Thursday, May 21, 2009

Ibu, anak, pembantu rumah dibunuh kejam


Suami mangsa, Jafri Tajol Aripin (kanan) memeluk anaknya di Taman Pinji Seni, Ipoh, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS


IPOH 20 Mei - Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang sanggup menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, di sini hari ini.

Penjenayah kejam itu bagaimanapun tidak sempat melarikan sebuah komputer riba yang diambilnya dari rumah mangsa kerana berjaya ditangkap oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian dan menyedari rompakan tersebut.

Mayat mangsa, Mah Yah Matzi, 42, ditemui berlumuran darah di ruang tamu manakala mayat anaknya, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai Dani, 20-an, ditemui dalam bilik mandi pada pukul 2.45 petang oleh suami Mah Yah, Jafri Tajol Aripin, 47.

Difahamkan, Mah Yah telah diekori oleh perompak terbabit selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Gunung Rapat dekat sini sehingga ke rumahnya.

Sebelum dibunuh, mangsa dikatakan sedang berbual melalui telefon dengan Jafri yang bekerja sebagai pegawai kutipan di sebuah bank di Medan Gopeng yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Suami mangsa kemudian bergegas pulang ke rumah apabila tiba-tiba mendengar isterinya menjerit ketakutan kerana terserempak dengan perompak tersebut.

Pada masa sama, dua rakan Jafri yang kebetulan melalui kawasan rumahnya dan menyedari kejadian itu segera menangkap suspek lalu mengikatnya dengan getah paip sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 2.45 petang pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan di rumah tersebut.

''Polis mulanya ingatkan berlaku kejadian pergaduhan di tempat kejadian tetapi apabila sampai, mendapati ia adalah kes rompakan dan pembunuhan.

''Siasatan menemui satu mayat di ruang tamu dan dua mayat di bilik air dalam rumah berkenaan,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan dalam pergelutan ketika ditangkap.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu merupakan penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek telah mengambil sebuah komputer riba tetapi tidak sempat melarikannya.

''Kita menemui sebuah beg hitam mengandungi komputer riba dari mangsa dan sebilah pisau serta motosikal milik suspek,'' katanya sambil memberitahu lelaki itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...