KUALA LUMPUR 26 Jan. — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Pakatan Rakyat.
Beliau menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.
“Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah),” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota daripada BN Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.
Terdahulu Najib dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Najib menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai satu perkara yang tidak diduga dan berharap Nasaruddin akan dapat berfikir semasak-masaknya berhubung tindakannya menyertai PKR.
Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan sebab-sebab itu.
“(Tindakan Nasaruddin sertai PKR) satu perkara yang kita (BN) tak duga. Tapi saya berharap Adun Bota ini dapat berfikir semasak-masaknya langkah yang dia telah buat,” katanya.
Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nasaruddin berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.
Sementara itu, ketibaan Najib dan isteri di perkarangan Wisma MCA disambut oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan pemimpin kanan parti, yang diserikan dengan persembahan tarian singa.
Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di Dewan San Choon itu juga dimeriahkan dengan persembahan muzik dan pertunjukan akrobatik dari China.
Turut hadir pemimpin-pemimpin parti komponen BN, para diplomat asing serta pelancong asing.
No comments:
Post a Comment