Abdul Rahim Sabri | Jan 13, 09 12:49pm
Urusetia pilihanraya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membatalkan kemenangan tanpa bertanding seorang calon pro-Mahasiswa bagi kerusi Fakulti Kejuruteraan selepas penamaan calon Khamis lalu.
Kemenangan calon tersebut - Norliana Yusak - dibatalkan kerana melanggar syarat layak bertanding dalam pilihanraya kampus.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kumpulan pro-Mahasiswa di UKM telah menang tanpa bertanding di empat kerusi - tiga kerusi kerana tiada calon pro-Aspirasi dan satu lagi kerana kertas pencalonan calon pro-Aspirasi ditolak.
Tiga lagi kerusi yang dimenangi oleh kumpulan pro-Mahasiswa adalah satu di Fakulti Kejuruteraan dan dua lagi di Fakulti Pengajian Islam.
Sebanyak 11 kerusi umum dan 23 kerusi fakulti dipertandingkan dalam pilihanraya kampus UKM Khamis ini.
Bagaimanapun, sumber-sumber universiti memberitahu Malaysiakini bahawa kemenangan pro-Mahasiswa bagi kerusi Fakulti Kejuruteraan itu dibatalkan kerana calonnya tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk bertanding dalam pilihanraya kampus.
Menurut sumber-sumber itu, setiap calon yang ingin bertanding disyaratkan supaya mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurang dua semester.
Bagaimanapun, katanya, calon pro-Mahasiswa bagi Fakulti Kejuruteraan itu didapati adalah pelajar tahun empat yang dijadual tamat pengajian April depan.
Berikutan itu, kata sumber-sumber tersebut, kemenangan tanpa bertanding itu dibatalkan dan kerusi tersebut dikosongkan.
Ditanya mengenai kedudukan kerusi tersebut, sumber-sumber berkata, ia terserah kepada budibicara naib canselor sama ada untuk membuat pilihan semula atau membuat lantikan terus.
No comments:
Post a Comment