KUALA LUMPUR: Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.
Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.
"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar di sini, hari ini.
Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya.
"Kalau kita lihat dalam senarai peringkat tertinggi, kita melihat calon Presiden dan Timbalan Presiden, yang senior dan yang berpengalaman menjadi pilihan, tapi pada saya tidak mengapalah itu pilihan mereka, tetapi jawatan lebih bawah daripada itu saya lebih suka golongan muda yang mengambil bahagian," katanya.
Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat.
"Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin.
"Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.
Sementara itu, Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai proses pemilihan pemimpin yang sedang berjalan dan menyifatkan cara pemilihan calon yang dibuat berasaskan ukuran lama.
Setakat ini tiada seorangpun calon yang hendak bertanding dengan jelas menyebut bahawa sekiranya dipilih maka pemimpin itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani kesan akibat krisis ekonomi dunia, jelasnya.
Menurut Musa, ini membuktikan anggota Umno sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya.
No comments:
Post a Comment