26 Julai, 2008 19:20 PM
Oleh Alan Ting
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pemilihan peringkat bahagian MCA hari Ahad akan menjadi misi 'hidup atau mati' bagi Naib Presiden parti Datuk Seri Fong Chan Onn dan bekas naib presiden Datuk Chua Jui Meng, semasa kedua-dua mereka dilihat cuba 'kembali' ke arus perdana politik menerusi parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu.
Kedua-dua pemimpin kanan MCA itu perlu menang dalam pemilihan di peringkat bahagian masing-masing bagi membolehkan mereka melangkah ke pertandingan peringkat nasional pada pemilihan MCA 18 Okt ini.
Chua berhadapan dengan setiausaha bahagian MCA Bakri Tay Khim Seng dan timbalan pengerusi cawangan MCA Jln Bandar (Bakri) Tan Geok San dalam pertandingan tiga penjuru, bagi jawatan tertinggi bahagian itu.
Ia merupakan bahagian MCA yang terbesar di Johor dengan 15,000 anggota.
Bekas Menteri Kesihatan itu sebelum ini dilaporkan menganggap dua lawannya itu sebagai pengkhianat, dengan mendakwa kedua-dua mereka pernah menyokongnya, dan hanya menghantar borang pencalonan masing-masing kira-kira 15 minit sebelum tempoh pencalonan ditutup pada pukul 8 malam Selasa lepas.
Menurut sumber kedua-dua mereka mungkin bertindak sebagai proksi bagi pemimpin tertentu yang ingin melihat Chua kalah di peringkat bahagian, kerana ini akan memastikan bekas menteri itu tidak dapat mara untuk merebut kedudukan dalam parti di peringkat kebangsaan.
Sekiranya Chua, 65, kalah dalam pemilihan esok, beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sebarang harapan untuk kembali aktif dalam arena politik, memandangkan perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana anggota yang ingin bertanding di peringkat nasional perlu terdiri daripada perwakilan peringkat bahagian atau memegang jawatan di peringkat bahagian.
Bagaimanapun senario itu tidak sama bagi Fong, bekas Menteri Sumber Manusia dan penyandang pengerusi bahagian Alor Gajah, yang akan dicabar oleh Naib Pengerusi bahagian Ngow Duo Soon.
Sumber-sumber dalaman parti melihat cubaan Fong, yang menjadi perwakilan pusat disebabkan statusnya sebagai Anggota Parlimen Alor Gajah, mempertahankan kedudukan itu sebagai usaha beliau mengukuhkan gengamannya terhadap perwakilan bahagian itu yang akan ke pemilihan MCA nanti.
Seorang lagi bekas Naib Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan parti ekoran tercetus skandal seks, memenangi jawatan ketua bahagian MCA Batu Pahat tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada hari Selasa lepas.
Daripada 191 bahagian MCA di seluruh negara, 71 bahagian menyaksikan pertandingan bagi pelbagai jawatan, esok. Antara spekulasi yang timbul dalam parti ketika ini adalah kemungkinan ketiga-tiga mereka akan bertanding bagi jawatan naib Presiden sekiranya menang dalam pemilihan peringkat bahagian esok.
Lain-lain pemimpin MCA seperti setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Naib Presiden Datuk Donald Lim mengekalkan jawatan ketua bahagian masing-masing di Tapah dan Petaling Jaya Selatan.
Satu lagi pertandingan yang dijangka menarik membabitkan bahagian Seremban di mana bekas Anggota Dewan Rakyat Temiang Datuk Lee Yuen Fong yang akan berentap dengan setiausaha MCA Negeri Sembilan Datuk Peter Lai Yit, dan seorang lagi calon, Ng Chee Kong.
Pertandingan itu dianggap sebagai pertembungan gergasi di Negeri Sembilan.
Satu lagi pertarungan hebat dijangka berlangsung di Rembau di mana bekas exco negeri Datuk Goh Siow Huat akan menghadapi penyandang pengerusi Rembau, Senator Lee Chee Keong.
Pada pemilihan peringkat bahagian 2005, Chee Keong yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Mambau, menewaskan Goh dengan dua undi untuk menyandang jawatan ketua bahagian.
Keputusan pemilihan bahagian esok dijangka akan membentuk lanskap pertandingan kepimpinan MCA peringkat kebangsaan Oktober ini. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment