01 Ogos, 2008 21:19 PM
Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Datuk Pirdaus Ismail, calon Barisan Nasional (BN) yang dua kali bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang mudah jika bertanding pada pilihan raya kecil di situ kelak.
Pirdaus yang juga Exco Pemuda Umno berkata peluang bagi mana-mana calon untuk memenangi kerusi itu yang dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam sukar diramal berikutan perubahan senario politik di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.
"Kenapa saya katakan tidak mudah bagi Anwar, dan juga sukar kepada BN adalah kerana dahulu kita (BN) memerintah negeri ini. Mereka menilai kita dan jadi pembangkang. Sekarang ini mereka jadi kerajaan dan kita pula menilai mereka dan jadi pembangkang.
"Saya yakin rakyat tahu apa yang terbaik untuk mereka dan Umno telah bersiap sedia. Pilihan raya kali ini bukan satu perkara mudah. Rakyat menilai mereka dan rakyat juga menilai kita," katanya kepada Bernama.
Pirdaus berpendapat tindakan Presiden PKR Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh secara tergesa-gesa memperlihatkan tindakan itu seperti mengkhianati kepercayaan rakyat.
"Perkara itu menyusahkan rakyat. Pada pilihan raya lalu, saya dah beritahu rakyat jangan memberi undi. Ini dah buktikan dia (Wan Azizah) bukan bertanding untuk rakyat tetapi untuk diri sendiri.
"Ini juga membuktikan peluang Anwar untuk menang tidak mudah kerana telah mengkhianati kepercayaan rakyat. Namun itu juga sukar bagi kita kerana ia boleh dikatakan kubu kuat mereka," katanya.
Semalam, Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.
Ditanya kemungkinan beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya ini, Pirdaus berkata perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti.
"Sekiranya diarah berbuat demikian, saya patuh. Sebagai pejuang saya merasakan itu adalah tanggungjawab. Lagipun saya bersedia dan tidak gentar untuk berhadapan dengan dia (Anwar) kerana ini bukan kali pertama saya bertanding," katanya.
Sementara itu, Pirdaus mencadangkan agar mesyuarat cawangan di negeri itu segera diselesaikan bagi membolehkan Umno Bahagian Permatang Pauh membuat persediaan secukupnya bagi pilihan raya kecil itu.
Pirdaus tewas dua kali kepada Dr Wan Azizah -- dengan majoriti 590 undi pada 2004 dan majoriti 13,388 undi pada pilihan umum yang lalu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment