Sunday, July 27, 2008

Samy Bidas Golongan Yang Hanya Berminat Dengan Jawatan

27 Julai, 2008 18:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, hari ini membidas pemimpin "tertentu" parti yang telah memulakan kempen untuk jawatan peringkat pusat, sungguhpun pemilihan MIC hanya akan berlangsung sepuluh bulan lagi.

"Saya masih belum membuat sebarang persetujuan kepada sesiapa (untuk bertanding bagi jawatan dalam pemilihan parti). Ada ramai orang yang hanya begitu berminat untuk bertanding dalam pemilihan jawatan sahaja. Mereka tidak peduli tentang masyarakat India. Saya berada di pejabat dan bekerja dari 10 hingga 12 jam.

"Kesimpulan saya ialah, kita kalah dalam pilihan raya, kita kehilangan sokongan masyarakat India. Saya bekerja keras untuk membawa semula masyarakat kepada kita tetapi ada segelintir pihak dalam MIC yang hanya memikirkan mengenai jawatan 24 jam setiap hari. Itu saja yang mereka fikir dan usahakan," kata ahli politik kanan itu yang mengetuai parti politik berasaskan masyarakat India terbesar di negara ini selama hampir 30 tahun.

MIC akan mengadakan pemilihan presiden pada Mac, 2009 manakala pemilihan bagi jawatan peringkat pusat yang lain -- timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat -- akan berlangsung pada Jun, tahun depan.

"Saya fikir ini amalan yang sangat tidak baik (berkempen untuk memperoleh jawatan tanpa bekerja untuk parti) yang kita tidak sepatutnya galakkan. Saya pernah katakan sebelum ini jika sesiapa merasakan mereka mendapat sokongan daripada perwakilan, mereka boleh bertanding... tidak ada siapa pun yang menghalang mereka daripada bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Pekerja Jaya Bhd (KPJ) di ibu pejabat parti di ini. KPJ adalah sayap koperasi MIC.

"Malah jika ada sesiapapun yang mahu bertanding jawatan presiden... biarkan mereka bertanding. Terpulang kepada perwakilan untuk memilih. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu... sekarang adalah masa untuk kita membawa semula masyarakat bagi memastikan Barisan Nasional memenangi pilihan raya akan datang. Itulah yang sedang kita usahakan," kata bekas Menteri Kerja Raya.

Samy Vellu berkata berdasarkan siri jelajahnya ke seluruh negara sehingga kini, "saya mendapat banyak sokongan", dan rakyat menyatakan bahawa mereka melakukan kesilapan dengan mengundi pembangkang.

"Sekarang mereka mahu kembali semula kepada MIC dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan. Saya berasa sangat gembira.

"Saya tahu ada sesetengah orang yang mempunyai ketagihan... ketagihan itu ialah mereka mahu berada dalam politik. Bagi saya politik adalah satu permainan. Dalam politik, kalau anda bekerja untuk rakyat, anda akan kekal, kalau anda tidak bekerja untuk rakyat, anda tidak (dikekalkan)," katanya.

Beliau berkata terdapat dua jenis ahli politik dalam MIC, satu daripadanya mahu menjadi instrumen kepada rakyat untuk maju manakala jenis yang satu lagi hanya memikirkan tentang diri sendiri dan "ahli politik jenis ini, tidak mengambil berat mengenai rakyat".

-- BERNAMA

ni sorang lagi. Bekas Menteri yang tak reti-reti sedar diri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...