Jimadie Shah Othman | Jun 11, 09
Tengku Temenggong Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot yang mendakwa putera Sultan Kelantan itu menderanya.
Tengku Muhammad Fakhry Petra hadir bersama peguamnya Mohd Haaziq Pillay petang ini di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Dalam sidang media sejurus selepas jam 8 malam ini, peguam itu berkata Tengku Temenggong menafikan segala dakwaan yang dilemparkan oleh isterinya dan ibu mertuannya Daisy Fajarina.
Sekumpulan 40 wartawan menunggu sidang akhbar tersebut sejak jam 3 petang di sebuah hotel dekat Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Peguam tersebut enggan menyatakan secara khusus dakwaan-dakwaan tertentu yang dinafikan anak guamnya.
"Kamu sendiri tahu," katanya, sambil menambah Tengku Muhammad Fakhry merancangkan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Manohara, Daisy dan "sesiapa yang terlibat menyebarkan fitnah."
Tindakan undang-undang itu akan diputuskan kemudian, kata Mohd Haaziq dalam sidang media yang turut disertai kenalan dekat kerabat tersebut, Mohd Soberi Shafii.
Selasa minggu lalu, dua hari selepas Manohara melarikan diri ke Jakarta, Tengku Temenggong Kelantan memberikan tempoh tujuh hari kepada isterinya bagi mengemukakan bukti penderaan seperti didakwanya atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.
Manohara dan Daisy juga dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kesemua dakwaannya yang dibuatnya sejak hujung April lalu.
Bagaimanapun, setelah tempoh seminggu itu tamat semalam, amaran putera ketiga Sultan Kelantan itu tidak dilayan – malah, foto-foto yang didakwa menunjukkan kesan penderaan terhadap Manohara mula didedahkan kepada media (foto: Detik.com).
Bekas model muda itu, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, juga membuat aduan polis terhadap Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan dan kenalan suaminya Mohd Soberi Shafii, selain Tengku Muhammad Fakhry sendiri.
No comments:
Post a Comment