Saturday, June 28, 2008

Deal dengan Umno: Ezam minta jadi Menteri? (Part 1 & 2)

Tarikh: Rabu, Februari 18, 2006 @ 08:11:22 GMT
Topik: 1
Oleh Lokman Nor Adam

Bahagian Pertama

Sejak dibebaskan daripada tahanan ISA, Parti Keadilan Nasional sememangnya bukan lagi parti yang gah sepertimana sebelum kami dipenjarakan. Pelbagai cara telah kami gunakan untuk cuba mengembalikan kegemilangan parti Keadilan, namun ternyata usaha tersebut tidak mampu merubah keadaan.

Untuk menghimpunkan 1000 orang bagi menghadiri kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim pun payah. Ketika inilah saya, Hamdan Taha, Zahid Mat Arip telah dipanggil oleh Ezam. Saya masih ingat kata-kata Ezam ketika itu, "Man, Kau rasa BA ni boleh memerintah ke?"

Sayapun menjawab: "Tidak dalam masa 10-20 tahun lagi."

Kemudian Ezam mula menerangkan kepada kami bahawa "there is no way" untuk Datuk Seri Anwar bebas melalui Barisan Alternatif (BA). Jelas beliau: "Aku dan Lokman telah sama-sama merasa penderitaan di penjara, tapi nasib kami lebih baik kerana keadaan di Kamunting tidak seperti di Sungai Buloh. Tahun ini merupakan tahun keenam Datuk Seri Anwar akan berhari raya di penjara. Nampak gaya kita kena ubah strategi dan menggunakan pendekatan lain."

Ketika itu kami memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang beliau ingin sampaikan. Lalu beliau terus menambah: "Aku rasa takde orang lain yang boleh membebaskan Boss melainkan Dollah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)."

Menurut Ezam, di dalam Umno ada tiga kumpulan manusia. Kumpulan pertama ialah kumpulan yang membenci Anwar dan kumpulan ini mahu Anwar terus di penjarakan. Tetapi kumpulan ini semakin lemah kerana mereka ini terdiri daripada orang Dr Mahathir (Mohamad).

Kumpulan kedua pula ialah mereka yang membenci Anwar tetapi tidak sampai hati untuk melihat Anwar terus dipenjara. Namun kumpulan ini tidak berbuat apa-apa untuk membebaskan Anwar.

Kumpulan ketiga pula adalah kumpulan yang suka pada Anwar dan mahu melihat Anwar bebas seperti Zahid Hamidi, Affifudin Omar dan lain-lain. Namun menurut Ezam, mereka ini juga tidak buat apa-apa. Itu sebabnya jelas Ezam: "Kita perlu wujudkan kumpulan keempat, iaitu kumpulan yang suka pada Anwar, mahu melihat Anwar bebas dan boleh meyakinkan Pak Lah bahawa Anwar perlu dibebaskan demi survival politik Pak Lah.

......Bersambung ke Bahagian 2.....

bahagian ke-2

Oleh Lokman Nor Adam

Kelana Jaya

Ketika ini, saya mencelah: "Kau tak takut ke orang maki kita kalau masuk Umno?" Jawab Ezam: "Orang akan faham Man (Lokman) yang kita sanggup korbankan diri kita demi kebebasan Anwar. Kita deal-lah hari ini Boss bebas, dalam tempoh 24 jam kita akan isytihar masuk Umno."Menurut beliau lagi: "Kita tubuh parti ini untuk membebaskan Anwar, kalau parti ini mati sekalipun takpa asalkan Anwar bebas".

Idea Ezam ini telah kami persetujui dan ketika itu kami telah menyatakan ikrar kami untuk bersama beliau. Di peringkat awal Hamdan dan Zahid telah diarahkan untuk memulakan perbincangan dengan satu dua pemimpin Umno.

Saya juga telah diarah untuk membina semula hubungan dengan rakan lama saya yang dekat dengan Pak Lah dan juga merupakan junior Ezam semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Menjelang bulan Ramadhan lalu, perbincangan menjadi semakin serius kerana kami mengharapkan agar kali ini Anwar dapat kembali berhariraya bersama keluarganya.Inilah yang membawa kepada pertemuan Ezam dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Pertemuan ini telah berlangsung di kediaman rasmi Tan Sri Mohamad Taib, di Kelana Jaya. Ketika itu, Ezam telahpun berpindah ke Seksyen 7, Shah Alam. Ezam telah menceritakan kepada kami bertiga apa yang berlaku di antara beliau dan Mat Taib.

