Wed | Aug 13, 08 | 10:22:04 am MYT
Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pengumuman tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 6 Ogos lalu, seluruh perhatian rakyat tertumpu kepada Parlimen yang menempatkan sejumlah 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos.
Pilihan raya kecil di Permatang Pauh kali ini lebih bermakna apabila ia dikaitkan dengan soal perjalanan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menuju ke PutrajayaNamun paling menyakitkan lagi, pilihan raya kecil itu juga sebenarnya menjadi penentu kepada Umno-BN samada akan terus dikuburkan rakyat tatkala parti pemerntah semakin bergolak dengan kemelut dalaman pentadbiran goyah, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tanggal 16 Ogos adalah tarikh yang bakal menentukan siapa lawan kepada Anwar yang akan ditampilkan Umno untuk mencabar populariti bekas TPM itu sejak Pakatan Rakyat memenangi 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Pirdaus, Ezam atau Jalil?
Nama-nama seperti, Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh, Dato' Jalil Abdul Majid disebut-sebut sebagai calon BN selain ada juga suara nakal yang mahu bekas Ketua AMK, Ezam Mohammad Noor menentang Anwar.
Selain dua nama hangat itu, bekas calon BN semasa Pilihan raya Umum ke-11 dan 12, Dato' Pirdaus Ismail dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato' Zainol Abidin Othman turut dikaitkan dalam usaha BN menghalang hasrat Anwar untuk menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas isterinya meninggalkan jawatan itu 31 Julai lalu.
Paling teruja untuk menentang Anwar ialah, Pirdaus yang juga bekas imam Masjid Negara yang masih terngiang-ngiang dengan kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lalu dengan majoriti 13,388 undi.
Umum menyedari, walaupun siapa nama yang dijangkakan untuk dicalonkan BN bagi menentang Anwar, keputusan akhir akan terletak di tangan Presiden Umno.
Khairy boleh tentukan
Ada kemungkinan Ezam Mohd Noor yang lebih awal mempelawa diri bertanding melawan bekas bosnya akan mendapat laluan sekiranya menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin campur tangan dalam pemilihan calon kali ini.
Ezam kini sangat dikenali dengan ceramah-ceramah perdananya menghentam Anwar di sana-sini, malah turut menghebahkan dakwaan bahawa beliau memiliki rahsia besar Anwar.
Seingat penulis, sewaktu Ezam menjadi 'ayam tambatan' Anwar sekitar 1998 hingga 2004, beliau pernah mendedahkan ada 'enam kotak rahsia' berhubung Umno, namun hingga kini entah ke mana perginya enam kotak rahsia tersebut.
Mungkin, kotak-kotak itu kini terus menjadi simpanan Ezam yang juga kenalan penulis selepas beliau bebas dari tahanan dan menubukan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) bersama rakan, Abdul Ghani Haroon.
Apa-apapun penulis tidak pernah membuang jauh persahabatan dengan beliau, walaupun kami berbeza idealogi politik selepas Ezam menyertai semula Umno beberapa bulan lalu.
Tampak lebih meyakin BN jika Ezam dicalonkan dalam usaha menyerang Anwar yang sedang berhadapan dengan dakwaan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan yang telahpun menghadapi pertuduhan di mahkamah 6 Ogos lalu.
Ezam mungkin boleh meyakinkan menantu Perdana Menteri untuk memberi nasihat supaya namanya diletakkan sebagai calon menentang Anwar dengan segala pengalaman bersama Anwar sebelum ini.
Laluan mudah dan teori Mahathir
Di pihak Anwar pula, mungkin dengan tercalonnya Ezam mewakili BN, satu peluang yang lebih cerah boleh diimpikan kerana segala-gala rahsia bekas Ketua AMK itu ada dalam pengetahuan rakan-rakan dalam KeADILan.
Bekas teman rapat Ezam, Badrul Hisham Shaharin sendiri sebelum ini beberapa kali mendedahkan dakwaan keterbabitan Ezam dalam konspirasi memfitnah Anwar.
Apapun, peristiwa 16 dan 26 Ogos ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada politik Umno-BN yang kini mula tidak diyakini rakyat, malah jika silap percaturan Umno-BN akan berhadapan titik-titik ajal kepada hayat parti itu.
Namun rakyat tidak boleh meninggirkan beberapa siri kenyataan Perdana Menteri yang cenderung kepada membentuk fikiran rakyat bahawa BN akan berusaha mengurangkan majoriti undi.
Penetapan tarikh hari bekerja pada Selasa 26 Ogos bagi pembuangan undi itu sendiri pun sudah memberi signal awal bahawa BN sedang berusaha mengurangkan majoriti undi yang dimenangi Wan Azizah pada 8 Mac lalu.
Dengan meletakkan hari bekerja sebagai tarikh pembuangan undi, usaha mengurangkan jumlah keluar mengundi mungkin bakal berjaya dan ia akan menyumbang kepada pengurangan majoriti sekiranyan Anwar menang.
Dengan mengurangkan majoriti undi, Umno sedikit sebanyak akan menggunakan fakta tersebut untuk dimuatkan dalam media arus perdana bagi meracuni pemikiran rakyat bahawa sokongan terhadap Anwar berkurangan.
Walhal seperti kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ia adakah taktik Umno-BN yang sudahpun dikesan sebaik pengumuman tarikh dibuat SPR.
Namun, segala-galanya akan terjawab sebaik sahaja peti-peti undi ditutup untuk proses pembuangan undi pada jam 5.00 petang, 26 Ogos 2008.
Apakah ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Anwar akan menang besar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan menjadi kenyataan, sama-sama kita nantikan. - mks. _
1 comment:
So good......
Post a Comment