Thursday, July 17, 2008

Liputan menyeluruh Olimpik Beijing 2008

Petikan: Harian Metro
Oleh Harris Adam

sukan@hmetro.com.my

ASTRO, penaja bagi skuad Olimpik Malaysia 2008, akan membawa liputan menyeluruh dan komprehensif sepanjang Sukan Olimpik 2008 berlangsung di Beijing, dari 8 hingga 24 Ogos ini.

Bagaimanapun, 11 saluran interaktifnya akan menyiarkan program mengenai temasya sukan terbesar dunia itu mulai 27 Julai ini hingga 26 Ogos bermula saluran Astro Supersports (saluran 816 hingga 826) dengan pelanggan pakej Dynasty boleh terus mengikuti perkembangan pertandingan itu dalam bahasa Kantonis di saluran TVB Olympic (saluran 318).

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan, berkata berbekalkan slogan Stadium Astro iaitu ‘Best Seat Is In Your House’, stesen televisyen berbayar itu akan memastikan pelanggan menikmati segala liputan secara langsung yang membabitkan 45 jenis sukan dengan dianggarkan lebih daripada 3,000 jam ke udara melalui 11 saluran interaktif itu.

“Setakat ini, Astro menaja kontinjen Malaysia ke acara sukan berprestij di persada antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Asia dan yang terbaru Sukan Olimpik sejak 2004. Untuk meneruskan tradisi ini, Astro amat berbesar hati apabila dapat memanjangkan sokongan padu kami kepada skuad Olimpik negara pula,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Zulkples Embong, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Imran Tunku Jaafar serta atlit yang layak ke Olimpik.
“Majlis Olimpik Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana sudi menaja pasukan Olimpik Malaysia. Melalui usaha Astro dalam membawakan temasya sukan terunggul Olimpik ini terus kepada rakyat Malaysia, sudah cukup membuktikan komitmen mereka yang sentiasa bersama dalam memajukan pembangunan dunia sukan negara,” kata Tunku Imran.

Sementara itu, Zolkples turut memuji Astro kerana dapat meluaskan usaha sama dengan TVB (Hong Kong) serta usaha gigih pihak produksi dalam memberi liputan secara langsung Sukan Olimpik dalam bahasa Kantonis khas buat pelanggan berbahasa Cina.

Penaja penyiar sukan Olimpik ialah Maxis manakala Panasonic dan Ogawa menjadi penaja bersama penyiar dengan Spritzer menjadi penyokong penyiar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...