PETALING JAYA - Zakaria Ab. Rahim, bekas pegawai kanan sumber manusia sebuah syarikat di Johor dan pernah bermain di beberapa kelab amatur Manchester, England, dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak Selangor yang baru - jawatan yang pertama secara sepenuh masa di Malaysia, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Anak jati Keramat, Kuala Lumpur berusia 40 tahun ini yang turut mewakili beberapa pasukan belia Selangor pada 1990-an itu mengetepikan tujuh lagi calon yang disenarai pendek oleh panel penilai Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada April lalu.
Zakaria dilantik secara kontrak dua tahun dan akan mengendalikan bukan sahaja pasukan Liga Malaysia Selangor tetapi juga meliputi Piala Presiden (Bawah 21 Tahun) dan Piala Belia (Bawah 19 Tahun) serta Akademi FAS dengan tugasan pertama menantinya ialah Piala Malaysia yang bermula esok.
Pelantikannya yang mengisi kekosongan ekoran peletakan jawatan Datuk Satim Diman pada Mac lalu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad di Yayasan FAS, Kelana Jaya, semalam selepas mendapat restu Presiden yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"FAS melantiknya kerana keberanian, keyakinan dan kesanggupannya menyahut cabaran selain cukup meminati bola sepak selain memiliki pelan pembangunan sukan ini. Dia meninggalkan satu jawatan tetap dan bergaji lumayan untuk mengambil risiko dengan tugas yang tidak dijamin kekal malah boleh disingkir jika prestasi buruk," kata Mokhtar yang juga pernah menyandang jawatan pengurus pasukan Gergasi Merah.
Bagi Zakaria, matlamat jangka pendeknya sekarang ialah memperkuatkan pasukan Selangor yang terlepas gelaran naib juara sehingga menduduki tempat keempat Liga Super, Mei lalu dalam menghadapi separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia yang membuka tirainya, bulan ini.
"Saya anak jati Selangor dan hanya kerana melanjutkan pelajaran ke luar negara yang menghalang karier saya sebagai pemain berkembang di negeri ini selepas mewakili pasukan bawah 21 tahun," katanya yang bermain di posisi penyerang dan sayap kanan.
Pernah bermain di 'Liga Ahad' Manchester dengan mewakili dan melatih kelab amatur BWT dan Bank Barclays selama menetap di Manchester, England kira-kira enam tahun, Zakaria berkata, "matlamat jangka panjang saya ialah membawa Selangor berjaya sebagai kelab Asia menerusi Piala AFC seterusnya ke Liga Juara-juara Asia.
"Saya juga percaya dengan latar belakang di Manchester itu, Selangor mampu menghasilkan pemain pasukan kebangsaan dan beraksi di liga Eropah malah jika diizinkan Allah, saya mahu menguruskan skuad negara," katanya yang cukup meminati penyerang legenda, Mokhtar Dahari dan kelab Liverpool.
No comments:
Post a Comment