Saturday, August 16, 2008

Pertandingan Tiga Penjuru Di Permatang Pauh - BERNAMA

16 Ogos, 2008 12:43 PM
BUKIT MERTAJAM, 16 Ogos (Bernama) -- Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Arif Shah Omar Shah daripada Barisan Nasional (BN), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya mengumumkan nama ketiga-tiga calon yang layak pada pukul 11.45 pagi ini selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi.

Proses penamaan calon pilihan raya itu diadakan di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.

Beliau berkata lima bantahan diterima dan tiada pencalonan yang ditolak.

Semasa ditanya pemberita kemudian mengenai kedudukan calon keempat, Dr Mansor Othman yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, Roslan berkata beliau menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman dibuat.

Akibat daripada penarikan diri itu, Mansor kehilangan depositnya kerana keputusan itu dibuat selepas pukul 10 pagi, selepas waktu penyerahan borang pencalonan tamat.

"Malah mana-mana calon (yang bertanding pada pilihan raya kecil itu) masih boleh menarik diri dalam tempoh tiga hari," kata Roslan.

Sementara itu, Mansor yang enggan mengulas lanjut berkata beliau menarik diri setelah pencalonan Anwar diterima dan mengakui beliau masih anggota PKR dan menyokong Anwar.

Terdahulu, para pemimpin BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi Arif Shah, 51, ke pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi ini, sementara Anwar, 61, diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin gabungan Pakatan Rakyat.

Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 58,459 pengundi terdiri daripada 69 peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina, enam peratus India dan lain-lain bangsa selepas Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi itu.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1982 hingga 1999, sebelum melepaskannya apabila dijatuhi hukuman penjara kerana penyalahgunaan kuasa.

Anwar, yang kembali aktif dalam politik selepas layak untuk bertanding pilihan raya pada April lepas, kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selain berhadapan dengan anak didiknya, Arif Shah yang pernah bersamanya ketika beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Anwar juga akan menghadapi tentangan daripada calon parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi, 61.

AKIM didaftarkan sebagai parti politik pada 16 Feb 1995 kini mempunyai 10,000 anggota di seluruh negara.

Sebaik pusat penamaan calon dibuka, Arif Shah merupakan calon pertama mengemukakan borangnya pada pukul 9.03 pagi, dicadangkan Abdul Kalam Ahmad dan disokong Normala Abdul.

Anwar, yang pencalonannya dicadangkan Ibrahim Ahmad dan disokong Mohd Hamdan Abdul Rahman, menyerahkan borangnya pada pukul 9.12 pagi manakala Hanafi, yang mengemukakan borang pada pukul 9.40 pagi, dicadangkan oleh Lockman Abdul Rahman dan disokong oleh Romli Musa.

Sebaik pengumuman dibuat oleh Roslan, para penyokong parti-parti yang bertanding bersorak gembira setelah calon mereka diterima.

Lebih 10,000 para penyokong calon yang bertanding membanjiri perkarangan institut perguruan itu sejak pukul 6.30 pagi. Polis yang mengerahkan 3,000 anggotanya untuk memantau keadaan dari udara dan darat, berjaya mengawal keadaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...