KUALA LUMPUR – Satu lagi kejutan besar berlaku pada hari keempat Kejohanan Terbuka Malaysia semalam setelah pemain bintang dari China, Lin Dan menarik diri daripada suku akhir akibat kecederaan lama abdomen kiri pemain itu.
Penarikan diri pemain itu disahkan oleh ketua pengadil perlawanan, Jane Wheatley dari Australia sekali gus menjadi berita yang paling mengecewakan buat peminat badminton yang sebelum ini meramalkan pemain itu bakal berhadapan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di peringkat separuh akhir hari ini.
Ini adalah kali ketiga Lin Dan menarik diri daripada menyertai kejohanan sebegini iaitu pada Terbuka China, Terbuka Hong Kong pada tahun lepas dan terbaru di Terbuka Malaysia semalam.
Malah, pemain nombor satu Indonesia, Taufik Hidayat mahu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemain China itu berhubung tindakan mengejut yang diambil oleh Lin Dan semalam.
‘‘Ini adalah kali ketiga dia(Lin Dan) melakukan sedemikian apabila bertemu rakan senegaranya seperti pada perlawanan tadi(semalam)
‘‘Tindakan itu amat tidak bagus kepada kejohanan sebegini kerana ramai yang menantikan kemunculan pemain itu terutama peminat,” kata Taufik kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Bukit Jalil semalam.
Sementara itu, Jane berkata, Lin Dan tidak dapat beraksi pada perlawanan semalam menentang rakan senegara Chen Long kerana kecederaan lama yang menganggu pergerakkan pemain itu selain boleh menyebabkan kesakitan teruk.
‘‘Dia(Lin Dan) mula merasa sakit di bahagian atot abdomen kirinya ketika sedang menjalani latihan pada pagi tadi (semalam) dan pemain tersebut terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri.
‘‘Punca utama kesakitan yang dirasai oleh pemain itu adalah daripada kecederaan lama yang kini mula dirasai,” kata Jane.
No comments:
Post a Comment