Wednesday, September 10, 2008

Penggantungan Ahmad Selama Tiga Tahun Satu Keputusan Penting, Kata Hishammuddin - BERNAMA

10 September, 2008 21:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno mengantung keanggotaan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini adalah satu keputusan yang penting.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua pendapat anggota MT selain mahu semua parti komponen yang lain memahami pendirian yang dibuat oleh Umno mengenai perkara itu.

"Semua parti komponen perlu memahami dan menghayati apa pendirian kita dan apa asas keputusan yang telah dijatuhkan tadi.

"Dengan keputusan Majlis Tertinggi hari ini dan keputusan Kabinet yang melihat secara serius isu yang berhubung kait dengan kaum, saya harap parti komponen juga mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana ahli mereka yang keluar daripada landasan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT Umno di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Katanya, parti komponen yang lain perlu mengambil contoh keputusan yang dibuat oleh Umno kerana ia bukanlah merupakan satu perkara yang paling gemar dilakukan atau keputusan yang popular.

Ketika ditanya mengenai persepsi golongan akar umbi terhadap keputusan itu, Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata parti akan memberikan penjelasan kepada akar umbi terutama kepada anggota Umno Bukit Bendera.

"Asas keputusan itu yang perlu diperjelaskan bukan berkisar kepada seorang individu dan juga tidak berkisar pada satu parti sahaja.

"Kalau sekiranya kita berpegang kepada konsep hormat-menghormati dan memahami bahawa kestabilan dan keharmonian kaum itu menjadi satu aspek yang kebelakangan ini semakin terjejas, maka parti-parti lain juga perlu menghormatinya dan kalau itu berlaku, ia tidak timbul masalah di peringkat akar umbi Umno," katanya.

Di PULAU PINANG, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata Umno Pulau Pinang menyifatkan keputusan itu dibuat demi kepentingan semua pihak.

"Umno Pulau Pinang menerima keputusan itu dan pada saya Umno Malaysia telah ambil keputusan itu mengikut keperluan dan kepentingan semua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebarang tindakan lanjut akan dilakukan setelah meneliti keputusan yang dibuat itu.

Bagi MCA Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi MCA negeri, Lau Chiek Tuan berkata keputusan yang dibuat itu adalah untuk kestabilan politik negara.

"Saya rasa keputusan dibuat untuk memastikan kestabilan politik dan persefahaman antara kaum di negara ini," katanya yang mahu keputusan itu diterima semua pihak.

Beliau berkata apa yang berlaku itu seharusnya dijadikan pengajaran oleh semua pihak bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

"Perkara yang berlaku boleh merosakkan ketenteraman awam dan tindakan terhadap Ahmad membuktikan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) menghormati antara satu sama lain," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa mengumumkan keputusan MT mengantung keanggotaan Ahmad berkata kenyataan dan tindakan Ahmad yang menimbulkan keresahan dan bantahan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah serius.

Pada satu ceramah 23 Ogos lepas dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka tetapi Ahmad enggan berbuat demikian.

Sementara itu, pemimpin parti komponen BN Sabah berkata keputusan Umno itu menunjukkan sikap tiada toleransi Umno dan Abdullah selaku presiden parti terhadap anggotanya yang memainkan isu perkauman.

Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Liew Vui Keong berkata tindakan itu tepat dan tegas yang turut mencerminkan kesediaan Abdullah menerima pandangan semua pemimpin parti komponen BN pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

"Sehubungan itu, saya tidak ragu-ragu yang semua pemimpin komponen BN akan memastikan anggota mereka akan menerima hukuman yang sama dengan Ahmad jika mereka memainkan isu yang sensitif dan menguris perasaan kaum lain.

"Kini tiba masanya untuk kita bergerak untuk membina sebuah negara yang lebih selamat, aman dan makmur tanpa mengira warna kulit," katanya.

Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama di Kuala Lumpur, berkata keputusan menggantung keanggotaan Ahmad merupakan langkah yang betul.

Katanya parti berharap hukuman itu akan menjadi pengajaran terhadap tindakan tidak bertanggungjawab dan sensitif seperti itu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...