Seramai 23 pramugari Malaysia di sebuah syarikat penerbangan yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi hari ini menuntut pembayaran gaji dan elaun mereka yang tertunggak sejak empat bulan lalu.
Menurut wakil mereka, sejak November lalu, syarikat penerbangan swasta itu tidak membayar gaji mereka sebanyak SAR$5,000 (RM4,000) sebulan serta pelbagai elaun yang dijanjikan dalam kontrak pekerjaan.
"Kami sudah ambil tindakan awal, termasuk mendesak. Kami menerima respons (daripada majikan), tetapi bukan respons yang baik," kata gadis 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.
"Bila bekerja, sudah tentu kami mahu dibayar."
Bercakap dalam sidang media di pejabat biro aduan komuniti Pemuda Umno di ibu negara, beliau berkata akibat kegagalan syarikat itu (nama tidak didedahkan) membuat bayaran itu, seramai 32 daripada mereka menghadapi masalah kewangan.
"Kalau sebulan gaji tidak dibayar sudah menjadi masalah. Bila jadi, bayaran kredit kad contohnya, bila tidak dibayar, bunganya meningkat bertimbun-timbun," katanya.
Turut hadir beberapa anggota keluarga mangsa dan pengerusi biro aduan pergerakan itu Datuk Muhd Khairun Aseh.
Bincang di Jeddah
Daripada kesemua pramugari Malaysia di syarikat penerbangan tersebut, 29 daripada mereka meminta bantuan Pemuda Umno bagi menyelesaikan masalah itu.
Kecuali seorang, semua pramugari tersebut masih berada di Jeddah dan tidak lagi diberikan sebarang tugas.
Sementara itu, Muhd Khairun(tengah, berkemeja putih) pula berkata, setelah mendapat aduan tersebut, pihaknya pergi ke Jeddah dan berbincang sendiri dengan kesemua pramugari terbabit pada 11 Februari lalu.
Hasil perbincangan dua jam, tambahnya, biro itu bersedia menawarkan bantuan menjadi orang tengah menuntut pembayaran itu dan membawa pulang pramugari berkenaan ke Malaysia sekiranya perlu.
"Kita beri masa tujuh hari, mulai hari ini, supaya bayaran tersebut dilunaskan.
"Jika tidak, memandangkan kontrak dicabuli, kita akan berusaha membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga," katanya sambil memberitahu akan meneruskan dengan tindakan undang-undang.
Muhd Khairun juga berkata, janji kosong syarikat itu bermula sejak April tahun lepas apabila gaji mula lewat dibayar.
No comments:
Post a Comment