Tuesday, July 1, 2008

Treler rempuh 15 kenderaan

Petikan: Harian Metro

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Abdullah Wahab

am@hmetro.com.my

PUCHONG: Mengerikan apabila berbelas kenderaan diseret hampir 100 meter akibat dilanggar dari belakang oleh sebuah treler menyebabkan seorang pemandu kereta terbunuh di persimpangan lampu isyarat Batu 10, Jalan Puchong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, treler membawa muatan bahan binaan terbabit hilang kawalan lalu merempuh 15 kenderaan, termasuk motosikal yang berhenti di persimpangan berkenaan sementara menunggu lampu isyarat hijau.

Disebabkan rempuhan kuat itu, semua kenderaan berkenaan ‘disapu bersih’ treler terbabit menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi seperti zon bencana alam dengan kesan tumpahan minyak melimpahi sepanjang jalan terbabit.

Lebih memilukan apabila pemandu Nissan Sunny, warga Myanmar, U Kyaw Lin, 58, menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas kenderaan dipandunya terputus dua dan terperosok di bawah treler terbabit.

Difahamkan ketika kejadian, treler dipandu seorang lelaki berumur 64 tahun dari Kinrara membawa bahan binaan dan kejadian berlaku ketika kenderaan terbabit sedang meneruni kawasan agak tinggi sebelum merempuh semua kenderaan di hadapannya.

Kemalangan ngeri itu turut membabitkan 16 kenderaan iaitu tujuh kereta, tiga pacuan empat roda, sebuah lori kecil dan lima motosikal.

Empat daripada pemandu kenderaan terbabit parah termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Balai Polis Puchong.

Semua mereka dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk rawatan.

Pegawai Bomba II, Zainal Elias Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2 petang dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera, dua dari Seksyen 7 Petaling Jaya dan Jalan Penchala bersama 20 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Kami mengambil masa hampir setengah jam mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah treler terbabit.

“Pada peringkat awal, bomba mengalami sedikit kesukaran (untuk mengeluarkan mayat), namun dengan bantuan kereta penunda, kami dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga terpaksa menyembur laluan terbabit berikutan tumpahan minyak dan tugas itu mengambil masa hampir sejam.

“Laluan ini juga ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Kesesakan teruk sejauh beberapa kilometer berlaku apabila laluan terbabit ditutup bagi membolehkan polis melakukan siasatan, manakala pengguna memberhentikan kenderaan untuk melihat kemalangan terbabit.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Asisten Superintendan Muhammed Rizal Kamaruddin, mengesahkan 16 kenderaan termasuk lima motosikal, terbabit dalam kemalangan itu.

“Pemandu treler terbabit yang turut tercedera, kini dirawat di Hospital Putrajaya dan polis mengambil sampel darahnya untuk ujian bagi membantu siasatan.

“Lima lagi mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa lagi mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Serdang.

Antara kenderaan terbabit dalam kemalangan itu ialah Honda City, Proton Perdana, Proton Wira, Nissan Sunny dan Toyota Camry.

“Polis akan mendapatkan keterangan daripada pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...