Gempa bumi kuat berukuran 6.0 skala Richter dikesan di pantai timur Honshu, Jepun pada jam 11.52 pagi ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, gegaran itu berlaku kira-kira 4,037 km dari timur laut Kudat, Sabah.
Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan gempa itu dan akan memaklumkan maklumat terkini kepada orang ramai.
Sementara itu, seorang penyanyi kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Jepun terpaksa berkongsi sisa beras dengan rakan-rakan sebaik Tokyo dilanda gempa bumi kuat 9.0 pada Skala Richter dan tsunami Jumaat lepas.
Muhammad Aizuddin Anwar atau lebih popular dengan nama 'Aizdean' berkata ketika gempa berlaku kira-kira jam 2 petang (waktu Jepun), beliau sedang dalam perjalanan menuju ke Shinagawa menaiki kereta api tetapi terkandas kerana gegaran.
Ketika dihubungi Bernama hari ini, Aizdean berkata beliau terpaksa berlindung di rumah rakannya dan ketika itulah mereka terpaksa makan sisa beras yang kebetulan sudah tinggal sedikit.
Sebelum itu, gempa yang berlaku itu memaksa Aizdean, 27, keluar dari kereta api dan kemudiannya menaiki teksi ketika bangunan di sekelilingnya bergoncang manakala orang ramai dilihat melarikan diri mencari perlindungan di kawasan selamat.
"Mula-mula ingatkan gempa kecil, tapi dalam beberapa saat menjadi semakin besar sehingga nak berdiri dengan betul pun tak boleh.
"Ramai yang melarikan diri dengan menutup kepala bimbangkan bumbung stesen kereta api jatuh menimpa. Saya hanya ingatkan mati ketika itu dan hanya banyak mengucap," katanya.
Dalam wawancara menerusi e-mel itu juga, Aizdean berkata ramai mangsa yang terselamat tidak boleh pulang ke rumah masing-masing termasuk dirinya kerana sistem pengangkutan kereta api yang lumpuh akibat gempa bumi sehingga mereka terpaksa bermalam di lobi hotel sahaja.
"Saya terpaksa bermalam di lobi sebuah hotel yang sanggup membukanya untuk kemudahan mangsa yang terkandas bermalam pada hari itu," katanya.
Bagaimanapun, Aizdean memaklumkan dirinya masih berada dalam keadaan selamat di Tokyo walaupun rumahnya terjejas apabila barang-barang berselerak di lantai akibat gempa berkenaan.
"Keadaan saya di Tokyo tidak begitu teruk, tetapi keadaan ribuan lagi rakyat Jepun di Utara seperti Fukushima, Ibaraki dan Niigata lebih memilukan ditambah pula dengan kebocoran radiasi dari loji nuklear di sana," katanya.
Menurut beliau, berlaku lebih 200 kali gempa susulan setiap hari selepas Jepun digegarkan Jumaat lepas.
Aizdean menarik 30,000 muat turun ke telefon bimbit dalam kalangan anak muda di Negara Matahari Terbit itu yang meminati lagu dari album pertamanya 'I Need You Baby'.
Gempa dan tsunami itu kini menyebabkan Jepun lumpuh dan ribuan nyawa terkorban.
No comments:
Post a Comment