Wednesday, July 1, 2009

Siswa UM bertindak jika dipecat - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri
Jul 1, 09


Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.

Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Kes tujuh pelajar itu - yang dikenali "ISA 7" kerana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri - berlarutan hingga 18 Jun lalu apabila lima daripada mereka bersalah dan didenda RM3,900 tiap seorang.

Seorang daripada mereka - yang menyertai perhimpuan di Masjid Negara pada 8 Jun 2001 - dilepaskan, sementara seorang lagi tidak menghadiri perbicaraan.

Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.

"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.

Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .

Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.

Menurut tulisannya itu, Shazni Munir juga menyatakan kerisauan berhubung perjalanan perbicaraan terhadap dua rakannya itu.

"Masakan tidak, siapakah yang dapat memberikan jaminan kepada penulis yang mereka berdua akan dibicarakan dengan seadil-adilnya?" katanya.

"Bukanlah ingin menimbulkan kesangsian secara membuta-tuli, akan tetapi perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang melibatkan orang penting negara, pastinya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan sekelian banyak pencinta kebenaran".

Dalam tulisannya semalam, Shazni pula berkata, PMIUM memutuskan untuk memberikan bantuan guaman kepada kedua-duanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...