Jimadie Shah Othman | May 18, 09
Seperti dimaklumkan lebih awal, Barisan Nasional tidak bersedia mencabar calon PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini, kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Perdana menteri juga menggariskan tiga sebab BN menolak untuk bertanding di kerusi tersebut.
Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.
Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.
Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.
Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.
"Tak ada (takut). Macam mana pun kita mesti hadapi rakyat dalam pilihanraya umum akan datang," jelasnya apabila diajukan soalan sama ada BN takut menghadapi pembangkang.
Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang.
Keputusan BN itu tidaklah mengejutkan kerana sebelum ini, Najib pernah mengatakan BN mungkin tidak bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut kerana tidak mahu 'membazirkan wang rakyat'.
PKR pula telah menamakan timbalan pengerusi perhubungannya di Pulau Pinang, Mansor Othman untuk mengisi kembali kerusi tersebut yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin.
Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang melepaskan kerusi tersebut 16 April lalu di tengah-tengah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah selepas suruhanjaya itu mendapati tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.
Ditanya mesej yang ingin disampaikan BN kepada masyarakat, Najib berkata mereka "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang."
Najib menambah, pelbagai reaksi terhadap tindakan BN itu terpulanglah kepada tanggapan masing-masing.
"Itu terpulanglah. Tetapi hakikatnya, kita tidak mahu terjerumus dengan permainan politik parti pembangkang.
"Sebab nanti lepas dua, tiga bulan, mereka akan minta kawasan lain dikosongkan (pula)," katanya.
Sementara itu, mengulas kemelut politik di Perak, perdana menteri berkata, sebarang perundingan dengan Pakatan Rakyat mestilah dibuat selepas mahkamah membuat keputusannya.
"Belum lagi (berjumpa). Kalau kita hendak berunding dengan pembangkang pun, kita mesti tentukan kedudukann (krisis perlembagaan) di sisi undang-undang.
“(Ia) mesti disahkan oleh mahkamah terlebih dahulu. Baru kita boleh berunding dengan pembangkang," katanya.
Ditanya mengenai tindakan Hindraf memberi kata dua kepadanya agar mengarahkan P Uthayakumar kembali ke kem tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Najib berkata:
"Kita mesti hormasi proses undang. Tidak ada sesiapa pun boleh kata dua. Kita telah buktikan bahawa kerajaan ini kerajaan yang bertimbang rasa, bukannya zalim dan menekan mana-mana pihak."
Pengerusi NGO tersebut P Waythamoorthy hari ini menggesa kerajaan menarik balik arahan kepada abangnya untuk bertemu dengan lembaga penasihat ISA atau berdepan bantahan jalanan di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment