Sunday, August 17, 2008

Pengundi: Peluang BN, PKR sama rata - MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Aug 17, 08 3:56pm

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP memulakan kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh, dengan mengadakan program ramah mesra dengan penduduk di Jalan Tenggiri dan kempen bersama ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Pertemuan dengan penduduk di situ berlangsung selama setengah jam, mulai 8.30 pagi. Risalah turut diedarkan kepada penduduk, bagi menjelaskan mengenai isu-isu terkini membabitkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Kempen dan pengedaran risalah itu dibuat di Medan Selera, Jalan Tenggiri. Bersebelahannya, terdapat pasar minggu. Para peniaga di situ terdiri daripada peniaga Melayu, Cina dan India.

Antara yang diedarkan ialah risalah empat muka surat 'Anti Konspirasi' yang memuatkan berita "Kalah Debat Anwar Ditangkap".

Turut diedarkan ialah risalah 'Terkini' setebal lapan muka surat yang memuatkan antara lain, kaji selidik Merdeka Centre berhubung pertuduhan liwat terhadap Anwar.

DAP juga turut serta berkempen dengan menempatkan sebuah lori treler panjang di tepi jalan dan meletakkan satu televisyen besar di atasnya.

Mereka menayang antara lain, video clip Anwar dan sedutan ucapannya dalam debat turun harga minyak, protes kenaikan harga minyak di Stadium MPPJ dan ucapan mantan timbalan perdana menteri, sejurus keluar dari Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta.

Layar besar

Orang ramai di medan selera dan pasar minggu itu, berpeluang menonton dari layar besar itu yang berukuran 3x3 meter.

DAP juga mengedarkan risalah-risalah seperti risalah 'Roket' dalam bahasa Melayu, kepada pengunjung di situ.

Tinjauan Malaysiakini juga mendapati, cakap-cakap kedai kopi sudah kedengaran berhubung pilihanaraya kecil ini.

Malaysiakini juga sempat mendapatkan pandangan dan reaksi peniaga dan penduduk yang berada di situ mengenai pilihanraya kecil Permatang Pauh yang menyaksi pertembungan tiga penjuru antara Anwar; calon BN, Arif Shah Omar Shah dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai 'Bahar', 45, menyuarakan keyakinannya bahawa Anwar akan menang.

"Umno tak boleh pegang, tak menang. Anwar bukan calang-calang orang," kata Bahar.

Ditanya mengenai Arif Shah, termasuk mengenai sumbangannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, kepada penduduk di situ, beliau menjawab:

Isu-isu semasa

"Memang Arif ada jasa banyak, tetapi Datuk Seri Anwar bukan lawan dia. (Arif). Lawan di DUN boleh, tapi
lawan di Parlimen tak boleh," jelas Bahar.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan majoriti yang bakal diperolehi Anwar mungkin berkurangan daripada yang diperolehi isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Katanya, ini kerana ada pengundi yang akan 'termakan' isu-isu semasa yang membabitkan Anwar, termasukl dakwaan liwat yang dibuat oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peniaga buah tembikai susu itu berkata, mantan perdana menteri itu mempunyai ketokohan dalam politik.

"Letak di mana saja Anwar, dia akan menang. Baik di kawasan India atau Cina, dia akan menang," kata Bahar.

Beliau yang menetap di situ hampir lima tahun lalu, akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya.

Selain, menjual buah-buahan, Bahar juga menjual ayam tua di pasar minggu berkenaan.

'Kedua-dua calon bagus'

"Rakyat nak perubahan," katanya sewaktu mengakhiri perbualannya dengan Malaysiakini.

Sementara itu, Chan, 55, seorang peniaga beg di pasar minggu Jalan Tenggiri, juga menjangka pilihanraya kecil Permatang Pauh itu akan berpihak kepada Anwar.

"Kita Undi orang yang pakai cermin matalah," sampuk isterinya yang berada di sisi Chan sewaktu ditemuramah.

Chan menjelaskan, kedua-dua calon - Arif Shah dan Anwar - bagus dalam politik.

"Kedua-dua ok," tambahnya.

Ditanya mengenai keboleh calon BN itu berbahasa Mandarin untuk menarik undi kaum Cina, Chan berkata:

"Dia (Arif) orang Melayu cakap Cina, saya orang Cina cakap melayu, tak ada kesan apa-apa".

'Arif mesra rakyat'


Beliau yang telah menetap di Seberang Jaya hampir 20 tahun lalu, yakin dengan kemenangan Anwar.

"Bagi peluang Anwar masuk Parlimen," kata Chan.

Seorang surirumah berketurunan India yang tidak mahu dikenali, pula menyifatkan Arif sebagai seorang ahli politik yang mesra rakyat dan ringan tulang.

"Dia ok. Dia banyak tolong kami. Apa-apa masalah, dia tolong kami.

"Kalau ada kesusahan seperti kematian, pergi jumpa dia. Dia tolong banyak," katanya ketika ditemui dalam perjalanan ke pasar minggu Jalan Tenggiri itu.

Beliau yang tinggal di Flat Blok B1, berhampiran pasar minggu itu, berkata, Arif Shah pernah memanggil orang untuk membersihkan kawasan flat tersebut.

"Setiap bulan orang datang menyapu dan membersihkan kawasan flat itu," katanya.

Peluang sama rata

Suri rumah berumur 38 tahun itu juga percaya pilihanraya kecil kali ini adalah sengit.

Beliau yang menetap di flat itu selama 15 tahun lalu, meramalkan 60-40 kemenangan memihak kepada Arif Shah.

Tinjauan Malaysiakini di Jalan Tenggiri, Dun Seberang Jaya, mendapati banyak bendera PKR menghiasi jalan tersebut.

Di jalan itu juga terdapat bilik gerakan utama PKR bagi DUN Seberang Jaya.

Di situ, penyokong PKR menggantungkan poster yang berbunyi, "Pakatan Rakyat Menuju Putrajaya, Makkal Sakthi".

Terdapat juga poster Anwar "Harapan Baru Untuk Malaysia" dan poster-poster dalam bahasa Cina dan Tamil, yang dipasang di sekitar bilik gerakan berkenaan.

Terdapat juga poster besar berukuran 3x2 meter yang berbunyi," Pakatan Rakyat Menuju Putrajaya", yang digantung di pondok panas berhampiran bilik gerakan tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...