Baginda turut berbual dengan kenalan lama, malahan Tengku Anis pula sempat berseloroh dengan bertanya sama ada baginda ingin menyanyi.
Sambil tersenyum baginda bertitah: "Dok... tok se nyanyi (Tidak... tidak mahu menyanyi). Payoh (susah)."
Biarpun suara baginda serak dan agak sukar untuk melafazkan kata-kata namun senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuktikan keadaan kesihatan baginda yang semakin pulih.
Turut hadir pada majlis itu adalah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `setiausaha sulit' baginda.
Sultan Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu, kembali ke tanah air pada 4 Mac lalu setelah mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Semalam, baginda dibawa bersiar-siar di sekitar bandar ini dengan menaiki kereta Bentley yang dipandu oleh anakanda baginda, Tengku Temenggung Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Sementara itu, Rosli Ngah, iaitu pakar fisioterapi dan jurupulih di Hospital Raja Perempuan Zainab II, berkata keadaan baginda kini semakin pulih.
Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata pihaknya menjalankan rawatan muzik terapi untuk membolehkan baginda bertitah semula.
"Tuanku dapat hafal satu lagu... burung kakak tua. Alhamdulillah percakapan tuanku kini semakin pulih," katanya.
Beliau berkata Sultan Ismail Petra turut menjalani terapi cara kerja dan fisioterapi tiga kali sehari.
Selain rawatan, kakitangan Istana dan Raja Perempuan sentiasa mengerjakan solat hajat serta bacaan Yasin setiap hari sejak baginda dirawat di Singapura lagi.
Beliau berkata rawatan terkini ialah membawa baginda bersiar-siar keluar dari istana sebagai 'environmental stimulation'.
Katanya keadaan mata baginda juga masih elok setelah diperiksa semalam dan cuma memerlukan cermin mata baru akibat rabun dekat.
Majlis diakhiri dengan nyanyian selamat hari jadi dan upacara memotong kek yang dilakukan oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra dengan disaksikan oleh Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment