KOTA BHARU 25 Jan. – B. Sathianathan, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa semalam, tetap mendapat perhatian sewajarnya oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang mengumumkan bekas ketua jurulatih itu kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejurulatihan Kafa.
Pelantikan yang diumumkan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa itu membolehkan Sathianathan bertanggungjawab sepenuhnya dalam bidang teknikal kejurulatihan bagi membimbing bakat-bakat baru sebagai pelapis pada masa depan.
"Walaupun Kelantan kehilangan ketua jurulatih di saat kita menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih dan musim baru Liga Malaysia tidak lama lagi, namun khidmat Sathianathan masih diperlukan.
"Hari ini kita melantik dia (Sathianathan) sebagai CEO dalam pasukan Kelantan dan masih bertanggungjawab dalam bidang kejurulatihan yang tidak membabitkan bidang kuasa FAM,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan insentif RM200,000 oleh kerajaan negeri Kelantan di sini, hari ini.
Katanya, khidmat Sathianathan masih diperlukan kerana Kafa melalui Kelab Red Warriors sedang mempelopori akademi bola sepak di peringkat remaja bagi melahirkan pemain pelapis negeri yang mampu meneruskan kecemerlangan dalam bidang bola sepak di negeri ini. – Bernama
No comments:
Post a Comment