Fathi Aris Omar | Jan 14, 09 12:34pm
Serangan PAS terhadap calon BN yang didakwa meminggirkan bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Razali Ismail di peringkat Umno bahagian Kuala Terengganu nampaknya membuahkan hasil.
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebagai ketua bahagian itu selama dua penggal, dituduh tidak memberikan ruang kepada allahyarham, waktu itu ahli parlimen Kuala Terengganu, untuk mendapat sebarang kedudukan dalam Umno.
Anggota-anggota keluarga Razali dikatakan tidak senang dengan perkembangan itu dan suara-suara mereka berkumandang dalam kalangan Umno, termasuk para penyokong BN yang akan membuang undi, Sabtu ini.
PAS mendakwa Razali seorang ahli politik Umno yang baik, bersih dan profesional dalam tugasnya tetapi tidak dihargai oleh parti itu.
Susulan serangan tersebut, BN mengambil langkah drastik mendekati keluarga Razali dan cuba menampilkan imej bahawa ia tidak mengabaikan sumbangan tokoh besar pendidikan itu yang mula dibawa ke Dewan Rakyat sejak pilihanraya umum 2004.
Malam tadi timbalan perdana menteri dan juga ketua jentera BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu menghadiri majlis tahlil arwah di rumah keluarga Razali di Lorong Kenanga dalam DUN Batu Burok.
Datuk Seri Mohd Najib Razak diiringi oleh Menteri Pelajaran dan juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Calonnya sendiri Wan Ahmad Farid bagaimanapun tidak hadir di majlis tersebut.
Selain itu, Hishammuddin juga mengumumkan nama Razali akan diabadikan di sebuah maktab perguruan di utara bandar raya Kuala Terengganu dan sekolah menengah di kawasan parlimen ini.
Institut Perguruan Kuala Terengganu di Batu Rakit akan dikenali Institut Perguruan Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Kg Gong Tok Nasek ditukar kepada SMK Dato' Razali Ismail berkuatkuasa Jumaat ini, 24 jam sebelum hari pengundian 17 Januari ini.
Majlis perasmiannya dilaporkan akan disempurnakan oleh Najib.
Hishammuddin menafikan pengabadian nama tokoh pendidikan Terengganu ini bertujuan memancing undi kaum pendidik.
Mereka didakwa lebih senang menyokong BN jika pegawai kanan Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berdiri sebagai calon parti itu.
Kira-kira 5,000 guru bertugas di daerah ini tetapi difahamkan hanya lebih 3,000 orang akan menentukan nasib Wan Ahmad Farid dan pencabar dekatnya, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, Sabtu ini.
Pilihanraya kecil parlimen ini turut disertai calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Selain itu, Najib kini sedang bergerak dari rumah ke rumah orang-orang PAS dalam usaha memastikan calon BN menambah jumlah undinya.
PAS juga menyifatkan BN terdesak apabila sanggup mengeluarkan risalah palsu Buletin Kuala yang terbitkan untuk mempromosikan Abdul Wahid dan mendedahkan isu-isu parti Islam.
Risalah palsu itu - meniru akhbar empat halaman bersaiz A3 yang diterbitkan oleh penerangan PAS - memuatkan berita-berita negatif seperti memaparkan foto Abdul Wahid tertidur di muka depan, penghakiman kes liwat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh membantah hudud.
Dalam sidang media hariannya, timbalan pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Mutalib Embong turut mendakwa pegawai pengurus pilihanraya kecil dan juga datuk bandar Kuala Terengganu menyeru 500 kakitangan majlis bandaraya mengundi BN dalam satu pertemuan pagi ini.
PAS, tambahnya , akan membuat laporan polis terhadap Datuk Mat Razali Kassim berhubung tindakannya itu dan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggugurkannya.
Pesuruhjaya PAS Datuk Mustafa Ali pula mendakwa setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan negeri telah bertemu beberapa kumpulan kakitangan Terengganu berperingkat-peringkat setiap hari bagi memastikan mereka mengundi Wan Ahmad Farid.
Sementara MCA pula menaburkan risalah (foto kiri) dan menerbitkan iklan di akhbar-akhbar utama Cina edisi pantai Timur dengan dakwaan Abdul Wahid - sewaktu menjadi exco negeri dalam kerajaan PAS antara 1999 hingga 2004 - memainkan peranan utama merobohkan sebuah kuil dekat Kampung Cina.
Bagaimanapun barisan pembangkang yakin PAS kini masih dahului BN. Sumber-sumber PKR meramalkan rakan kongsinya itu boleh mengatasi calon Umno dengan kelebihan 20 peratus.
Sementara akhbar web PAS Harakahdaily hari ini menjangkakan calonnya akan meraih majoriti sehingga 2,000 undi.
No comments:
Post a Comment