Monday, June 9, 2008

Terengganu juara Sukma XII

KUALA TERENGGANU - Tuan rumah sudah boleh meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia XII hari ini apabila mendominasi kedudukan teratas pungutan pingat emas, mengatasi Raja Sukma, Selangor dengan mengumpul 59 emas sehingga semalam.

Lebih manis, pungutan emas itu turut disumbangkan acara paling popular, bola sepak selepas Terengganu menundukkan Perlis 5-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Sekalipun jika Selangor berjaya memenangi tiga pingat emas terakhir yang ditawarkan hari ini, ia belum mampu mengatasi tuan rumah kerana negeri itu hanya menutup saingan semalam dengan 53 emas.

Emas terakhir yang bakal menjadi rebutan hari ini adalah lumba basikal 150km lepas beramai-ramai lelaki individu, angkat berat atas 105kg lelaki dan sepak takraw antara regu lelaki.

Empat emas Terengganu semalam disumbangkan oleh silat, dua daripada acara tinju, manakala satu masing-masing menerusi ragbi dan bola sepak, sekali gus membolehkan tuan rumah melepasi sasaran 40 pingat emas .

Selain kilauan 59 emas, tuan rumah juga turut menerima 39 perak dan 46 gangsa yang disumbangkan melalui beberapa acara sepanjang Temasya ini berlangsung.

Daripada 59 emas yang diperoleh, acara kenu menjadi penyumbang tertinggi pingat Terengganu apabila menggondol kesemua 14 emas dan empat perak.

Lonjakan Terengganu di tangga teratas terus berlaku apabila acara berbasikal, olahraga dan pencak silat turut menyumbangkan 19 emas sehinggakan Selangor terpaksa akur di tangga kedua walaupun pernah merasai kedudukan pertama Sukma XII selama sehari pada 7 Jun lepas dengan 41 emas.

Dengan kejayaan Terengganu itu bermakna, tuan rumah berjaya menghalang penguasaan Selangor yang digelar Raja Sukma yang menguasai Sukma sebanyak enam kali berturut-turut sejak 1996.

Sementara itu gimnas Wilayah Persekutuan, Brenda Yap mencuri tumpuan sehari sebelum temasya ditutup apabila menggondol empat lagi emas dalam acara gimrama, sekali gus menyapu bersih kesemua lima emas yang ditawarkan dalam acara ini.

Atlet Olimpik, Bryan Nickson Lomas pula membantu Sarawak muncul juara keseluruhan acara terjun apabila menambah emas kelapan negeri itu dalam 10m platform lelaki, manakala seorang lagi penerjun Sarawak, Elizabeth Jimie memenangi emas 3m papan anjal wanita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...