21 Oktober, 2008 18:09 PM
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pemuda MCA akan menyerahkan satu memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur meminta penjelasan berhubung pertukaran nama Jalan Alor dan beberapa nama jalan lain di sekitar Kuala Lumpur.
Ketuanya Dr Wee Ka Siong yang mewakili penduduk di sekitar kawasan terbabit yang terdiri daripada peniaga telah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan Jalan Alor yang sudah dikenali dan masyhur di kalangan pelancong luar dan dalam negara.
Katanya tindakan DBKL itu adalah tidak wajar kerana nama-nama jalan berkenaan mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.
Sebenarnya, jelas Dr Wee langkah itu juga menyebabkan usaha mempromosikan destinasi pelancongan di bandaraya Kuala Lumpur terjejas.
"Saya anggap ini tindakan yang tiada sebarang justifikasi. Saya tidak nampak ada orang yang menyokong satu kawasan pelancongan yang begitu masyhur selama ini tiba-tiba bertukar nama. Saya tidak nampak usaha ini dapat membantu mempromosi sektor pelancongan di Malaysia," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Selasa.
"Saya khuatir satu hari nanti, apabila ada orang mengatakan perkataan lumpur pada nama Kuala Lumpur tidak sedap didengar dan dengan itu nama Kuala Lumpur harus ditukar kepada Kuala Lestari atau Kuala apa-apa...Saya tak tahu," katanya.
Semalam, anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lin mendakwa penukaran nama Jalan Alor di Bukit Bintang kepada Jalan Kejora dibuat tanpa perbincangan dengan peniaga di situ terlebih dahulu, menyebabkan mereka membantah kerana ia boleh menjejaskan perniagaan mereka.
Beliau berkata DBKL tidak boleh menukar nama Jalan Alor sesuka hati kerana jalan itu sudah lama terkenal di kalangan para pelancong dan penduduk tempatan.
Bagaimanapun, nama Jalan Alor masih dipamerkan di bahagian bawah papan tanda nama jalan baru bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.
Ketika mengulas lanjut, Dr Wee berkata Datuk Bandar sepatutnya berunding sebelum mengambil tindakan untuk menukar mana-mana nama jalan terutama jalan yang menjadi tumpuan dan sudah dikenali pelancong.
Katanya tindakan menukar nama itu juga tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak sebaliknya dalam keadaan ekonomi negara sekarang, pihak berkenaan sepatutnya lebih berjimat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment