Thursday, September 18, 2008

Kerajaan Akan Lihat Suasana Negara Sebelum Ambil Tindakan Ke Atas Anwar - BERNAMA

18 September, 2008 17:29 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri akan memantau keadaan dan suasana dalam negara termasuk tindak tanduk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengambil sebarang tindakan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata keselamatan dan ketenteraman awam penting bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan mana-mana pihak yang cuba menjejaskannya boleh dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai agar jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai tindakan kementeriannya.

"Lebih baik kita tengok suasana...bila tiba masanya jika perlu ambil tindakan kita akan ambil tindakan, tapi jangan buat spekulasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata Anwar kini sudah menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Kita akan melaksanakan tugas untuk memerintah dan mentadbir sebagai mandat yang diberikan kerajaan. Apa tindakan yang akan kita ambil, kita akan ambil bila tiba masanya tapi saya tidak mahu bincangkan perkara ini sebelum masanya tiba dan perkara itu berlaku," kata Syed Hamid.

Syed Hamid berkata tidak ada keperluan untuk membincangkan perihal Anwar setiap hari seolah-olah Malaysia ditadbir dan dikawal oleh Anwar.



"Kita tidak perlu tiap-tiap hari bincang mengenai ketua pembangkang itu banyak lagi benda-benda yang boleh kita buat," katanya.

Mengenai penahanan penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz di rumahnya di Demit, Kota Baharu mengikut Akta Hasutan semalam, Syed Hamid berkata ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pegawainya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika ditemui pada majlis yang sama, Ismail berkata bagaimanapun, beliau belum melihat laporan tersebut.

Semalam, Teresa melalui peguamnya Sankara Nair membuat laporan polis dan menyaman akhbar Utusan Malaysia, Pengarangnya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kerana memfitnahnya berkaitan isu larangan azan di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata Sistem Maklumat Penumpang Terkini (APIS) perlu dibangunkan bagi memastikan pengurusan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang di negara ini dapat ditingkatkan.

Menerusi sistem itu, ia membolehkan maklumat penumpang yang akan datang ke negara ini diperolehi lebih awal oleh pihak yang berkaitan dengan keselamatan seperti Imigresen, katanya kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang hari ini.

"Cadangan APIS telah dipersetujui sejak dua tahun lepas dan sekarang kementerian sedang mengkaji cara untuk melaksanakannya," katanya.

Syed Hamid juga berkata jumlah anggota pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diwujudkan bagi memperkuatkan lagi kekuatan anggota keselamatan sedia ada di lapangan terbang ditambah lagi menjadikan keseluruhannya seramai 800 orang.

Pasukan itu turut ditempatkan di lapangan terbang Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi dan Kuching.

Sebelum ini terdapat 141 anggota yang sudah ditempatkan di KLIA untuk mengawal kawasan balai berlepas dan tapak udara sejak Mei lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...