Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kelihatan bersungguh-sungguh menjelaskan soal berhubung peletakan jawatan Pajudin Nordin sebagai pengerusi perhubungan Sabah semalam.
"(Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dijadual ke Sabah pagi ini. Ia tiada kena mengena dengan peletakan jawatan Pajudin kerana ia telah dirancang lama dahulu.
"Lawatannya bertujuan menemui ketua cabang Sabah dan untuk mengumumkan pembekuan sementara pelantikan tajudin sebagai pengerusi perhubungan Sabah. Belum sempat membuat pengumuman, dia (Pajudin) letak jawatan.
"Beliau (Wan Azizah) sepatutnya mengambil alih pengerusi perhubungan Sabah daripada Pajudin untuk sementara, kemungkinan beberapa bulan sehingga semuanya disusun dengan baik," kata Anwar dalam sidang media yang padat dengan wartawan sehabisnya lawatan dua harinya di Sarawak hari ini.
"Mungkin dia (Pajudin) rasa pembekuan itu tamparan yang hebat, jadi dia tinggalkan (parti)."
Semalam, PKR Sabah yang dilihat sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.
Pajudin, 42, yang belum sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang semalam.
Pajudin dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu Anwar dan Dr Wan Azizah yang didakwa tidak serius menangani masalah dan isu-isu berkaitan Sabah.
No comments:
Post a Comment