KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sudah menemui skuad bayangan yang akan membarisi kesebelasan utama Red Warriors untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Selangor pada 29 Januari ini.
Menurutnya, senarai tersebut bagaimanapun masih lagi peringkat awal, memandangkan ada beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan mungkin memerlukan rombakan.
"Skuad bayangan sudah ada, namun semua ini bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan saya harap pemain yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Mulai esok (hari ini) kita akan beraksi dalam empat siri perlawanan.
"Bermula dengan Kedah dan harap pemain dapat menunjukkan peningkatan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh para pemain kerana kita ada banyak yang perlu dihadapi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mahu pemainnya menunjukkan peningkatan secara berperingkat dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Menurut Sathianathan, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan persahabatan ini dan mahukan pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya.
"Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam membentuk persefahaman yang mantap di kalangan pemain, selain memperbaiki kelemahan yang ada.
"Inilah peluang buat semua pemain untuk mendapatkan semula rentak permainan, kerana ia tidak boleh datang dalam satu atau dua perlawanan sahaja,'' katanya.
Jelasnya, pasukan-pasukan lain termasuk dari utara tanah air sudah beraksi sepuluh perlawanan, sedangkan pasukannya baru sahaja memasuki perlawanan kelima.
Sesi latihan semalam menyaksikan Red Warriors turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khalid Jamlus dan K. Soley. Namun, ia merupakan penampilan sulung anak pengurusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Nicholas Can yang akan menyarung jersi pasukan itu.
"Saya beri Soley pelepasan kerana emaknya masuk hospital dan berada dalam keadaan kritikal, manakala Khalid di hantar ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaan yang dihadapinya," katanya.
Sepanjang enam siri perlawanan persahabatan setakat ini, Kelantan tewas tiga, selebihnya mencatatkan keputusan seri.
No comments:
Post a Comment