PETALING JAYA, 24 Jan. - Semua syarikat penerbangan tambang murah akan berpindah ke terminal penerbangan tambang murah (LCCT) tetap baharu, KLIA2, yang dijadualkan siap pada Oktober 2012, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Ditanya tentang sama ada pengendali penerbangan tambang murah enggan berpindah, beliau berkata: “Saya rasa mereka terpaksa berpindah kerana LCCT yang ada sekarang akan ditukar menjadi terminal kargo. Kerja-kerja di terminal itu rancak dijalankan dan dijangka siap menjelang tahun depan,” katanya.
LCCT yang ada sekarang mampu mengendalikan hingga 15 juta penumpang setahun, dan tahun lepas ia mengendalikan kira-kira 17 juta penumpang, kata menteri itu kepada pemberita pada upacara penyerahan Sistem Pemeriksaan Penerbangan (FIS) di sini hari ini oleh Systematic Aviation Services Sdn. Bhd., kepada kementeriannya.
Memandangkan pertumbuhan pesat lalu lintas dalam sektor tambang murah, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada pembangunan segera terminal mega tambang murah bernilai RM2 bilion yang akan menampung keperluan perjalanan tambang murah bagi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang. - Bernama
No comments:
Post a Comment