Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat diumumkan sebagai calon BN dalam piliharanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Aziz mendapat restu dan sokongan padu pimpinan parti, termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik ahli akar umbi.
Tuan Aziz, 39, juga merupakan pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.
Muhyiddin membuat pengumuman tersebut , dibuat oleh Muhyiddin dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di Kuala Krai.
"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak.
"Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.
'Rekod kerja baik'
Pilihanraya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.
Hari penamaan calon pilihanraya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihanraya dapat menebus kekalahan BN di kerusi tersebut pada
pilihanraya Umum 8 Mac tahun lalu.
"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.
"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
'Membela nasib rakyat'
Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.
"Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.
Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.
"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.
"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.
Jumaat lalu, PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga bendahari PAS kawasan Kuala Krai.
No comments:
Post a Comment