Saturday, August 9, 2008

Pemanah Malaysia Berjaya Ke Suku Akhir Olimpik - BERNAMA

09 Ogos, 2008 20:07 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 9 Ogos (Bernama) -- Trio pemanah Malaysia, Wan Khalmizam Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhd Marbawi Sulaiman berjaya mara ke peringkat suku akhir bagi merebut emas acara berpasukan pada Isnin selepas memecahkan rekod kebangsaan dan menduduki tempat ketiga acara menentukan kedudukan hari ini.

Pasukan negara, yang berada di tempat keempat kedudukan dunia, memperoleh sejumlah 1,993 mata, hanya empat mata kurang daripada Ukraine yang berada di tempat kedua manakala juara bertahan Korea Selatan menguasai dengan mata 2,015.

Malaysia dan Ukraine berada di senarai bawah undian kalah mati dan dijangka bertembung antara satu sama lain jika kedua-duanya melepasi lapan saingan terakhir.

Bagi membolehkan pemanah Malaysia yang pertama kali beraksi pada Sukan Olimpik menempah tiket ke separuh akhir, mereka mesti mengalahkan sama ada Itali atau Kanada, yang akan bertembung satu sama lain dalam pusingan pertama.

Itali menduduki tempat keenam dalam kedudukan hari ini dengan pungutan mata 1,986 sementara Kanada berada di tempat ke-11 dengan 1,954 mata.

"Kami telah mensasarkan tempat ketiga hingga keenam bagi mengelakkan berada dalam senarai kedudukan yang sama dengan Korea dan pemanah kita melakukannya dengan baik apabila memecahkan rekod kebangsaan," kata jurulatih negara Lee Jae Hyung, seorang rakyat Korea, yang jelas berpuashati dengan pencapaian anak didiknya.

Dalam pusingan menentukan kedudukan, Wan Khalmizam melakukan pencapaian yang terbaik apabila menduduki tempat kelima individu terbaik dengan pungutan mata 674, yang tanpa disedarinya telah turut memecahkan rekod individu kebangsaan 672 mata.

"Saya pun tak pernah buat macam ini, biasanya bawah 670," kata pemanah kelahiran Kelantan yang akan genap berusia 22 tahun pada 21 Ogos ini.

Chu Sian dan Muhd Marbawi menamatkan saingan dengan masing-masing memperoleh 660 dan 659 bagi kedudukan ke-26 dan ke-27.

Sementara dalam persaingan menentukan kedudukan ditentukan atas 72 panahan, pertandingan berpasukan yang kesemuanya diadakan pada Isnin akan menyaksikan setiap pasukan memanah dengan 24 anak panah.

Pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan bertembung merebut pingat gangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...