Sunday, September 14, 2008

Dua Pemilik Bengkel Didakwa Kemuka Tuntutan Palsu Kes Selenggara Proton Perdana - BERNAMA

14 September, 2008 17:13 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Sept (Bernama)-- Dua pemilik bengkel hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk tuntutan penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu.

Tor Kok Siong, 52, pemilik bengkel di Bukit Kecil dan Choong Yuen Sang, 48, pemilik bengkel di Chendering dekat sini dihadapkan ke mahkamah secara berasingan bagi tujuan pendakwaan.

Di Mahkamah Sesyen 2, Tor yang diwakili peguam Osman Bakar menghadapi empat pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM72,230.73.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada Ogos tahun lepas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu didakwa telah memberikan kepada Penolong Pegawai Tadbir negeri Hashim Abdul Rahman satu invois yang mengandungi butiran palsu mengenai pembelian 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68.

Tuntutan itu adalah untuk kenderaan Proton Perdana V6 Executive bernombor pendaftaran TAG 7979 yang sebenarnya pembekalan itu tidak dilakukan dan tuntutan itu dibuat dengan tujuan mengelirukan pemiliknya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama dan di tempat yang sama pada Jun tahun ini dengan menyerahkan invois kepada Pegawai Tadbir Pejabat SUK A Rahim Jusoh yang mengandungi tuntutan palsu bagi pembekalan 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran TT3.

Tor turut didakwa menyerahkan invois yang mengandungi butiran palsu mengenai pembelian 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.69 untuk kenderaan bernombor pendaftaran TT7 kepada individu dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama pada November 2006 di tempat yang sama dengan menyerahkan satu invois mengandungi tuntutan palsu kepada Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terenganu (Am/Kewangan) Zulkifly Isa.

Tuntutan palsu itu dilakukan untuk pembekalan 1 PC Auto Transmission V6 untuk kereta bernombor pendaftaran TAG 8778 berjumlah RM18,057.68 sedangkan kotak gear itu merupakan kotak gear asal dan tidak ada penggantian dilakukan.

Bapa dua anak itu mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 hari dan denda lima kali nilai suapan.

Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah Mohd Sophian Zakaria memohon supaya mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin memandangkan Tor menghadapi pertuduhan memperdayakan kerajaan negeri Terengganu.

Bagimanapun Osman membantah dengan alasan wang jaminan dikenakan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan dalam kes ini, Tor tidak akan melarikan diri memandangkan dia telah lama menetap di Terengganu dan mempunyai perniagaan serta keluarga di sini.

Hakim M Bakri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan serta menetapkan 23 dan 24 Dis ini untuk perbicaraan.

Di Mahkamah Sesyen 3 pula, Choong didakwa memberikan invois mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan Auto Transmission Assy (New) berjumlah RM19 119.91 melibatkan kereta bernombor pendaftaran TAK 415 sedangkan tidak ada penggantian kotak gear dilakukan.

Invois itu didakwa diberikannya kepada Hashim di Pejabat SUK Terengganu pada 2 Ogos lepas.

Tertuduh diwakili oleh peguam Siti Saleha Mohd Tahir manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohd Sophian di hadapan hakim Mohammad Khalid Abd Karim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat ikat jamin RM7,000 dan menetapkan 14 Dis ini sebagai tarikh perbicaraan.

-- BERNAMA

1 comment:

Cheguman said...

Terima kasih kerana menyimpan berita penting ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...