Friday, August 15, 2008

Shafee Hempas Dokumen Saman Ke Arah Raja Petra - BERNAMA

15 Ogos, 2008 16:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Suasana di Mahkamah Majistret menjadi tegang hari ini apabila peguam terkenal Datuk Muhammad Shafee Abdullah bertindak menghempas dokumen yang mengandungi perintah mahkamah dan writ saman ke lantai apabila penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin enggan menerimanya.

Muhammad Shafee yang sebelum itu menemui Raja Petra "secara baik" menghulurkan dokumen itu sebagai tanda penyerahan tetapi Raja Petra yang turut ditemani dua peguamnya J. Chandra dan Amarjeet Singh enggan mengambilnya serta bertindak seolah-olah Muhamad Shafee tidak berada di situ.

Sikap Raja Petra membuatkan Muhammad Shafee berang dan bertindak menghempas dokumen itu berhampiran kaki Raja Petra tetapi masih tiada sebarang reaksi daripada Raja Petra yang begitu asyik melihat telefon bimbitnya, malah peguamnya juga langsung tidak mengambilnya.

Dokumen itu adalah writ saman yang difailkan Muhammad Shafee terhadap Raja Petra, 58, kerana menyiarkan tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnahnya.

Tiga artikel yang disiarkan pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire; Money, Power and Sex: What Motivates Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation.

Dalam saman itu, beliau memohon perintah injunksi bagi menghalang Raja Petra menyiarkan artikel berkenaan dan komen-komen yang dihantar oleh pelawat selain perintah menarik balik kesemuanya.

Selain itu, ia (dokumen yang dilempar) juga mengandungi perintah dari Mahkamah Tinggi di sini supaya Raja Petra menarik balik tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnah Muhammad Shafee.

Hakim Datuk Tee Ah Sing mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan perintah injunksi yang difailkan oleh Muhammad Shafee secara ex parte (sebelah pihak) dengan kos di kamar beliau, Selasa lepas.

"Drama" antara dua pihak itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi sebelum prosiding terhadap Raja Petra yang didakwa memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua pihak lagi bermula di hadapan Majistret Nazran Mohd Sham.

Sehingga prosiding tamat kira-kira setengah jam kemudian, dokumen yang berada di lantai itu didapati "hilang" tanpa disedari tetapi mengikut isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah yang duduk berhampiran dengan tempat insiden tegang itu berkata, ia mungkin telah diambil oleh salah seorang kakitangan Muhammad Shafee.

Sebelum itu, Muhammad Shafee telahpun bertindak mengambil gambar dokumen berkenaan dan reaksi keengganan Raja Petra sempat dirakam oleh kakitangannya.

Muhammad Shafee yang berada di mahkamah seawal pukul 9 pagi, sebelum itu memberitahu pemberita bahawa beliau ingin berhadapan dengan Raja Petra sendiri kerana penulis blog itu tidak menjawab panggilannya sejak beberapa hari lepas.

"Saya bersedia berhadapan dengannya di mahkamah mengikut undang-undang dan ingin menyerahkan dokumen ini padanya. Saya ingin buktikan dia seorang penipu. Bukan sahaja dia memfitnah saya dalam kes ini tetapi juga kes-kes lain," katanya.

Sementara itu, Raja Petra yang ditemui selepas prosiding berkata dia tidak tahu mengenai panggilan telefon Muhammad Shafee kerana beratus orang menghubunginya setiap hari dan berkenaan dokumen saman itu, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk membuat sebarang tindak balas.

Peguam Amarjeet Singh menyatakan Muhammad Shafee sepatutnya menyerahkan dokumen itu di luar mahkamah dan bukannya di dalam mahkamah, malah tindakannya itu boleh dianggap menghina mahkamah.

Perbicaraan kes Raja Petra yang didakwa memfitnah Rosmah dan dua pihak lagi berjalan lancar hari ini tanpa sebarang gangguan dan Majistret Nazran telah membenarkan ia dipindahkan ke Mahkamah Sesyen atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin.

Amir berkata ia perlu dipindahkan berikutan kes itu melibatkan personaliti yang diketahui umum.

Selain Rosmah, Raja Petra turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan.

Ketiga-tiga tuduhan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini pada jam 10.25 pagi 18 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ketika di Mahkamah Sesyen, Raja Petra masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Sekeri Mamat.

Raja Petra yang berada di kandang tertuduh sebelum itu berulang kali menyebut "Saya enggan menjawab rayuan itu berdasarkan kedua-duanya adalah tidak sempurna dan mala fide".

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Amir berkata tindakan Raja Petra itu boleh dianggap sebagai mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 173 (c) Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mohamed Sekeri seolah-olah telah tahu 'perangai' Raja Petra dan dia meminta peguam yang mewakilinya supaya menasihati beliau bagi mengelak prosiding berlanjutan.

Sakeri menetapkan dua hari bermula 24 Nov ini untuk perbicaraan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...