Mesyuarat empat sekawan ini pasti akan diadakan selepas setiap pertemuan penting. Lokasi biasa yang kami pilih ialah di Ravi’s Corner, Sunway. Menurut Ezam, Mat Taib berjanji akan membawa hasrat kami untuk menyertai Umno kepada Pak Lah. Namun, dari apa yang Ezam dapat lihat, isu pembebasan Anwar ini sukar untuk Mat Taib bangkitkan kepada Pak Lah.

Menurut Ezam, Mat Taib hanya mengulang tentang pentingnya kami kembali bersama Umno tanpa syarat demi menyatukan semula orang Melayu. Kegagalan dalam pertemuan yang pertama ini telah membawa kepada pertemuan kedua, iaitu dengan Datuk Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor.

Saya masih ingat bahawa pada hari pertemuan diadakan, Ezam menganjurkan majlis berbuka puasa di rumahnya. Saya sendiri telah menghantar Ezam di hadapan Sekolah Menengah Seksyen 7 dan kemudiannya beliau telah menaiki kereta Haji Azmir, naib ketua Umno Bahagian Shah Alam untuk ke rumah Khir Toyo.

Pertemuan beliau kali ini lebih lama, iaitu sejam setengah, berbanding dengan pertemuan dengan Mat Taib selama setengah jam sahaja.

Letak jawatan

Menurut Ezam, pertemuan dengan Khir jauh lebih baik dan Khir turut menyatakan komitmen beliau untuk membawa perkara ini ke pengetahuan Pak Lah.

Selepas Hari Raya Aidilfitri, Ezam telah memanggil kami bertiga dan menzahirkan keputusan mengejut beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Keadilan. Saya telah bertanya kepada beliau, kenapa terburu-buru nak letak jawatan dulu sedangkan syarat kita belum dipenuhi. Beliau menjawab: "Aku rasa kalau aku tak letak jawatan untuk tunjukkan kepada Pak Lah yang aku ikhlas untuk bersama dia, sampai bilapun dia takkan jumpa aku." Ketika itu saya telah menerangkan kepada beliau: "Zam, kalau kau tinggalkan Keadilan dan masuk Umno, BN akan dapat "double bonus." Tapi bila kau tinggalkan Keadilan, itupun dah memberikan bonus percuma kepada mereka. Tunggulah syarat kita diterima dahulu."

Hamdan dan Zahid juga tidak bersetuju dengan keputusan Ezam ketika itu. Namun kami semua tahu bahawa apabila Ezam sudah membuat keputusan, tidak guna untuk kami membazir masa cuba meyakinkan beliau. Hasrat Ezam untuk meletakkan jawatan dan bertemu Pak Lah dalam keadaan beliau bukan lagi ketua Pemuda Keadilan ini, telah Ezam sampaikan kepada Pak Lah melalui teman lama saya yang juga merupakan junior Ezam di UIA tadi.

Pertemuan ini berlaku di Coffee House, Hotel Sunway Resort sekitar Hari Raya keenam atau tujuh. Pada hari ini jugalah, Ezam menyerahkan suratnya untuk Pak Lah di mana beliau telah menyatakan hasratnya untuk menyokong kepimpinan Pak Lah demi perpaduan Melayu. Sejak Ezam mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan, beliau telah mula mengadakan beberapa pertemuan dengan teman-teman terdekat. Namun, tidak semua yang beliau beritahu tentang hasrat sebenarnya ingin meletakkan jawatan, adalah untuk menyertai Umno.

Rata-rata yang beliau temui, hanya dimaklumkan tentang hasratnya untuk meletak jawatan dan menumpukan perhatian kepada badan bukan kerajaan (NGO). Namun ada di antara Exco yang rapat, seperti Azwan Din, Dato Sanusi Osman dan satu-dua orang yang lain, telah dimaklumkan tentang usaha membebaskan Anwar melalui Umno. Pada ketika ini juga, satu surat telah dihantar kepada Datuk Seri Anwar melalui Datin Seri Wan Azizah Ismail, bagi menjelaskan hasrat Ezam untuk meninggalkan Keadilan dan menumpukan perhatian kepada NGO.

Saya masih ingat bagaimana Ezam menceritakan keadaan Datin Seri Wan Azizah yang menangis teresak-esak apabila Ezam menyatakan hasratnya itu.Namun keadaan mula berubah apabila Ezam menerima maklum balas daripada Datuk Seri Anwar. Jawapan yang Ezam terima daripada Datuk Seri Anwar berhubung hasratnya untuk meninggalkan Keadilan sememangnya cukup keras, "if Ezam wants to leave the party, that means he wants to kill the party and betray me, and I will fight him" (terjemahan: Kalau Ezam mahu meninggalkan parti, itu bermakna dia mahu membunuh parti ini dan mengkhianati saya, dan saya akan menentangnya).

.....bersambung ke bahagian ke-3.....

petikan blog kisah ezam

sambungan bhgn 3 & 4

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...