiranya kami menerima berita yang kurang menggembirakan Isnin nanti, sekarang ini bukan masanya lagi,'' tegas Rexy.
No comments:
Post a Comment