Wednesday, May 20, 2009

Hukuman Mandatori Samseng Jalanan Mampu Beri Kesan Drastik

20 Mei, 2009 18:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kerajaan meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap samseng jalanan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Rata-rata mereka berpendapat hukuman yang lebih berat itu mampu memberi kesan drastik dalam membanteras kegiatan lumba haram yang kini semakin membimbangkan.

Ketika ini hukuman mengikut Seksyen itu memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya lima bulan, tidak mampu menginsafkan pesalah yang didapati terus mengulangi kesalahan sama.

Ketua Program Psikologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata cadangan meminda atau mewujudkan satu akta baru khas untuk menangani samseng jalanan sangat perlu, tetapi ia harus diperhalusi.

"Isu mat rempit atau samseng jalanan perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi mengenalpasti golongan yang melakukan kesalahan itu. Kalau betul bersalah, hukuman mandatori ini perlu dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.

Akhbar tempatan melaporkan kenyataan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof yang meminta kerajaan meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ke atas mat rempit atau samseng jalanan dengan hukuman penjara mandatori.

Rozmi berkata definisi samseng jalanan itu sendiri perlu diperjelaskan agar tidak mengelirukan, manakala ibu bapa pula perlu melihat hukuman itu dari sudut positif dan tidak menganggap ia keterlaluan.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berkata cadangan hukuman mandatori patut disegerakan dan semua pihak perlu mengambil pendekatan menjadikan isu samseng jalanan sebagai hak milik bersama.

Beliau berkata bagi menangani masalah itu dengan lebih menyeluruh, Jabatan Pendidikan dan sekolah perlu memainkan peranan yang lebih drastik termasuk membuang pelajar yang didapati terlibat.

"Semua pihak perlu berminat dan ikhlas menyelesaikan isu ini. Jika sekolah mendapati pelajarnya terlibat, tindakan buang sekolah perlu dilakukan dan ibu bapa perlu menerima keputusan ini dengan hati terbuka sebab mereka juga harus bertanggungjawab," katanya.

Kamal berkata hukuman yang ingin dipinda itu juga perlu dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang diguna samseng jalanan bagi memastikan hukuman yang dilaksanakan lebih berkesan.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia Hamzah Masri turut bersetuju dengan cadangan hukuman itu dan percaya ia mampu memberi kesedaran kepada mereka yang sering menggunakan jalan raya sebagai tempat menunjukkan belang samseng jalanan.

"Denda yang ringan tidak memberi kesan kepada samseng jalanan dan pihak kesatuan penyokong cadangan PDRM supaya pesalah jalan raya terutama di kalangan remaja dan di bawah umur dihukum dengan menghantar mereka ke sekolah juvana dan dikenakan hukuman rotan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama Rudy Yong pula berkata hukuman itu perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum dilaksana bagi memastikan ia hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar bersalah dan tidak disalahguna.

Beliau berkata perkara yang lebih penting bagi menangani isu itu ialah aspek pendidikan yang perlu lebih agresif, seperti Latihan Khidmat Negara yang dilihat sebagai landasan terbaik mendidik golongan muda menjauhi aktiviti yang tidak sihat itu.

"Selain kerajaan, pihak lain seperti ibu bapa dan sekolah juga harus memainkan peranan masing-masing bagi membantu kerajaan menyelesaikan isu samseng jalanan ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...