Tuesday, September 2, 2008

Umno mohon maaf kepada kaum bukan Melayu - MSTAR ONLINE

02-09-2008 06:08:04 PM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

KUALA LUMPUR: Umno hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua kaum bukan Melayu yang tersinggung dengan kenyataan berunsur perkauman yang dikeluarkan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kenyataan Ahmad itu tidak mewakili Umno dan kerajaan secara keseluruhan sebaliknya adalah kenyataan peribadi.

"Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai 'menumpang'.

"Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita tetap akan menjaga kepentingan dan maruah mereka," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Chery Eastar MPV di sini hari ini.

Sambil menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai sesuatu yang amat dikesali, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berharap kaum bukan Melayu di negara ini tidak tersinggung dengan kenyataan itu kerana ia tidak menggambarkan sikap dan kepimpinan Umno secara keseluruhan.

"Umno meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kita tapi ia dibuat oleh salah seorang Ketua Bahagian kita dan kita amat kesal," katanya.

Najib berkata, Umno akan membincangkan tindakan yang wajar dikenakan ke atas Ahmad berhubung kenyataannya itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang. Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kaum Cina hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...