Sunday, August 24, 2008

Kes Nurin Tidak Akan Ditutup Meskipun Bapanya Saman Polis - BERNAMA

23 Ogos, 2008 17:02 PM

PETALING JAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Polis tidak akan sesekali menghentikan siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin malahan akan terus memburu pembunuh kanak-kanak malang itu biarpun bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil memfailkan saman terhadap pasukan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menegaskan polis tidak akan menutup kes pembunuhan tersebut hanya kerana berhadapan dengan kes saman itu bahkan masih mengumpul bukti-bukti bagi mengesan penjenayah terbabit.

"Tanggungjawab pihak polis untuk mengesan penjenayah akan tetap diteruskan. Itu hak beliau untuk saman sekiranya berasakan kami bersalah.. sekiranya beliau tetap tidak berpuas hati.

"Apa yang saya boleh katakan, seluruh pasukan polis termasuk pegawai-pegawai saya sudah dan akan terus melakukan yang terbaik dalam mengesan pembunuh Nurin justeru tidak benarlah sekiranya polis dikatakan menghentikan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar pencegahan jenayah sempena Bulan Pencegahan Jenayah di sini Sabtu.

Beliau tidak menafikan timbul sedikit perasaan kecewa atas tindakan Jazimin memfailkan saman terhadap pasukan polis tetapi beliau menganggapnya sebagai asam garam dalam menjalankan tugas sebagai ketua polis.

"Saya sedikit kecewa tetapi ini tidak akan sesekali melemahkan semangat kami, kes saman menyaman saya lihat sebagai asam garam. Kalau kita nak fikirkan sangat pasal saman itu, nanti kerja lain pula yang tidak terbuat," katanya.

Ditanya mengenai penyebaran gambar autopsi Nurin, Khalid berkata polis sudah mengenalpasti individu yang terlibat tetapi enggan mengulas lanjut berikutan ia bukan di bawah bidang kuasa beliau.

"Kes berkenaan kini diambil alih Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman dan ia kini terpulang kepada pegawai polis berkaitan (yang menyiasat kes itu) untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Jazimin, 34, memfailkan dua saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia pada Khamis lepas berhubung penyebaran gambar autopsi anaknya melalui internet dan pernyataan fitnah kononnya beliau kehilangan Nurin kerana terlibat dengan ceti haram, 'Ah Long'.

Pekerja di syarikat keselamatan itu memfailkan saman kecuaian dan saman fitnah di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur dan menamakan Khalid selain Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Rabu lepas genap setahun kehilangan Nurin yang berlaku semasa kanak-kanak itu keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, sebelum mayatnya dijumpai pada 17 Sept tahun lepas di dalam beg sukan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, selepas 27 hari kehilangannya.

Khalid berkata pihaknya turut berharap supaya Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 dapat diluluskan segera bagi memudahkan tangkapan penjenayah dilakukan terutamanya bagi kes jenayah yang sukar dikesan seperti rogol, rompakan bersenjata dan bunuh.

Sementara itu, beliau menasihatkan pemilik-pemilik premis perniagaan agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang bermutu tinggi agar apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, suspek mudah dikenalpasti.

"Banyak premis terutamanya kedai emas memasang CCTV yang kualitinya rendah justeru rakaman imej menjadi kurang jelas dan ini menyukarkan kerja untuk mengecam suspek apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...