LABIS,16 Jan: Teka teki siapakah calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang akan terjawab sebentar nanti.
Pengumuman calon yang dipilih akan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah di Pekan Labis jam 9 malam ini.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang dijangka hadir malam ini ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Sehingga petang ini, pelbagai desas desus timbul mengenai calon yang akan diumumkan termasuk individu itu ialah seorang anak muda dan tidak kurang juga yang menjangkakan calon itu seorang wanita.
Bagaimanapun, PAS sebelum ini memberitahu calon yang akan dipilih merupakan anak tempatan kawasan itu.
Sementara itu, Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat Khamis lalu berkata, Pakatan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS dalam memilih calon bagi melawan Umno BN.
"Kita percaya dan menyokong sepenuhnya calon yang dipilih PAS.Tidak ada masalah dalam soal calon," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.
BN pula akan mengumumkan calon mereka pada 19 Januari ini yang digembar-gemburkan adalah wanita.
Penamaan calon akan berlangsung pada 22 Januari manakala proses pembuangan undi pada 30 Januari.
Kedua-dua tarikh tersebut jatuh pada hari cuti.
No comments:
Post a Comment