Saturday, April 3, 2010

Dua Beranak Meninggal Dunia Akibat H1N1 Di Melaka, Kata Liow

KUALA KUBU BHARU, 3 April (Bernama) -- Seorang ibu dan anaknya yang sarat mengandung adalah dua mangsa terbaru yang meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1) di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kedua-dua wanita yang disahkan positif H1N1 itu meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan semalam di Hospital Melaka.

Bagaimanapun, Liow memberitahu pemberita bahawa keadaan jangkitan H1N1 di negara ini pada keseluruhannya semakin baik.

"Saya nak yakinkan orang ramai keadaan semakin pulih. Kementerian Kesihatan lebih tahu situasi dan faham keadaan lebih baik. Sekiranya ada gelombang kedua pihak kementerian akan umum," katanya di sini.

Mengulas mengenai kedua-dua kes tersebut, Liow berkata dalam kes pertama wanita berusia 54 tahun itu meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital pada Selasa lepas dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI).

Wanita itu telah diberikan rawatan Tamiflu bagaimanapun masalah kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan komplikasi 'severe metabolic acidosis' akibat kegagalan buah pinggang, jangkitan kuman lain dan kencing manis, katanya.

Liow berkata anak wanita itu pula yang berusia 29 tahun dan sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

"Pada masa yang sama, wanita itu turut menunjukkan gejala ILI dan disahkan positif H1N1. Rawatan Tamiflu dimulakan bagi menyelamatkan bayi dan pembedahan dilakukan pada hari yang sama.

"Selepas pembedahan, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi mengalami komplikasi dan meninggal dunia semalam akibat 'Adult Respiratory Distress Syndrome'," katanya.

Beliau berkata ujian terhadap bayi wanita itu bagaimanapun negatif untuk H1N1 dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mengulas mengenai jangkitan itu pada keseluruhannya, Liow berkata sehingga pukul 6 petang semalam seramai 26 orang telah disahkan positif H1N1, dan sebanyak 375 kes ILI sedang dirawat di hospital di seluruh negara.

Liow berkata orang ramai yang berisiko seperti wanita hamil, penghidap penyakit kronik boleh mendapatkan suntikan vaksin H1N1 di 104 fasiliti kesihatan.

Orang ramai boleh layari laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...